Adakah anda pernah mengira berapa banyak koleksi duit syiling lama yang anda ada? Berapa keping semuanya? Berapakah kos anda untuk membeli koleksi duit lama anda yang ada sekarang ini? Berapa banyak duit yang telah anda habiskan untuk koleksi dan juga aksesori seperti album duit lama, coin holder dan juga aksesori-aksesori lain? Jika anda pengumpul duit lama tegar, anda tidak akan terpikir pasal kos anda untuk membeli duit syiling. Apa yang penting anda tidak terlebih menggunakan duit belanja bulanan anda. Jika anda adalah kolektor tegar, kalau dah dapat duit idaman, kalau boleh nak tengok tiap-tiap malam sebelum nak tidur kan? Isteri saya kata, macam tengok perempuan cantik jer bang, hahahaha....
Adakah anda berkongsi dengan rakan-rakan koleksi duit lama anda? Ada orang berkongsi duit syiling mereka melalui blog yang dikhususkan untuk koleksi yang mereka ada. Ada pengumpul duit lama yang berkongsi melalui perjumpaan dengan rakan-rakan yang diadakan secara berkala; sekali seminggu atau sekali sebulan. Keseronokan berkongsi koleksi yang ada adalah suatu kepuasan yang mungkin tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ada yang mendapat motivasi mudah apabila ramai rakan-rakan yang memuji koleksi duit lama yang ada padanya. Namun, saya nasihatkan berhati-hati untuk melakukan perkongsian dengan rakan-rakan. Saya banyak kali mendengar koleksi yang dikongsi hilang dicuri. Sebaiknya hanya berkongsi dengan rakan-rakan yang kita sudah kenal lama. Memang seronok berkongsi tetapi apabila ianya hilang sekelip mata, sesal kemudian pun tak guna. Bukan mudah nak cari balik koleksi yang telah hilang.
Jika anda belum menjadi kolektor tegar, rasanya anda hanya akan menyimpan apa sahaja duit lama yang anda rasakan mempunyai harga dan bernilai; tidak kiralah dari segi materialnya ataupun sentimentalnya. Cara menyimpan duit syiling pun rasanya tidak betul atau memang tidak tahu. Apatah lagi jika ada duit syiling yang berwarna hitam, anda akan berusaha untuk mencari cara mencuci duit lama supaya ianya nampak berkilat dan cantik dipandang mata. Saya nasihatkan, jangan cuci koleksi anda walaupun ianya kelihatan buruk dimata anda. Ada syiling yang mempunyai patina dan toning yang mengambil masa berpuluh tahun untuk terjadi. Mencucinya akan turut membuang toning dan patina tersebut, sesuatu yang bernilai untuk pengumpul duit lama tegar. Biarkan sahaja duit syiling tersebut pada keadaan asal.
Apabila anda telah menjadi pengumpul duit lama tegar, anda akan mula mengumpul duit lama mengikut jenisnya dan cuba melengkapkan koleksi duit syiling anda. Sebagai contoh, cuba mendapatkan koleksi lengkap Malaysia coin card atau menyimpan duit bunga raya mengikut tahun. Kolektor tegar biasanya akan menjual sedikit daripada koleksinya yang berlebihan untuk mencari duit syiling idamannya. Untuk mereka yang masih tidak tahu bagaimana untuk menjual duit lama, boleh membaca disini; panduan mudah menjual duit lama.
Kalau dulu anda mungkin memanggil koleksi duit syiling 50 sen anda sebagai duit syiling terbelah, 1 ringgit 1972 atau mungkin duit syiling 5 ringgit Tunku Abdul Rahman, apabila anda telah menjadi kolektor tegar, anda mula tahu yang duit syiling terbelah itu hanya ada untuk tahun 1967, 1968 dan 1969. 1 ringgit 1972 itu sebenarnya duit syiling peringatan dan sebagainya. Untuk senarai penuh duit syiling Malaysia, anda boleh membacanya disini; Senarai Lengkap Harga Duit Syiling Malaysia. Tak perlu risau jika banyak lagi perkara yang anda tidak tahu, banyakkan membaca untuk menambah ilmu sambil menambah koleksi. Namun, ilmu untuk mengred duit syiling adalah perkara utama yang anda perlu belajar terlebih dahulu jika anda ingin serius di dalam hobi ini.
Koleksi duit lama bagaimanakah yang anda ada?