Sepertimana yang saya janjikan sebelum ini didalam post; Asal-usul nama Ringgit, Kita mulakan Perbincangan kita mengenai duit-duit perak lama dari negara asing yang pernah digunakan di Tanah Melayu (semenanjung Malaysia)dan digelar sebagai syiling "Ringgit". Ada banyak duit syiling Perak yang digunakan dan diterima di Tanah Melayu didalam perdagangan pada ketika itu antaranya adalah 8 Reales Sepanyol.
Duit Syiling 8 reales Sepanyol ini juga dikenali sebagai piece of eight, peso de ocho, Spanish dollar atau syiling 8 real. Namun, ia dikenali sebagai "Ringgit Meriam" disebabkan oleh sepasang Pillars of Hercules yang kelihatan seperti meriam pada bahagian hadapan duit syiling tersebut. Pada Kurun ke-19, syiling ini mula dikenali sebagai "Ringgit Tua" kerana ianya adalah ringgit paling awal digunakan di Tanah Melayu.
Syiling 8 Real Sepanyol ini mempunyai berat dan ukuran yang standard; kandungan perak 0.900 fine, 39 mm diameter dan berat 27 gram. Ianya adalah antara duit syiling yang terawal diterima pakai oleh kebanyakan negara didunia pada ketika itu. Kebanyakan duit syiling perak yang dikeluarkan selepas itu meniru standard yang digunapakai oleh syiling ini.
Pada muka hadapan duit syiling ini tertera tulisan "VTRAQVE VNUM" (Both are one) dan tahun. Ia juga memaparkan dua hemisfera peta dunia, diapit oleh tiang "Pillars of Hercules" yang tertulis moto PLVS VLTR.
Pada muka belakangnya memaparkan PHILIP [PUS] VD [EI] G [RATIA] HISPAN [IARUM] ET IND [IARUM] REX (Philip V, by the Grace of God, King of the Spains and the Indies). Ditengahnya adalah lambang Jata "Castile and León" dan inescutcheon of Anjou.
Lambang Dollar ($) juga dikatakan berasal daripada duit syiling ini berdasarkan rekabentuk Pillar of Hercules yang dikelilingi oleh rekabentuk tulisan.
Pengunaan nama "Peso" pada awalnya dikhususkan kepada duit Sepanyol ini dan kemudiannya nama duit "Peso" digunakan ditanah jajahan Sepanyol seperti di Argentina, Bolivia, Chile, Colombia, Costa Rica, Cuba, Dominica, Ecuadoria, Guatemala, Honduras, Mexico, Nicaragua, Paraguay, Filiphina, Puerto Rico, Peru, Salvadore, Uruguay dan Venezuela.
Berjuta-juta duit syiling ini ditempa untuk kegunaan seluruh dunia mengikut Kilang wang negara Jajahan Sepanyol yang mengeluarkannya. Pada ketika itu, Mexico adalah negara pengeluar perak yang terbesar didunia dan kebanyakan duit syiling ini dibuat di Mexico.
Namun, perhatian kepada bukan collector, ada banyak duit syiling palsu "Ringgit Meriam" yang dijual dipasaran. Duit palsu 8 Reales ini sudah lama ada dipasaran sejak datuk/nenek anda masih hidup lagi. Oleh yang demikian, apabila anda menerima duit ini daripada orang-orang tua, janganlah terus menjerit dan menelefon surat khabar tempatan memberitahu yang anda ada duit syiling berharga berjuta-juta ringgit. Duit syiling yang anda ada itu kemungkinan besar palsu, periksa dahulu dengan pakar Numismatik sebelum anda memalukan diri sendiri.
Kepada rakan collector, berhati-hati ketika memburu syiling ini dipasaran. Ada penjual duit lama yang tidak beretika menjual duit palsu sebagai asli dengan harga yang sedikit murah daripada harga pasaran. Ada juga dealer yang tidak akan berkata apa-apa ketika anda membayar duit palsu mereka, kononnya beranggapan anda faham yang duit itu adalah palsu sebab itu harganya murah.
Jika anda mempunyai duit syiling yang asli sekalipun, harganya hanyalah lebih kurang RM1K-RM4K bergantung kepada gred duit syiling, tahun keluaran dan juga tempat syiling itu ditempa.
Jika anda mempunyai duit syiling ini dengan tahun yang rare (contoh; 1734, 1770), saya 99% pasti duit syiling yang anda ada adalah palsu.