Khamis, 2 Julai 2015

8 sifat pelik pengumpul numismatik

Sedar tak sedar, adakalanya kelakuan kita itu di anggap pelik oleh masyarakat tanpa kita sendiri menyedarinya. "Kita" yang saya maksudkan disini adalah pengumpul duit lama dan wang kertas Malaysia. Kelakuan kita sudah menjadi kebiasaan yang kita tidak sedar adalah berbeza dengan orang lain.

Jika orang yang melihat itu tidak tahu atau tidak faham bahawa kita ini adalah peminat numismatik, mesti mereka terfikir yang kurang elok dengan perbuatan kita.

Bagi peminat numismatik pula, apabila kita sudah mempunyai tabiat sedemikian rupa, bermakna kita sudah mula menjadi pengumpul duit lama tegar. Cuma janganlah menjadi peminat numismatik yang fanatik, dengan sesiapa sahaja bercerita tentang hal-hal numismatik bukan semua orang suka numismatik.

numismatik

Di sini saya kongsikan 8 tabiat/sifat pelik pengumpul numismatik:

1. Apabila terima wang baki, asyik membelek wang baki yang ada.
Tak kiralah wang baki beli nasi lemak ke, bayar petrol atau bayar suratkhabar, apabila kita menerima duit baki secara automatik kita akan membelek-belek dulu duit baki yang ada. Mana tahu ada duit RM1 CR AAH atau pun ada duit syiling 10 sen 1971 kan? Kalau yang lebih ekstrem tu siap periksa lagi kalau duit syiling tu ada error atau rosak. Kita tak kisah pun orang lain sedang tengok kita dengan muka hairan, makcik nasi lemak ingat dia salah bagi duit baki kat kita atau ada awek yang ingat kita ni kedekut duit baki beli nasi lemak pun nak kira betul-betul. Kalau dapat duit syiling atau wang kertas yang ada nilai maka akan terukir senyuman secara semulajadi diwajah kita. Kalau yang ekstrem tu siap jerit-jerit dan lompat-lompat lagi macam menang piala dunia. Kalau mereka yang belum lagi berminat sangat dengan mengumpul duit Malaysia ni, rasanya dapat duit baki simpan jer, tak tengok pun.

2. Beli duit lama simpan untuk anak/cucu
Rasanya dari dulu pun dah menjadi trend kepada pengumpul duit lama untuk membuat satu set duit lama yang disimpan khusus untuk anak-anak atau cucu yang baru lahir. Kalau ada dua orang anak, dua set duit syiling Malaysia. Itu kalau dua, kalau sepuluh orang anak? Hahahaha.... Biasanya kita berharap yang suatu hari nanti anak kita akan turut serta didalam hobi kita ini. Namun, apabila anak tersebut sudah besar dan tidak berminat kepada mengumpul duit lama, set tersebut yang pada kebiasaannya pada gred UNC akan dijual kepada kawan-kawan collector lain. Bagi orang biasa mungkin pelik sikit tapi kalau yang dah faham, duit lama juga satu pelaburan yang menguntungkan jika tahu cara yang betul.

3. Kalau pergi melancong mesti nak periksa tempat tu ada kedai duit lama atau tak.
Tak tahu kalau anda pun punya tabiat yang serupa tetapi saya dan rakan-rakan bersetuju yang tabiat ini ada pada kami semua. Nak melancong ke dalam negara atau luar negara, mesti nak periksa atau tanya kawan-kawan tempat nak beli duit lama di tempat pelancongan tersebut. Kalau boleh nak buat 2 dalam 1, melancong sambil menambah koleksi duit lama. Mana tahu duit lama yang diminati di Malaysia ni dijual pada harga yang murah ditempat tersebut.

4. Sebelum tidur malam, tengok koleksi dulu
Mungkin ada yang mencari ketenangan, ada koleksi yang baru dapat siang tadi yang nak kena masukkan ke dalam coin holder/album atau dah jadi tabiat sejak jadi pengumpul duit lama. Tak perlu tengok lama-lama, seminit dua pun jadilah. Duit syiling koleksi yang ada akan dibelek-belek terutama duit syiling yang menjadi kesayangan kita. Ada pula yang apabila malam membelek duit syiling sebab nak cari duit error yang ada dalam simpanan mungkin sebelah siang tiada masa sebab sibuk bekerja.

5. Duit 10 sen tapi bayar harga sampai RM400
Kalaulah didunia ni hanya kita seorang sahaja pengumpul duit lama, mesti semua orang kata kita ni gila. Duit yang mempunyai nilai muka 10 sen kita sanggup bayar pada harga RM400 sekeping. Kepada bukan collector, mesti ada sedikit persoalan bermain di minda mereka, apa faedahnya beli duit 10 sen semahal begitu? Adakah hukum jual beli duit lama ini disisi Islam, halalkah haram? Bagi mereka rasa tak berbaloi nak beli duit murah macam tu pada harga mahal. Bagi mereka juga kita ni semua mengamalkan riba sebab jual beli yang mereka tak faham. Kita beli duit lama pada harga mcam tu sebab ianya ada nilai numismatik. Dah beli sampai RM400 takkanlah nak guna duit tu beli gula-gula berharga 10 sen kan? Kepada yang nak tahu Hukum menjual dan membeli duit lama boleh bca di post saya; Hukum jual beli duit lama.

6. Bercakap dengan kawan-kawan mesti keluar cerita numismatik
Ada kemungkinan ini berlaku pada anda tetapi tidak semua pengumpul duit lama begini, apabila bercerita dengan kawan-kawan di kedai mamak, kita secara automatik akan terkeluar cerita mengenai duit lama walaupun kawan-kawan kita bukan pengumpul duit lama. Sama ada kita sendiri yang bercerita atau rakan-rakan yang bertanya kepada kita. Bagi sesetengah orang, hal numismatik ini menjadi modal untuk bercerita dengan kawan-kawan. Bagus juga macam tu kan, mana tahu ada rakan-rakan yang menyimpan duit rare dirumah mereka dan mungkin juga da rakan-rakan yang timbul minatnya turut serta mengumpul duit lama.

7. Kerap pergi ke kedai numismatik
Kalau orang perempuan suka window shopping kat kompleks membeli-belah, pengumpul duit lama tegar ni suka window shopping kat kedai menjual duit lama atau pasar karat. Tak ada duit nak beli dapat tengok pun dah rasa seronok. Ada yang kekerapannya seminggu sekali, ada yang sebulan sekali pun dah cukup. Kalau tak pergi ke kedai duit lama kegemaran kita tu rasa macam ada yang tak cukup saja didalam hidup ini. Kena pulak ada kawan yang sama-sama meminati hobi ini, kawan ajak saja mesti nak pergi kan?

8. Sampai pejabat mesti nak tengok website, FB page numismatik dulu
Dah jadi tabiat agaknya, kalau dah sampai pejabat, perkara pertama yang dilakukan dan satu kemestian adalah tengok website, FB page numismatik terlebih dahulu. Bukan setakat baru sampai pejabat, ada yang baru bangun tidur dan sebelum tidur pun mesti nak tengok website, FB page numismatik.

Adakah anda ada sifat-sifat pelik didalam hobi ini yang anda rasa boleh dikongsi?