Sebentar tadi saya terbaca status bergambar seorang kawan blogger, Dua Congkak "Hari ni punya projek dari pagi x siap2... mana idea ni...kantoi betul laaa..." Dalam status tersebut beliau mengeluh mengenai kekurangan idea untuk menulis artikel didalam blognya sedangkan gambar sudah tersedia untuk artikel tersebut.
Itulah juga yang biasa saya hadapi didalam menulis blog-blog saya. Kekurangan idea adalah di antara salah satu sebab kenapa adakalanya saya tidak menerbitkan artikel terbaru didalam blog. Namun, buat masa ini, kebanyakannya disebabkan oleh perubahan masa atau ruang untuk menulis yang saya ada. Jika dahulu, saya mempunyai masa untuk menulis artikel diwaktu awal pagi. Pada ketika ini, masa menulis yang saya ada hanyalah pada waktu petang, sebelah malam dan juga hujung minggu. Sudah hampir sebulan saya cuba untuk menyesuaikan diri dengan perubahan masa menulis tersebut.
Menulis blog bukanlah suatu yang mudah jika kita tidak mempunyai minat untuk menulis serta tidak mempunyai ilmu dan maklumat yang cukup untuk dikongsikan kepada pembaca. Menulis juga memerlukan kesabaran kerana ada artikel yang memerlukan kita membuat kajian yang memakan masa berbulan lamanya.
Menulis cerita mengenai numismatik juga bukanlah senang jika kita melihat kepada senario di negara kita. Walaupun penduduk dinegara kita sudah melebihi 40 juta orang (Jika termasuk dengan Pendatang Asing Tanpa Izin), komuniti numismatik di Malaysia adalah amat kecil. Pada pandangan saya, hanya ada lebih kurang 5,000 orang dan daripada jumlah itu, hanya separuh sahaja yang betul-betul aktif mengumpul duit lama. Namun, jumlah itu tidak termasuk dengan penjual duit lama secara kecil-kecilan yang semakin mendadak sejak akhir-akhir ini.
Terima kasih kepada kawan-kawan sama ada di Facebook atau di alam nyata yang banyak membantu saya mencari bahan-bahan untuk artikel-artikel saya. Jika saya tidak mendapat input/maklumat atau idea daripada mereka, kekurangan idea itu pastinya akan berlaku lebih kerap lagi.
Di Malaysia, sepertimana yang pernah saya cakap sebelum ini, kita kekurangan bahan bacaan untuk numismatik mengenai Malaysia sama ada secara online atau offline; risalah, buku dan majalah. banyak lagi perkara mengenai numismatik Malaysia yang tidak dibukukan atau ditulis sebagai contoh Syiling Kesultanan Melayu. Di negeri melayu ini, ada negeri Selangor, Johor, Perak, Kelantan, Terengganu, Melaka, Pahang, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan dan juga Pulau Pinang yang mempunyai syiling bercirikan negeri-negeri tersebut. Walaupun Saran Singh telah merekod mengenai sebahagian daripada syiling tersebut didalam bukunya The Encyclopaedia of the coins of Malaysia Singapore and Brunei 1400-1986, ada juga syiling yang masih belum direkodkan. Sejarah mengenai cerita dan juga sejarah syiling-syiling Melayu juga amat sukar untuk dicari.
Menulis blog bukan hanya sekadar berkongsi gambar duit syiling dan kemudiannya menulis beberapa patah perkataan mengenai duit syiling tersebut. Saya perlu menulis lebih kurang 300 patah perkataan yang boleh membantu pembaca saya memahami cerita mengenai syiling tersebut. Itu satu cabaran kerana bukan mudah untuk mendapatkan maklumat dan pada masa yang sama menulisnya didalam blog.
Saya tahu ada ramai lagi daripada anda yang mempunyai ilmu numismatik yang lebih baik daripada saya dan saya berharap suatu hari nanti anda akan mula menulis supaya boleh berkongsi ilmu dengan rakan-rakan semua.
Semoga rakan-rakan numismatik blogger semua akan terus berusaha untuk menulis dan berkongsi ilmu. Jangan putus asa untuk terus menulis.
Menulis itu bukannya mudah tetapi apabila orang membaca hasil tulisan kita terasa nikmat yang orang lain tidak akan rasa.