Syiling 10 sen 1971 adalah di antara syiling yang menjadi buruan para pengumpul duit lama. Syiling 10 sen 1971 Variety 2 pula adalah variety yang paling mudah ditemui di antara semua variety duit syiling 10 sen 1971 yang ada. Jika anda adalah pengumpul syiling Malaysia, anda pasti sudah memiliki syiling ini.
V pada v1 dan v2 tu apa?
Ada newbies yang salah faham V itu kononnya bermaksud "Version" sebenarnya ia bermaksud "Variety" atau didalam bahasa Melayunya variasi atau kepelbagaian. V yang diletakkan pada nama itu untuk memudahkan kawan-kawan collector membezakan die variety yang digunakan untuk menempa duit syiling tersebut.
Salah faham Newbies tentang Variety 2?
Ada juga newbies yang salah faham, apabila duit syiling 10 sen 1971 diberhentikan tempaanya kerana banjir, tempaan itu berhenti di duit syiling yang ke 32,236 (V1). Kononnya duit syiling itu dicetak semula selepas itu, sebab itu ada V2. Untuk makluman, 32,236 itu hanyalah jumlah tempaan yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia untuk 10 sen 1971. Kilang Wang nak cetak duit syiling perlu ada surat "approved mintage" untuk denominasi syiling dan berapa banyak syiling yang boleh dicetak. Bukannya main cetak sesuka hati mereka. Duit syiling tidak akan dibuat melebihi jumlah yang dibenarkan, kebiasannya kurang daripada jumlah yang dibenarkan.
Ciri-ciri setiap die variety
Duit Syiling 10 sen 1971 V1
1. Permukaannya lebih gelap dan malap, dikeluarkan untuk tujuan edaran.
2. Sisinya adalah berbentuk "bevel" dan tidak lurus. (Sila lihat gambar-Bevel V1)
3. Kemungkinan untuk mendapatkannya pada gred UNC atau BU adalah amat sukar.
Duit Syiling 10 sen 1971 V2
1. Permukaannya lebih berkilat dan biasanya ditemui pada gred UNC atau BU.
2. Sisinya adalah berbentuk lurus. (Sila lihat gambar-Square V2)
3. Pada perkataan MALAYSIA di belakangnya ada dot yang sangat kecil. Terletak di antara L'A.
Kenapa V2 itu berkilat dan biasanya pada gred BU?
Ini kerana die yang digunakan untuk V2 adalah berkilat (polished die). Oleh itu, duit syiling yang dihasilkan adalah lebih cantik berbanding dengan duit syiling V1.
Anda juga perlu tahu, Kilang Wang Bank Negara di Shah Alam itu baru sahaja dibuka pada 10 Julai 1971.
Ada kemungkinan duit syiling untuk tahun 1971 itu hendak dijadikan set sebagai memperingati penubuhan Kilang Wang yang pertama di Malaysia. Pada tahun 1971, kita ada duit syiling daripada 1 sen sehinggalah 100 ringgit, ini menunjukkan kemungkinan perkara itu sepatutnya berlaku ada. Daripada cerita yang saya dengar, kotak dan juga segala barang-barang yang diperlukan untuk membuat set itu sudah tersedia. Tidak tahu apa masalahnya duit peringatan 1971 itu tidak jadi dikeluarkan. Kesemua duit syiling yang disediakan itu digunakan didalam edaran. Walau bagaimanapun harap jangan ada yang salah faham pulak, hanya 10 sen sahaja yang dibuat dengan polished die.
Adakah V2 itu palsu?
Nak periksa palsu atau tidak tu tak boleh pakai cakap mulut sahaja. Kalau yang bercakap itu adalah Pakar Numismatik takpelah, orang "respect" dan mungkin akan percaya. Kalau yang bercakap itu hanyalah seorang newbies yang berlagak pandai tapi sebenarnya bodoh tak tahu apa, dapat kutukan percuma adalah. Nak cakap duit palsu beli duit tersebut dan tunjuk kepada semua orang. Kalau takut orang kata tipu, hantar ke makmal untuk buat pemeriksaan kandungan logam syiling tu. Rasanya ada sahabat kita yang sudah membuat ujian untuk V2 dan kandungannya sah copper-nickel.