Sabtu, 23 November 2013

Duit Syiling Specimen & Pattern Malaysia

Tahukah anda, ada banyak Duit Syiling Specimen & Pattern untuk syiling Malaysia yang kita tidak pernah lihat? Saya berharap, suatu hari nanti, Bank Negara Malaysia (BNM) sudi untuk membuat pameran Malaysia Specimen & Pattern Coins. Saya tahu kebanyakan duit syiling ini masih ada ditangan BNM lagi dan berharap ianya tidak akan terlepas keluar ke tangan collector dengan sewenang-wenangnya.

Malaysia coin

Kepada anda yang tertanya-tanya apa itu duit Syiling Specimen & Pattern. Duit syiling Specimen atau duit contoh adalah duit syiling yang dibuat didalam rekabentuk yang sebenar untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak yang bertanggungjawab untuk meluluskan rekabentuk duit syiling tersebut. Ianya bukanlah duit syiling yang akan diedarkan dan biasanya hanya dibuat didalam 5-6 keping sahaja.

Duit Syiling Pattern pula adalah duit syiling yang dibuat didalam pelbagai rekabentuk yang akan ditunjukkan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mendapatkan kelulusan rekabentuk. Pelbagai rekabentuk mungkin akan dipersembahkan sekaligus untuk menunjukkan pilihan rekabentuk yang ada.

Terdapat juga Duit syiling trial yang dibuat untuk menguji logam mana yang sesuai digunakan untuk duit syiling terbabit.

Saya pernah terlihat gambar-gambar duit syiling ini yang ada didalam koleksi BNM dan sememangnya ia membuatkan saya terliur melihatnya. Gambar-gambar tersebut bukan milik saya dan saya tidak mempunyai salinan gambar tersebut.

1 ringgit 1988

Di Muzium Bank Negara, ruangan Galeri Numismatik di Sasana Kijang, kita boleh melihat Syiling Bunga raya tahun 1988 untuk denominasi 1 ringgit, 50 sen, 20 sen dan 5 sen. Untuk makluman anda, Syiling Bunga raya hanya mula dikeluarkan pada tahun 1989. Rasanya ini adalah satu-satunya duit syiling specimen yang dipamerkan oleh BNM. Tidaklah pula diketahui sama ada orang yang membuat pameran ini sedar tentang perkara ini. Namun, diruangan pameran itu tidak ada dinyatakan ianya sebagai specimen.

Jika anda perasan, pada tahun 2003 ada berita mengenai Royal Mint Malaysia bercadang untuk mengeluarkan reka bentuk baru duit syiling Malaysia. Didalam berita yang dikongsi oleh Pengarah Urusan syarikat itu, Datuk Megat Mohamed Abdul Wahab, diceritakan bahawa mereka bercadang untuk mengeluarkan reka bentuk baru yang tidak menggalakkan peniru-peniru duit palsu. Duit syiling yang dicadangkan itu juga akan menggunakan bahan baru untuk menjadikannya lebih ringan dan lebih selesa untuk dibawa di dalam saku seseorang. Tahun pengeluaran di dalam duit syiling yang dicadangkan itu juga akan diukir dalam nombor Arab menurut kalendar Islam di samping huruf-huruf biasa yang menandakan tahun Gregorian.

Pada tahun 1966, Malaysia yang akan mengeluarkan syiling barunya ada mengadakan Pertandingan Mereka Syiling Kebangsaan 1966 yang di anjurkan oleh Arts Council of Malaysia bagi Pihak Bank Negara Malaysia. Syiling itu dijadualkan akan dilelong oleh Collectibles Auction Asia pada 3 Oktober 2015 di Singapura. Anda boleh membaca sejarah mengenai syiling pattern 1966 Malaysia itu di dalam artikel; Sejarah Syiling Malaysia 1966 yang tidak dikeluarkan.


syiling 1966

Koleksi Syiling 1966 Unifaced Trial Pattern itu mengandungi:
1 Sen.Obverse.Probocis Monkey.
1 Sen.Obverse.Cattle Egret Bird.
5 Sen.Obverse.Elephant Ant-eater.
10 Sen.Obverse.Armadillo.
10 Sen.Reverse.1967 Double-hibiscus Rosettes.
10 Sen.Reverse.1967 Single-hibiscus Rosettes.
20 Sen.Obverse.Mouse deer with tall lallang background.
20 Sen.Obverse.Mouse deer with hill and lallang background (improve version).
20 Sen.Obverse.Mouse deer on the hill.
50 Sen.Obverse.Peacock.

Selain itu, terdapat juga duit syiling emas RM200 Specimen Sukan SEA ke-9 yang dikeluarkan oleh Franklin Mint, Amerika Syarikat: 9th South East Asia Games RM200 Commemorative Gold coin specimen.

specimen coin

Terdapat banyak lagi duit syiling Specimen & Pattern Malaysia yang sudah ada ditangan collector. Namun, amat jarang kita membaca duit syiling specimen Malaysia dilelong dimana-mana acara lelongan duit syiling.

Saya cuma berharap pada suatu hari nanti, BNM akan mengadakan pameran duit syiling Specimen & Pattern yang ada di Bank Negara Malaysia. Ramai daripada kita yang tidak pernah melihatnya. Rasanya kita masih boleh melihat wang kertas Specimen Malaysia di Sasana Kijang tetapi duit syiling sebegini tidak pernah dipamerkan oleh BNM lagi. Bertuahnya kakitangan BNM kerana dapat memegang duit syiling yang rasanya amat berharga kepada sejarah duit syiling negara kerana tanpa duit syiling specimen dan pattern ini, tidak ada duit syiling edaran.