Rabu, 1 Oktober 2014

Kenapa orang luar menulis cerita numismatik kita?

Saya telah menulis blog sejak tahun 2008 lagi dan apabila blog mula dikenali, ramai penulis-penulis buku numismatik luar negara yang menghubungi saya, memohon bantuan mendapatkan maklumat untuk artikel-artikel didalam buku mereka. Tidak banyak yang saya dapat bantu sebab saya sendiri masih banyak yang perlu dipelajari. Namun, alangkah baiknya jika orang Malaysia sendiri yang menulis mengenai numismatik Malaysia.

numismatik

Buku yang ditulis oleh Saran Singh;The Encyclopedia of the coins of Malaysia Singapore & Brunei 1400-1967, sehingga kini masih menjadi bahan rujukan terpenting untuk tin coins di seluruh dunia. Buku itu diterbitkan pada tahun 1986, sehingga kini tidak ada lagi buku yang membuat kemaskini mengenai tin coins. Setahu saya ada banyak penemuan baru yang tidak ada lagi direkodkan didalam mana-mana buku. Syiling seperti inilah yang dicari oleh penulis luar negara kerana orang lain akan merujuk kepada buku mereka.

Menulis buku bukannya perkara yang mudah, ia perlu dibuat dengan teliti dan sebarang kesilapan perlu dipastikan adalah ditahap minima kerana maklumat yang telah dicetak tidak boleh diubah seperti menulis blog. Setiap syiling yang ditemui perlu di ukur dan ditimbang, rekodnya dicatatkan dan nombor sirinya didalam buku itu dimasukkan. Gambar syiling yang diambil perlulah jelas dan apabila dibukukan, tidak tersalah letak. Selain itu, jumlah buku yang dicetak akan melibatkan kos kepada penerbitnya.

Namun, apa yang saya lihat diluar negara, mereka (penulis) sendiri yang menjadi penerbit serta menjual sendiri buku mereka. Jumlah cetakan mereka tidaklah tinggi, biasanya dibawah 1000 naskah sahaja, sebagai permulaan. Ianya akan diulang cetak apabila adanya permintaan tinggi daripada pembaca.

Penulis yang terbaru menghubungi saya ingin menulis buku mengenai token penjajah british. Dia terpanggil untuk menghubungi saya kerana token didalam artikel;Cowie Harbour Coal Co Ltd Token didakwa oleh beliau adalah miliknya. Dia meminta bantuan untuk memberikan kepadanya senarai token-token yang tidak pernah direkodkan dan juga jika boleh ingin membeli token-token tersebut sebagai kajian untuk buku yang ditulisnya. Walaupun saya sudah memaklumkan bahawa saya bukanlah seorang pengumpul token, beliau masih tetap mendesak saya memberikan maklumat.

Kenapakah bukan orang Malaysia sendiri yang menulis buku mengenai numismatik Malaysia? Saya tahu, ada ramai rakan-rakan diluar sana yang mengkhususkan kepada satu-satu bidang numismatik sahaja seperti tin coins, medal, syiling tembaga, token, kupon dan sebagainya. Mereka ini mempunyai kepakaran dan bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat sebuah buku.Jika tidak dapat menulis buku, berkongsi idea tersebut didalam blog dan juga laman sosial juga adalah suatu yang baik kerana ramai mereka yang tidak tahu boleh belajar sesuatu dari anda.

Apa yang saya lihat, orang kita lebih suka menyimpan ilmu yang mereka ada kerana tidak mahu apabila semakin ramai orang yang turut serta didalam bidang mereka, makin sukar untuk mereka mendapatkan koleksi. Apabila semakin ramai yang turut serta juga, harga untuk koleksi tersebut juga menjadi semakin mahal. Ini menyukarkan mereka untuk menyimpan sebanyak mana koleksi yang "rare" terlebih dahulu sebelum berkongsi ilmu mereka. Kebanyakkan ilmu yang ada dikongsi didalam kelompok masing-masing sahaja. sehingga sekarang pun, saya tahu ramai collector lama yang tidak bersetuju dengan kewujudan blog Malaysiancoin.com.

Namun, mereka tidak memandang ke hadapan, apakah yang akan berlaku kepada generasi seterusnya apabila mereka sudah tiada. Dimanakah mereka mendapatkan ilmu yang tidak pernah ditulis oleh generasi sebelumnya? Mereka mungkin terpaksa bermula semula dari awal sedangkan jika kita yang ada sekarang membantu mereka, kajian generasi mereka akan lebih mudah.

Adalah sesuatu yang merugikan apabila orang luar menulis buku mengenai numismatik Malaysia, sedangkan kepakaran itu datangnya dari negara ini.