Ahad, 6 Januari 2013

Duit syiling Yasin: misteri, mitos & mistik

Ramai yang bertanyakan kepada saya berkenaan dengan duit syiling Yasin. Adakah ianya salah satu duit syiling yang pernah digunakan di Tanah Melayu suatu waktu dulu? Kenapakah harganya boleh mencecah sehingga beribu ringgit? Persoalan yang hampir serupa diajukan kepada saya daripada mereka yang memilikinya.

Baru-baru ini, ada pembaca yang bertanyakan tentang duit syiling Yasin ini kepada saya. Pada asalnya saya tidak berminat untuk menjawabnya kerana bagi saya duit syiling ini hanya mempunyai nilai misteri, mitos dan mistik. Kemudian, saya teringatkan beberapa perkara yang pernah diceritakan kepada saya mengenai duit ini yang saya rasa mungkin tidak ada dikongsi oleh sesiapa lagi.

DUIT YASIN

Jika ada pakar yang lebih tahu berkenaan dengan sebarang perkara yang dibincangkan didalam entri ini, mohon perbetulkan jika ada kesilapan yang saya catatkan disini.

Namun, jika anda "pakar mistik" sahaja, mohon tak perlu berhubung dengan saya dan bercerita tentang dunia mistik anda. Cukup-cukuplah menipu orang dan mengaut keuntungan dari kebodohan orang lain, tak perlu hendak menipu pembaca dan saya.

Pelik tetapi benar, ada muzium yang mempamerkan duit ini sebagai duit yang pernah digunakan di Tanah Melayu. Namun, tidak dinyatakan kerajaan lama mana yang pernah menggunakannya. Apabila ahli muzium sendiri pun tidak belajar sejarah, maka orang biasa suatu hari nanti akan turut sama buta sejarah.

Kenapa perkataan Yassin digunakan.
Umum mengetahui, nama syiling itu dikenali sebagai "Duit Yassin" kerana tulisan Yassin yang ada pada duit tersebut. Pendapat peribadi saya sahaja, mungkin kerana surah Yasin itu mempunyai banyak kegunaannya didalam perubatan. Sebagai contoh, Amalan membaca Yasin 7 Mubin dikatakan dapat melindungi pembacanya daripada sihir dan mengubati orang yang sakit. Justeru itu, tidak hairanlah jika duit Yasin 7 diantara duit yang popular dicari oleh pengemar/ pengumpul duit ini.

Jangan tanya saya boleh atau tidak menggunakan tulisan Yasin pada duit syiling sebab saya bukan Ustaz atau orang yang layak untuk menjawabnya. Namun, sebaiknya jangan dibawa duit itu ditempat yang kotor seperti tandas dsbnya.

Asal-usul Duit Yasin.
Daripada apa yang diceritakan kepada saya, duit Yasin yang asli asalnya daripada Indonesia. Duit ini dibawa ke tanah melayu "kosong" tidak ada khadamnya dan apabila ianya sampai ke tanah melayu, duit ini akan diisi dengan khadam (jin atau syaitan) menurut kehendak pemakainya. Biasanya ada yang meminta supaya dilariskan jualan, menjadi kebal, sebagai pelindung dari sihir (santau dsbnya) serta kejahatan dan juga menjadi kuat.

Buku "Magic coins of Java, Bali, and the Malay Peninsula" oleh Joe Cribb dan diterbitkan oleh British Museum ada memasukkan duit syiling ini didalam buku tersebut. Penulisannya adalah berdasarkan duit syiling koleksi Sir Thomas Stamford Raffles yang berbentuk syiling di British Museum. Ini sedikit sebanyak memberitahu kita, pada zaman 1800an pun duit ini sudah wujud.

Pendapat peribadi saya, Duit syiling Yasin ini hanyalah salah satu duit fantasi yang dibuat untuk tujuan mistik dan digunakan sebagai tangkal & azimat (charm). Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila gambar manusia yang ada didalam duit syiling itu dikatakan menyerupai Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Ismail, Nabi Isa, Nabi Khidir dsbnya serta tahun pada duit syiling itu diletakkan tarikh-tarikh penting didalam kehidupan Nabi dan Rasul Allah tersebut.

