Memulakan perniagaan numismatik di internet, anda tidak boleh lari daripada risiko-risiko didalam hobi numismatik dan juga perniagaan online. Kebanyakkan mereka yang tidak ada pengalaman jual beli koleksi numismatik beranggapan perniagaan ini risikonya sangat rendah berbanding dengan perniagaan yang lain. Sebenarnya, numismatik juga seperti perniagaan yang lain, ada risikonya.
Jika anda tidak mempunyai pengetahuan numismatik yang cukup, ada kemungkinan bisnes anda akan mengalami kerugian. Sebab itu, didalam artikel-artikel saya sebelum ini saya banyak kali menekankan mengenai mencari ilmu numismatik sebanyak mungkin kepada pengumpul/pelabur dan juga penjual baru.
Ketika ini, ada ramai peniaga online yang memulakan perniagaan mereka di Facebook. Ini sedikit sebanyak membantu mempromosi numismatik kepada bukan pengumpul duit lama dan adakalanya menyebabkan kejatuhan harga pasaran sesuatu barangan kerana lambakan barangan tersebut pada sesuatu masa.
Sebagai peniaga yang tidak mempunyai kedai fizikal, anda juga akan membeli secara atas talian dan juga pergi ke kedai-kedai atau flea market untuk mencari stok jualan anda.
Apakah risiko-risiko didalam bisnes numismatik online:
1. Terbeli atau terjual duit palsu, sudah dicuci atau diperbaiki
Ini di antara masalah yang paling biasa berlaku kepada penjual duit lama. Jika anda penjual yang tidak beretika, ada kemungkinan anda boleh saja menjualnya semula secara online dengan menipu orang untuk mengelakkan anda mengalami kerugian besar. Namun, jika anda seorang penjual yang jujur, ada kemungkinan kerugian kerana terbeli duit palsu, sudah dicuci atau diperbaiki itu terpaksa anda telan sendiri.
2. Terbeli atau terjual koleksi salah gred
Masalah untuk mengred duit syiling (VF, EF, UNC) adalah pada kebiasaannya dihadapi oleh penjual baru yang tidak ada pengalaman menjual duit lama. Syiling dicuci yang digred sebagai BU apabila sampai kepada pelanggan anda yang tahu tentang gred duit syiling sudah pasti akan marah dan ini secara tidak langsung akan menjejaskan reputasi anda apabila beliau menghebahkannya kepada rakan-rakannya.
3. Persaingan dengan penjual lain
Penjual yang telah lama menjalankan perniagaan online pun amat terasa dengan persaingan yang berlaku ketika ini. Terutamanya apabila pesaing menjual harga yang lebih murah daripada harga pasaran. Jika anda boleh turut menjualnya pada harga murah, mungkin tidak apalah tetapi jika harga itu sudah dibawah kos anda, terpaksalah menunggu penjual yang menjual pada harga murah itu kehabisan stok. Harga yang lebih murah adalah faktor utama pelanggan tertarik kepada penjual-penjual baru.
4. Reputasi sebagai penjual online yang baru
Jika anda adalah seorang penjual yang baru sahaja memasuki arena numismatik online. Anda perlu mengambil masa untuk membina reputasi dikalangan kawan-kawan dan juga pelanggan. Usaha juga perlu lebih agresif untuk memastikan bakal pelanggan anda tahu tentang kewujudan anda didalam komuniti numismatik. Ada kemungkinan anda tidak akan mendapat pelanggan untuk beberapa bulan yang awal sebab orang masih lagi tidak mengenali anda.
5. Ditipu pelanggan/pembeli
Ada bermacam-macam cara orang nak menipu sekarang ni. Sebagai penjual online, anda perlu peka dengan perbincangan mengenai kes-kes penipuan online yang berlaku. Ada pelanggan yang kononnya daripada luar negara mengatakan duit telah di pindahkan secara atas talian ke bank anda tetapi memerlukan 2 minggu untuk anda menerima duit tersebut. Namun, pada masa yang sama, dia meminta anda untuk menghantar barang tersebut kepadanya. Ada pelanggan yang sengaja memberikan anda alamat yang salah/mengelirukan dan kemudiannya akan menghbungi anda semula memberitahu barangan tidak sampai serta meminta refund. Padahal beliau ada menerima barangan tersebut tetapi atas nama orang lain.
