Selasa, 27 Ogos 2013

Merdeka 1957: Sejarah, Video & gambar

Dalam masa beberapa hari lagi, Persekutuan Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-56 tahun. Oleh itu, hari ini saya ingin berkongsi gambar, video dan serba sedikit mengenai Sejarah Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Pada ketika itu, kewujudan Malaysia tidak dibincangkan lagi, jika ada pun tidak ada direkodkan di dalam buku-buku sejarah.

Jika kita melihat kepada video dan gambar-gambar kemerdekaan pada tahun 1957, kesemua rakyat Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu menyambut Merdeka bersama-sama tanpa mengira kaum dan agama. Semoga semangat setiakawan dan harmoni rakyat Malaysia akan bertambah baik dimasa yang akan datang.

Merdeka 1957

Rasanya setiap kali sambutan Kemerdekaan di adakan, gambar ini akan muncul semula dimana-mana sahaja tetapi tahukah anda siapakah yang mengambil gambar ini? Ianya adalah gambar yang diambil oleh Encik Ng Weng Hong, seorang Jurufoto di Jabatan Penerangan pada ketika itu.

Rancangan kemerdekaan untuk Persekutuan Tanah melayu bermula pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London, satu Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani di antara YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Mr. Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Negara Tanah jajahan British bagi pihak Kerajaan British.

Perjanjian kemerdekaan

Rombongan Merdeka

Wakil dari Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang hadir sama pada upacara itu ialah Dato’ Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Encik T.H.Tan, Encik Abdul Kadir Shamsuddin, Kolonel H.S. Lee dan wakil-wakil daripada Raja-raja Melayu yang terdiri daripada Dato’ Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz (wakil Sultan Perak), Dato’ Nik Ahmad Kamil (wakil Sultan Kelantan), Dato’ Mohd. Seth Mohd. Said (wakil Sultan Johor) dan Encik Abdul Aziz Majid (wakil Sultan Selangor). Manakala perwakilan daripada Kerajaan British yang turut serta pada upacara ini ialah Mr. John Hore, Menteri Negara; Mr. Donald MacGillivary, Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu; Mr. David Watherston, Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu dan Mr. Oscar Spencer, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Persekutuan Tanah Melayu.


Sekembalinya rombongan Perjanjian Kemerdekaan tersebut ke Tanah Melayu, Pada 20 Februari 1956, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah mengumumkan bahawa menurut Perjanjian Kemerdekaan yang ditandatangani pada 8 Februari 1956, Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan secara rasminya pada 31 Ogos 1957. Pengumuman itu disambut dengan jeritan "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" oleh lebih daripada 100,000 orang yang datang dari seluruh pelosok Persekutuan Tanah Melayu. Kepulangan rombongan tersebut yang sememangnya ditunggu diiringi oleh sepasukan pemuda bermotosikal dan berpuluh-puluh buah kereta dari Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka ke Padang Banda Hilir, Melaka.

Rombongan Perjanjian Kemerdekaan

Melaka dipilih sebagai tempat untuk mengumumkan tarikh kemerdekaan sebagai simbolik bahawa negeri tersebut adalah antara yang mula-mula dijjah oleh kuasa asing; Portugis 1511, Belanda 1641 dan juga British 1824. Tahukah anda ketika sambutan pada hari tersebut, Tunku menaiki pentas yang dibuat dengan menggunakan dua biji lori yang digabungkan menjadi satu? Pada ketika itu, tidak ada peruntukan kewangan, rakyat dan pemimpin Persekutuan Tanah Melayu bersatu hati untuk menjayakan sambutan kemerdekaan.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya telah menjemput 53 pemimpin negara dan isteri masing-masing menghadiri sambutan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada ketika itu, hanya ada 5 buah hotel yang mempunyai taraf sebagai hotel mewah dan sesuai untuk menjadi tempat penginapan tetamu kehormat dari luar negara.

Perwakilan asing yang hadir:
  • Raja dan Permaisuri Siam
  • Putera dan Puteri Mahkota Jepun
  • Johannes Gerhardus Strijdom, Perdana Menteri Afrika Selatan
  • Jawaharlal Nehru, Perdana Menteri India
  • Huseyn Shaheed Suhrawardy, Perdana Menteri Pakistan
  • Pham Van Dong, Perdana Menteri Vietnam
  • Solomon Bandaranaike, Perdana Menteri Ceylon (Sri Lanka)
  • U Nu, Perdana Menteri Burma
  • Sim Var, Perdana Menteri Kemboja
  • Sir Alexander Grantham, Gabenor Hong Kong
  • John Foster Dulles, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (mewakili Presiden Amerika Syarikat)
  • Duta Australia, Kanada dan New Zealand
  • Lim Yew Hock, Ketua Menteri Singapura
  • Putera Henry, Duke of Gloucester (wakil Ratu Elizabeth II), Puteri Alice, Duchess of Gloucester dan Putera William of Gloucester
  • Sir Gerald Templer (bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu)
  • Lady Gurney dan Lady Gent (isteri bekas Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu).



Pada 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya sehingga jam 6.30 pagi, acara yang sepatutnya dimulakan pada jam 7 pagi ditangguhkan sejam kepada 8 pagi kerana masih ramai yang belum dapat hadir.

Persekutuan Tanah Melayu telah merdeka secara rasminya tepat jam 9.30 pagi pada 31 Ogos 1957. Sambutan Kemerdekaan ini diadakan di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang termasuklah Raja-raja Melayu, tetamu-tetamu khas dari luar negara, anggota-anggota kabinet Kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata. Pada hari tersebut, wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri YTM Tunku Abdul Rahman menandakan berakhirnya jajahan British ke atas Tanah Melayu.

31 Ogos 1957

Tunku Abdul Rahman kemudiannya membaca Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sebaik selesai, beliau melaungkan "MERDEKA!" sebanyak tujuh kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka. Upacara ini kemudiannya disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’. Sebanyak seratus satu (101) das tembakan meriam dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Bendera Malaysia

Untuk pengetahuan semua, orang yang menaikkan bendera Malaysia ketika lagu negaruku berkumandang adalah Leftenan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd. Sarif Kalam bersama dua rakannya, Awang Mohd. Salleh dan Oliver Culvelt Samuel.