Persatuan Numismatik Malaysia (Malaysia Numismatic Society-MNS) akan mengadakan acara lelongan duit lama yang ke-160 pada 29 Jun 2014 bertempat di Jabatan Muzium, Muzium Negara, Kuala Lumpur. Orang ramai adalah dijemput hadir untuk menyaksikan acara lelongan tersebut. Pelbagai wang kertas serta duit syiling dari Malaysia, negeri-negeri selat, Malaya dan juga luar negara akan dilelong didalam acara tersebut.
Walau bagaimanapun, kepada anda yang ingin untuk membuat bidaan didalam lelongan mereka, anda perlu menjadi ahli terlebih dahulu. Jika anda berminat menjadi ahli,anda boleh mendapatkan borang melalui website mereka. Bayaran RM20 dikenakan sebagai yuran kemasukan ahli dan juga RM40 untuk yuran tahunan.
Acara lelongan itu pada kebiasaannya akan dijalankan lebih kurang jam 9.30 pagi dan akan berakhir lebih kurang jam 1.00 tengahari. Terdapat meja-meja jualan yang akan dibuka seawal jam 8.30pagi yang akan menjual duit-duit lama, aksesori serta kelengkapan untuk pengumpul duit lama.
Jika anda tidak pernah melihat sendiri acara lelongan duit lama diadakan secara langsung, anda boleh datang ke Auction MNS ke 160 pada 29 Jun 2014 ini. Senarai duit lama yang akan dilelong, anda boleh lihat sendiri didalam artikel yang ditulis oleh blogger rasmi MNS, Sifu Dickson Niew; dniewcollectors.blogspot.com. Boleh bertanya dengan beliau juga, bagaimana caranya untuk menjadi ahli MNS.
Isteri saya kata, masa inilah jika nak tengok lelaki pelbagai umur, bangsa dan agama berebut-rebut melihat duit lama, tak ubah seperti melihat wanita cantik. Walaupun tidak dibenarkan untuk "memegang" dan "menyentuh" barangan yang akan dilelong, akan ada diantara mereka yang tetap nak pegang juga. Masa ini semua jadi gelojoh terhormat, gelojoh yang tak akan membuatkan para isteri risau.
Selepas selesai menghadiri acara lelongan, boleh terus melawat Sasana Kijang, Muzium matawang Bank Negara Malaysia. Jarak di antara Sasana Kijang dan Muzium Negara takdelah jauh sangat. Boleh bawa anak-anak belajar menghargai sejarah dan juga belajar serba sedikit mengenai hobi ini.
Jumpa anda di acara lelongan MNS ke 160 pada 29 Jun 2014 ini.