6. Barang hilang/rosak ketika dihantar menggunakan pos
Pada ketika ini, ada beberapa peniaga yang merungut barangan yang mereka pos kepada pelanggan hilang semasa dihantar menggunakan perkhidmatan kurier. Untuk pengetahuan anda, koleksi duit lama (syiling dan wang kertas) adalah diantara barangan larangan yang tidak dibenarkan untuk dipos (Pos Malaysia) melainkan dihantar secara jaminan. Oleh itu, jika barang anda itu hilang/rosak, adalah sedikit sukar untuk anda menuntut semula nilai barangan anda itu. Kebiasaannya, Poslaju tidak bermasalah jika anda membungkus barangan anda dengan baik sehingga menyukarkan mereka untuk meneka apa yang ada didalam bungkusan anda itu.
7. Dihubungi pelanggan 24 jam
Apabila anda sudah mula melakukan perniagaan online, bersedialah untuk dihubungi oleh pelanggan 24 jam sehari. Entah kenapa, apabila mereka terlihat nombor telefon didalam iklan yang mereka lihat online, mereka secara automatik akan membuat panggilan ke nombor tersebut walaupun pada ketika itu sudah jam 2 pagi. Mungkin mereka beranggapan, peniaga online ini akan bekerja 24jam sehari.
8. Di ganggu oleh pesaing anda
Gangguan itu boleh datang didalam pelbagai cara dan juga sudut yang berbeza. Mungkin ada diantara mereka akan menghubungi anda hanya untuk sekadar bertanya harga pasaran duit lama. Ada pula yang akan cuba membeli duit lama yang anda jual pada harga murah supaya mereka akan dapat menjualnya semula. Harga murah yang diminta mereka ini adakalanya tidak masuk akal dan menyakitkan hati. Ada juga yang akan cuba untuk menjatuhkan reputasi anda untuk mengurangkan pesaing didalam perniagaan ini.
9. Barangan dicuri ketika bertemu pelanggan
Ketika bertemu pelanggan secara bersemuka, ada kemungkinan juga barangan anda akan dicuri ketika anda bertemu mereka. Ada kes, pencuri yang menyamar sebagai pelanggan itu hanya mencuri koleksi yang berharga mahal sahaja dan ada juga kes yang pencuri itu mengambil satu album koleksi yang ingin dijual. Oleh itu, jika hendak membawa koleksi yang ingin dibeli pelanggan, berhati-hati. Terutama kepada penjual baru yang masih kurang bertemu dengan pelanggan secara bersemuka.
10. Tidak ada pengalaman mengendalikan koleksi numismatik
Jika anda tidak ada pengalaman didalam bidang numismatik, ada kemungkinan koleksi numismatik yang anda simpan untuk jualan anda itu tidak dijaga dengan rapi sehingga menyebabkan koleksi numismatik itu jatuh nilainya. Anda juga perlu belajar bagaimana untuk menghantar barangan numismatik melalui pos supaya ianya tidak rosak. Ada penjual yang menghantar wang kertas didalam sampul tanpa ada apa-apa bahan lain yang menjaga kualiti wang kertas tersebut seperti kertas tebal dan sebagainya. Ada juga kes dimana penjual duit syiling melekatkan syiling dengan solatep pada kertas kadbod.
Ini adalah antara risiko yang saya rasa biasanya berlaku kepada penjual duit lama. Ada kemungkinan wujud risiko-risiko lain yang saya terlupa untuk tulis dan juga tidak pernah alaminya lagi. Anda juga perlu mendaftarkan perniagaan anda dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk mengelakkan anda diambil tindakan di bawah Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun; peniaga online perlu daftar perniagaan.
Sila kongsikan pendapat anda mengenai risiko-risiko bisnes numismatik online didalam ruangan komen.
Sila kongsikan pendapat anda mengenai risiko-risiko bisnes numismatik online didalam ruangan komen.