Didalam mengumpul duit lama, kita perlukan ilmu supaya kita dapat mengumpul, menyimpan dan juga menilai duit syiling yang akan kita jadikan koleksi. Ilmu-ilmu numismatik tersebut memerlukan kita belajar daripada orang lain selain mencari ilmu di internet.
Ilmu daripada seorang mentor yang betul-betul memahami sesuatu cabang numismatik itu adalah satu keutamaan berbanding kita mencari ilmu dengan membaca blog, forum serta laman web. Didalam dunia internet yang luas ini, ramai "pakar-pakar tiruan" yang muncul bersama-sama dengan penyokong mereka. Jika anda masih baru didalam mencari info melalui internet, ada kemungkinan anda akan tersalah maklumat.
Facebook pada ketika ini adalah antara tempat rujukan yang mendapat tempat dikalangan komuniti numismatik. Anda perlu bertanya dengan kawan-kawan yang telah lama didalam sesuatu group untuk mempastikan mentor yang kita mohon bantuan itu tidak menipu. "Pakar-pakar segera" ini ada yang mengambil kesempatan untuk menarik pengikut didalam Facebook. Apabila telah ramai pengikut, maka bermulalah episod menjual yang akan berterusan dengan penipuan.
Apakah ilmu-ilmu numismatik yang perlu ada pada seorang collector?
1. Belajar bagaimana untuk menyimpan duit lama.
Menyimpan duit lama atau duit peringatan memerlukan kemahiran dan juga ilmu. Jika anda tidak belajar bagaimana untuk menyimpan duit lama dengan betul, syiling itu ada kemungkinan akan rosak. Kepada mereka yang hanya berfikir untuk membuat pelaburan, biasanya alasan, I am not a collector akan diberikan. Apabila duit lama itu sudah rosak, grednya akan jatuh, harganya akan jatuh. Pelaburan anda akan mengalami susut nilai. Jangan menjadi pelabur tetapi tidak mahu belajar ilmu menyimpan duit lama.
2. Belajar bagaimana untuk mengred duit syiling.
Jika anda tidak belajar sendiri, kemungkinan anda ditipu adalah amat tinggi. Gred duit syiling adalah diantara faktor yang menyumbang kepada harganya. Didalam keadaan suasana numismatik pada ketika ini, kebanyakan syiling bergred tinggi berharga mahal. Anda tidak mahu menyesal kerana terbeli duit syiling yang mempunyai gred yang lebih rendah dari apa yang ditawarkan kepada anda. Belajar mengred duit syiling memerlukan pengalaman dan tempoh masa yang lama. Kepada newbies yang tidak faham bagaimana mengred duit syiling (V.Fine, Extremely Fine, Uncirculated dsb), anda boleh membacanya didalam artikel ini; Coin grading for newbies.
3. Belajar bagaimana untuk mengenali duit palsu
Didalam keadaan sekarang ini, ramai orang ingin mengaut keuntungan dengan jalan mudah. Duit syiling palsu yang di import dari China membanjiri pasaran duit lama kita. Ramai newbies yang terpedaya dengan janji-janji manis bahawa duit itu adalah tulen, terbeli duit syiling tersebut. Jika terbeli pada harga RM5 sekeping tidak mengapalah tapi kalau tertipu sehingga RM900 sekeping, memang menyakitkan hati. Duit syiling lama seperti Silver Trade Dollar, Vtraque Vnum serta pelbagai duit syiling perak lain menjadi pilihan untuk penjual yang menipu.
4. Belajar bagaimana untuk memilih mentor numismatik
Kebanyakan orang-orang lama numismatik tidak berapa aktif didalam media sosial kerana mereka sudah berumur. Apa yang saya lihat sekarang ini, mentor yang baik acapkali disisihkan kerana ahli komuniti numismatik di Facebook tidak mengenali mentor tersebut. Ini menjadikan mereka yang aktif didalam sesuatu group atau admin group tersebut adalah mentor yang digunapakai dengan tidak memandang pada ilmu numismatik yang mereka ada. Mentor adalah guru yang memberi panduan kepada kita, salah memilih mentor, anda akan mendapat ilmu yang salah. Orang yang telah berumur tidak semestinya adalah seorang mentor yang baik.
5. Belajar untuk rajin membaca
Kebanyakkan rakyat Malaysia di media sosial seperti Facebook, lebih suka untuk membaca tajuk sesuatu artikel yang dikongsi didalam Facebook page tanpa membaca artikel tersebut. Budaya malas membaca membuatkan ramai daripada kita yang kekurangan ilmu. Saya sendiri membaca lebih daripada 30 artikel sehari, dimana kebanyakkan artikel tersebut saya perolehi dari internet. Buku-buku numismatik juga menjadi salah satu panduan yang wajib kita ada.
6. Belajar untuk mengenali duit yang telah dicuci
Duit yang telah dicuci juga mempunyai nilai yang lebih rendah daripada duit syiling pada keadaan asal. Ramai pengumpul baru yang tidak senang melihat duit syiling mereka kotor serta hitam, mereka berusaha untuk mencucinya. Mereka tidak sedar, kelakuan ini menyebabkan harga untuk duit syiling tersebut jatuh menjunam terutamanya untuk duit syiling rare. Saya telah terangkan didalam artikel sebelum ini; kenapa tidak boleh mencuci duit lama.
Saya rasa cukup setakat itu sahaja untuk hari ini. Walaupun ada lagi ilmu-ilmu lain, saya berpendapat keperluan adalah lebih utama untuk kesemua yang di atas. Namun, jika anda rasa ada lagi ilmu-ilmu lain yang penting, sila kongsikan dengan semua.