Ramai yang beranggapan yang duit syiling ini digunakan ketika zaman nabi lagi dan tanggapan itu adalah silap. Mustahil ianya digunakan pada zaman nabi tetapi tidak ada rekod ditemui di negara lain. Setakat yang saya tahu, duit ini hanya ditemui di Malaysia dan Indonesia sahaja.

Pada ketika ini, ada banyak duit syiling Yasin yang palsu. Untuk memeriksanya cukup mudah, permukaan duit palsu ini tidak secantik duit yang asli, akan ada lubang-lubang halus dipermukaannya.

Mereka membuat duit syiling palsu kerana mudah mendapat untung dengan duit syiling ini kerana ramai orang Melayu yang percaya kepada perkara khurafat dan tahyul. Kos untuk membuat duit syiling tak sampai RM5 tapi jual RM30, dah untung banyak. Kadang-kadang, boleh untung beribu ringgit jika ada orang kaya atau kaki judi yang mencari "duit yasin yang rare" untuk dijadikan ibu duit dan sebagainya. Ini peluang perniagaan yang memang boleh mengaut keuntungan tinggi.

Adakah duit ini adalah duit syiling?
Bentuk bulat dan mempunyai gambar, tarikh dan tulisan ataupun nilai denominasi sekalipun tidak akan menjadi duit syiling selagi tidak ada negara yang mengunakannya. Bagi saya, duit ini hanya medallion dan bukannya duit syiling. Ianya lebih banyak digunakan sebagai azimat atau talisman. Ianya tidak pernah digunakan oleh mana-mana negara dan mana-mana kerajaan lama yang wujud ditanah melayu. Ianya juga tidak mempunyai nilai matawang dan juga tidak mempunyai nilai yang tinggi dari segi numismatik.

Logam yang digunakan
Ada yang dikatakan dibuat dari timah putih, tembaga putih, tembaga merah, tembaga hitam, tembaga kuning, perak, emas dan juga besi hitam. Setahu saya, tidak ada duit ini yang saya pernah lihat diperbuat daripada perak dan emas, cuma logamnya sahaja menyerupai perak dan emas.


Jenis-jenis duit yasin:
- Yasin 1
- Yasin 3
- Yasin 5
- Yasin 7
- Yasin 9
- Yasin Wali 7
- Yasin nabi nuh
- Yasin tongkat
- Yasin Merak
- Yasin Shadah
- Bahtera Nabi Nuh

Kesimpulan
1. Perbuatan menyimpan duit syiling ini dengan tujuan dipuja untuk mendapat kekayaan, disimpan bertujuan untuk melindungi diri dari sihir dan kejahatan adalah satu perbuatan yang syirik dan khurafat.

2. Duit ini bukan duit syiling, ianya hanya medallion yang digunakan oleh pengamal perubatan dan peminat mistik untuk tujuan yang hanya mereka tahu.

3. Ianya tidak pernah digunakan pada zaman para Nabi dan Rasul. Tahun yang ditulis di duit itu mungkin berusia sehingga 400 tahun. namun, ianya hanyalah fantasi yang dibuat oleh perekanya. Setahu saya, tidak ada sejarah duit syiling ini dimana-mana buku numismatik negara lain melainkan buku "Magic coins of Java, Bali, and the Malay Peninsula" oleh Joe Cribb.

4. Duit ini menjadi popular kerana ramai dari kalangan orang Melayu yang berangan-angan mat jenin untuk mendapat keuntungan mudah dengan menjualnya pada harga beribu ringgit, sedangkan hanya membelinya pada harga berpuluh ringgit. Anda sebenarnya boleh mendapatkannya dengan penjual kaki lima dengan harga tak sampai RM30 sekeping.