Betulkah syiling lama ini bernilai tinggi? Minggu ini, Sinar Harian menyiarkan berita tentang syiling "Vtraque Vnum" yang dikatakan boleh mencecah RM16 juta jika dipasarkan di Amerika? Saya pernah menulis di blog saya berkenaan pemberita Malaysia yang tidak membuat kajian terlebih dahulu sebelum menyiarkan sesuatu berita; Reporter-Please Do Research First. Kelakuan mereka ini yang menyiarkan cerita yang tidak betul memberikan gambaran yang salah berkenaan numismatik. Kelihatan apa yang mereka pentingkan adalah berita, bukannya memberikan informasi yang betul berkenaan numismatik.
Betulkah syiling "Vtraque Vnum" ini mempunyai harga yang semahal itu? Sebelum kita bercerita tentang harganya, adakah duit "Vtraque Vnum" yang dipamerkan ini tulen? Dari manakah datangnya nilai RM16 juta, jika ya, pelik juga mereka ini sanggup bertahan untuk tidak menjual duit syiling ini. Kita sebagai pengumpul duit lama, sewajarnya memberi tunjuk ajar kepada pemberita yang pemalas dan mereka yang kurang arif berkenaan duit syiling lama. Di pemikiran hampir kesemua rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pengetahuan tentang numismatik. "Duit lama bernilai tinggi". Realitinya, harga duit syiling bukan bergantung kepada berapa lama tahun yang tertera pada syiling terbabit. Pengumpul duit lama melihat kepada ketulenan, kesukaran mencari sesuatu syiling atau variety, kondisi syiling tersebut dan juga berapa banyak duit syiling tersebut yang boleh ditemui/ditempa. Jika anda membuat carian di Google "Vtraque Vnum coin", ada beribu post dan gambar berkenaan syiling ini dan harganya hanya didalam lingkungan RM500 untuk yang tulen kecuali untuk tahun dan variety yang sukar dicari yang boleh mencecah sehingga RM20,000. Nak jual syiling ini dengan harga RM16 juta? Anda boleh menghubungi Sinar Harian dan bawa bersama "cerita tipu" mereka ini untuk mendapatkan RM16 juta anda.
Syiling lama ‘bernilai’
Warga emas ini bukanlah seorang pengumpul barangan antik mahupun menjadikan pengumpulan syiling lama sebagai hobi. Namun, dia merasa terpanggil untuk berkongsi, mengenai sekeping syiling yang berada dalam simpanannya sejak lebih 10 tahun lalu, apabila tersiarnya berita dari Kelantan bertajuk ‘Syiling lama cecah RM16 juta’ pada 27 Jun lalu. Bekerja sebagai pemandu peribadi, Abdul Rahman Ahmad, 56, berkata, syiling yang dikatakan bernilai RM16 juta itu adalah dari tahun 1770, tetapi yang ada dalam simpanannya adalah syiling yang sama, tetapi tahun 1734, 36 tahun lebih lama. Read More
Syiling lama cecah RM16 juta
Pesara tentera mendakwa memiliki syiling lama berusia 242 tahun yang nilainya dikatakan boleh mencecah RM16 juta sekiranya, dilelong di pasaran Amerika Syarikat. Duit syiling lama berukuran 3.8 sentimeter (sm) yang tertera perkataan `Vtraque Vnum’ itu tidak dapat dipastikan nilai sebenar mata wangnya, tetapi difahamkan ia merupakan antara yang paling sukar ditemui. Abidin Ghani, 56, dari Taman Sri Aman, di sini, berkata, berdasarkan fakta sejarah, syiling lama termahal di dunia adalah American Silver Dollar keluaran 1794 yang dijual RM23.5 juta dalam acara lelongan baru-baru ini. Bagaimanapun katanya, syiling yang dimiliki adalah 24 tahun lebih awal jika dibandingkan American Silver Dollar itu. Read More