Soalan yang sudah sebati dengan saya dan juga yang selalu ditanya kepada rakan-rakan blogger serta penjual duit lama di seluruh Malaysia "Berapa harga duit ni?". Walaupun saya telah berkongsi mengenai harga duit syiling Malaysia didalam blog ini, masih ada lagi yang bertanya soalan yang sama, didalam komen blog dan juga di Facebook. Ilmu nak percuma tapi nak mencari maklumat malas walaupun ilmu dah ada depan mata. Inilah yang saya hadapi sebagai blogger numismatik sejak tahun 2008 lagi.
Apabila saya bercakap agak pedas didalam Facebook page:
"Kepada anda yang nak bertanya harga duit lama tu, beli buku katalog terbaru mengenai harga duit lama. Jangan nak ambil jalan mudah tanya kat page ni jer.... Beli telefon mahal-mahal boleh, beli buku harga tak sampai pun RM100 fikir banyak kali. Jangan nak harap ilmu free datang bergolek hari-hari. http://buff.ly/1pUM7lH".
Saya tahu ada yang terasa kerana siapa termakan cili, dialah yang terasa pedasnya.
Hahahahaha.... eloklah tu terasa kalau tidak sampai bila pun asyik nak benda free jer depan mata. Saya sendiri pun lebih RM2,000 habis duit beli Buku Numismatik dalam setahun. Mungkin bagi anda, saya blogger, memang kena beli buku. Tapi ada di antara anda yang nak beli dan juga nak jual duit lama yang berharga beribu-ribu ringgit sekeping, tapi beli buku harga RM100 pun tak nak, nak jimat kononnya. Bijak.., bijak....
Walaupun blog ini menumpukan tentang duit syiling Malaysia sahaja, masih ada yang bertanya mengenai wang kertas dan juga duit luar negara. Nak kata buta boleh pulak membaca tapi tak faham kot, dah tajuk kat blog mengenai "Malaysia Coin", apasal nak tanya mengenai wang kertas pulak? Apa salahnya keluarkan duit sedikit membeli buku untuk menambah ilmu? Bak kata saudara @Khairul Nizam Sabri di Facebook page tu "Rokok Dunhill sekotak rm13 boleh beli".
Soalan mengenai harga duit lama saya terima hari-hari melalui Facebook dan juga email. Itu tidak termasuk mereka yang menelefon, sms dan mms bertanyakan harga duit mereka, ada yang telefon saya jam 2 pagi semata-mata nak saya beritahu dia harga duit lamanya. Itu nasib baik tak ramai yang tahu nombor whatsapps atau lain-lain apps free lagi. Cuba anda bayangkan anda berada didalam keadaan saya, apa yang saya rasa?
Padahal, jawapan itu semua telah saya kongsikan didalam blog-blog saya dan juga telah ada ditulis didalam buku-buku katalog. Nak maklumat percuma, tekanlah Kitab Google dan cari maklumat yang anda perlukan. Jika anda nak cari maklumat mengenai duit syiling Malaysia, dekat sebelah atas blog ni, ada kotak search, carilah maklumat yang anda perlukan. Nak maklumat cepat, beli buku berkaitan dengan duit atau wang kertas yang anda ada. Saya dulupun tak tahu apa-apa apabila saya mula menjual duit lama tetapi saya beli buku-buku katalog.
Apabila saya cakap yang duit syiling 50 sen berparit tahun 1968 dan 1967 itu berharga 1 juta ramai pulak yang tak percaya http://buff.ly/1niYCC7.
Saya menulis bukan untuk memberitahu harga duit lama kepada anda sahaja, saya menulis untuk mengajak anda turut serta didalam hobi ini. Tulisan saya memang sarkastik sebab saya tak tahu nak tulis cara lain. Oleh itu, mohon terasa kepada anda yang suka bertanya tetapi tidak ada inisiatif untuk mencari ilmu.
Saya juga menulis bukan untuk menjadi popular, kalau saya nak blog saya popular, lebih baik saya tulis cerita gossip mengenai artis Malaysia, boleh senang-senang dapat pendapatan beribu ringgit sebulan daripada iklan sahaja.
Sebelum anda nak bertanya tu, carilah dulu maklumat dan tengoklah dulu jika soalan itu sesuai dengan blog saya.