Sebelum ini, saya ada membincangkan mengenai isu penipuan pembelian online. Hari ini saya akan memberikan tips atau cara-cara untuk mengelakkan penipuan ketika pembelian melalui online atau secara atas talian. Tips ini adalah berdasarkan pengalaman saya dan kawan-kawan yang menyertai perbincangan sebelum ini.
Untuk makluman, saya pun tidaklah lama sangat didalam jual beli secara online. Saya mula menceburi diri didalam jualan online apabila saya mula menjual koleksi numismatik pada tahun 2003 di lelong.com.my. Ianya bermula apabila saya ditipu didalam pembelian saya yang pertama didalam website tersebut. Pada ketika itu, tidak ramai peniaga yang menjalankan jual beli koleksi numismatik secara serius online. Pada penghujung tahun 2004, saya mula membuat jualan di mudah.com.my. Saya telah berhenti menjalankan jualan online sejak akhir tahun 2012.
Pada pendapat saya, penipuan online terjadi kerana pembeli termakan pancing yang telah dipasang oleh scammer atau si penipu. Jika pembeli boleh melihat pancing tersebut akan menjerat dirinya kemudian hari, sudah pasti tidak akan berlaku insiden penipuan. Untuk membantu diri anda sebagai persediaan ketika membeli-belah secara online, terdapat beberapa sikap dan sifat didalam diri kita yang perlu dikawal:
i. Elakkan perasaan gelojoh dan banyakkan bersabar.ii. Jangan tamak dan rambang mata tapi berfikir secara rasional.
iii. Jangan malu bertanya.
Jerat yang dipasang oleh scammer ini biasanya adalah menjual barangan pada harga yang cukup murah, sehinggakan kita rasa teruja dan rasa rugi jika kita tidak mengambil kesempatan untuk membeli barangan tersebut. Pada kebiasaannya, si penipu internet ini lebih suka untuk membuat penipuan dengan menjual barang-barang eletronik seperti telefon bimbit dan gadjet-gadjet terkini. Namun, koleksi numismatik juga tidak terkecuali daripada dijadikan sebagai bahan untuk mengadakan penipuan online.
Disini saya kongsikan cara-cara untuk mengelakkan penipuan ketika anda ingin melakukan pembelian online untuk barang-barang numismatik:
1. Jangan beli jika harga terlalu murah
Jika harga yang ditawarkan terlalu murah, berhenti berkomunikasi dengan penjual. Ada kemungkinan penjual tersebut tidak mempunyai barangan tersebut atau beliau sedang cuba menjual koleksi palsu kepada anda. Anda perlu tahu tentang harga pasaran terkini koleksi yang anda ingin beli itu.
2. Jangan beli jika penjual ada banyak barang "rare"
Barang rare seperti duit syiling 50 sen 1967, 1968 dan 1969 sisi bergerigi atau Milled Edge amat sukar ditemui berbanding dengan sisi berparit. Jika penjual ada menawarkan set lengkap (50 sen 1967, 1968 dan 1969) atau lebih dari sekeping 50 sen milled edge pada masa yang sama, sila lihat dengan lebih teliti gambar yang beliau sertakan. Jika anda tidak biasa melihat duit syiling tersebut, mohon bantuan daripada yang pakar. Barang "rare' adalah amat sukar untuk didapati secara banyak pada satu-satu masa.
3. Buat kaji selidik tentang penjual
i. Sebelum membuat bayaran, sila buat kaji selidik mengenai penjual sama ada dengan bertanya dengan kawan-kawan atau cuba membuat carian di Google. Sebagai contoh:
ID Facebook : Kandangnumis
Nama Penuh : Mohd Jiwa Bin Putek
No Telefon : 013-1992787
No akaun Bank : Maybank 1992787646rt (Nama No Akaun Bank: Farah Binti Barah)
Emel : currencyscam4346546456@gmail.com
Buat carian di Google untuk setiap informasi yang anda dapat di atas. Jika nama-nama tersebut ada tersenarai dimana-mana blog, website, forum sebagai penipu atau scammer, elakkan dari membuat bayaran.
