Rasanya rakyat Malaysia ini terlalu sukakan cerita-cerita dongeng dan pelik didalam kehidupan seharian. Duit syiling Malaysia juga tidak terkecuali terkena tempias pereka cerita-cerita pelik dan dongeng ini. Ada yang bertujuan untuk mencari keuntungan kewangan dan ada juga yang bertujuan untuk menarik pembaca ke blog mereka. Apapun tujuan mereka, cerita pelik yang disebarkan kesemuanya adalah tidak benar. Saya pernah menulis sebahagian daripadanya di blog saya sebelum ini; Top 10 Myth in Malaysia Numismatic. Diharap para pembaca yang masih percaya kepada cerita-cerita dongeng berkenaan Duit Syiling Malaysia membaca artikel ini dan faham apa yang saya cuba sampaikan.
Cerita pelik duit syiling Malaysia:
Duit 50 sen terbelah ada emas ditengahnya
Mereka menceritakan kononnya harga emas dulu sangat murah. Oleh yang demikian, emas telah digunakan untuk mencantumkan kedua belah duit syiling tu mjadi satu. Pada ketika ini, nilai emas melambung tinggi. Oleh itu, secara tidak langsung ramai orang mencari duit syiling 50sen berbelah tepi ini untuk mendapatkan emas yang ada ditengahnya. Jika perkara ini benar, sudah ramai pengumpul duit lama yang menjadi kaya kerana emas di dalam duit syiling tersebut. Hahahaha.... Duit syiling itu terbelah kerana itu adalah salah satu ciri keselamatan untuk syiling tersebut yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia. Suatu masa dahulu, agak sukar untuk meniru ciri keselamatan terbelah tersebut dan ianya membantu mengurangkan kewujudan duit palsu. Gunakanlah logik akal, takkanlah duit syiling yang bernilai 50 sen diperbuat daripada emas.
Tukar duit 20 sen 2002 dapat RM2000
Rasanya ada khabar angin yang tersebar melalui social media dan email suatu waktu dahulu yang mengatakan anda akan dapat duit RM2000 kalau tukar duit syiling 20 sen 2002 di bank. Oleh kerana ramai sangat yang berharap untuk mendapat keuntungan mudah, ada yang mengambil kesempatan untuk membuat cerita palsu sebegini. Ada 131juta duit syiling 20 sen 2002, bukan sukar untuk mencarinya. Takkanlah ada bank yang sangat pemurah untuk memberikan anda duit semudah itu.
Tukar duit 50 sen terbelah kat Bank dapat seribu ringgit
Ada yang kata jika kita bawa duit 50 sen terbelah dan tukar kat Bank dapat sekurang-kurangnya seribu ringgit. Dari dulu sampai sekarang, cerita lucu sebegini yang buat pengumpul duit lama nak tergelak. Kalaulah betul ada, kami semua dah jadi jutawan dengan hanya menukar duit lama di Bank. Sebenarnya bank hanya kan menukar anda pada nilai muka duit syiling tersebut, tidak kiralah di Bank-bank komersial ataupun di Bank Negara. Kecualilah bank itu milik bapa anda, anda boleh minta mereka bagi berapa ringgit yang anda mahu.
Duit tiada keluaran datang dari kerajaan langit
Pelik tetapi ramai yang mempercayai, duit-duit syiling yang tidak pernah dikeluarkan oleh BNM (anda boleh membaca senarainya disini; Duit tiada keluaran mengikut tahun) yang ada dijual oleh penipu-penipu "mistik" dikatakan datang daripada kerajaan langit atau alam bunian. Ianya diseru oleh mereka yang pakar didalam alam mistik ini dan turun dari langit sebaik berjaya diseru. Kenapa saya katakan pelik tetapi benar, ada ramai mereka yang kaya & berada membelinya kerana beranggapan ianya adalah duit "rare". Apa yang mereka tidak tahu, mereka sebenarnya ditipu dengan membeli duit palsu pada harga yang adakalanya mencecah puluhan ribu ringgit. Semoga suatu hari nanti Bank Negara Malaysia akan mengambil tindakan ke atas penipu-penipu ini yang berleluasa menjualnya di blog-blog mereka tanpa ada sebarang tindakan diambil ke atas mereka.