Anda juga boleh menyemak akaun bank dan juga no telefon scammer di laman web PDRM: Cara menyemak peniaga scammer online.
Anda juga boleh menyemak akaun bank dan juga no telefon scammer di laman web PDRM: Cara menyemak peniaga scammer online.
ii. Ada kemungkinan, nama mereka ini tidak keluar ketika dicari dalam enjin carian Google. Oleh itu, anda perlu bertanya dengan rakan-rakan yang lebih lama didalam jualbeli numismatik online jika mereka kenal penjual tersebut.
iii. eBay, lelong.com.my dan juga forum biasanya ada ruangan feedback mengenai transaksi/sejarah penjual sebelum ini. Namun, di dalam Facebook dan juga Mudah.my anda tidak dapat membaca sebarang feedback seperti itu.
iv. Jika mereka ada memaparkan nama perniagaan atau nombor pendaftaran perniagaan/syarikat, anda boleh menyemaknya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Anda boleh membaca cara-cara menyemak senarai peniaga berdaftar dengan SSM disini; Cara menyemak peniaga berdaftar SSM. Jangan membuat bayaran kepada akaun bank yang mempunyai nama yang berbeza sepertimana yang di iklankan oleh penjual. Jika nama syarikat yang dipaparkan sebagai "ABC Enterprise", nama akaun bank juga perlulah sebagai "ABC Enterprise".
4. Lihat dengan teliti gambar yang disertakan
Didalam iklan yang dibuat penjual pada kebiasaannya ada disertakan gambar koleksi numismatik yang ingin dijual. Lihat dengan teliti gambar-gambar yang dikongsi oleh penjual.
i. Jika gambar item yang ditunjukkan tidak jelas dan kecil, minta penjual untuk emailkan gambar item yang lebih jelas dan memuaskan hati anda.
ii. Jika gambar yang disertakan mempunyai watermark/kesan watermark yang telah diblurkan, selidik mengenai gambar tersebut. Ada kemungkinan penjual menggunakan gambar orang lain dan bukan menunjukkan item yang sebenar. Sebagai contoh, blog saya ada menggunakan logo malaysiancoin.com sebagai watermark.
5. Jika penjual baru, buat COD sahaja
Jika anda terpaksa juga untuk membeli dengan penjual yang tidak dikenali, pastikan beliau boleh menerima Cash on Delivery (COD) atau dalam erti kata lain, menerima pembayaran apabila anda bertemu dengannya. Jika penjual tersebut tidak boleh melakukan COD atas faktor kedudukan anda dan beliau yang jauh dan anda tidak mempunyai rakan yang tinggal berdekatan dengan tempatnya untuk membantu anda melakukan COD, elakkan daripada membuat urusniaga dengan penjual tersebut. Jangan sekali-kali membayar duit terlebih dahulu, bayar apabila anda telah melihat/meneliti item yang ditawarkan dan anda berpuashati dengan keadaan koleksi yang ditawarkan tersebut.
6. Jika anda rasa tertipu, bersuaralah
Didalam komuniti numismatik di Facebook yang saya lihat sekarang ini, urusan jual beli yang berakhir dengan penipuan amat sukar untuk diketahui kerana pembeli yang ditipu berdiam diri. Mungkin kerana malu dirinya telah ditipu atau juga tidak sedar yang dia telah ditipu. Berdiam diri akan hanya membantu scammer ini untuk terus menjalankan aktiviti penipuan mereka. Kongsi bukti yang anda ada didalam ruang Facebook pages atau groups tersebut supaya rakan-rakan lain tidak tertipu dimasa hadapan.
Ada juga penipu yang menjual koleksi yang murah (item ada pada tangan dan pembeli terima item) terlebih dahulu untuk mendapatkan keyakinan dan kepercayaan dikalangan ahli kumpulan numismatik yang beliau sertai. Apabila beliau rasakan yang kepercayaan itu telah diperolehi, beliau akan mula menjual koleksi pada harga yang mahal (koleksi tersebut hanya gambar, tidak ada item fizikal sebenar pada penjual).
Berhati-hatilah ketika membuat belian secara online.