Jualan syiling peringatan 75 Tahun Taman Negara baru sahaja telah di adakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Khabar angin yang kami dengar, satu lagi syiling peringatan baru akan dilancarkan didalam bulan Disember ini. Namun, tidak dapat dipastikan bilakah tarikh pelancaran dan tarikh jualan sebenar.
Sekali lagi, terima kasih kepada BNM kerana sudi memberi masa sebulan kepada pengumpul dan pelabur duit syiling peringatan membuat persediaan. Tarikh pelancaran dan tarikh jualan yang berbeza dalam selang masa sebulan memberi ruang kepada kami untuk bersedia dari segi kewangan dan cuti.
Namun, kami rasa ada beberapa perkara mengenai syiling peringatan yang boleh di tambah baik oleh BNM dimasa akan datang. Kami juga memohon kepada kakitangan BNM, jangan cepat melenting dengan sebarang cadangan dan pendapat yang kami berikan. kami tahu kakitangan BNM hebat-hebat belaka, sebab itu dapat bekerja dengan BNM. Kami pelanggan yang hina ini, cuma mahu memberikan cadangan untuk menambah nilai kepada koleksi syiling peringatan yang kami beli sahaja.
Walau bagaimana pun sepertimana yang BNM sedia maklum, buruk ke, cantik ke syiling peringatan yang dibuat oleh BNM, kami tetap kumpul juga. Terpulanglah kepada BNM yang mempunyai kuasa untuk menerima atau tidak cadangan yang kami utarakan.
1. Menaikkan jumlah tempaan (mintage)
Sepertimana yang kami utarakan sebelum ini didalam artikel; BNM harus ubah cara jual syiling peringatan. Sudah sampai masanya BNM mengkaji semula jumlah mintage setiap set syiling peringatan yang dikeluarkan.
Cadangan dari rakan-rakan di Facebook:
Mohd Sukririeyie: 2 dalam 1 dinaikkan jumlah set kepada 1,000 set.
Saiful Jefry: Jumlah coincard diturunkan menjadi 10,000 set dan 2 dalam 1 dinaikkan jumlah set kepada 1,000 set.
Si Mistri: Jumlah coincard diturunkan menjadi 6,000 set dan 2 dalam 1 dinaikkan jumlah set kepada 1,500 set.
Cadangan pihak kami:
-Jumlah coincard diturunkan menjadi 5,000 set
-Set 2 dalam 1 dinaikkan jumlah set kepada 1,000 set.
-Set Single Silver diturunkan menjadi 1,500 set.
2. Harga jualan syiling emas yang tidak lari jauh dari harga pasaran emas
Harga syiling emas yang terlalu mahal berbanding dengan harga pasaran juga menjadi penyumbang kepada kurangnya pembeli untuk syiling emas. Sebagai contoh, Harga pasaran emas pada ketika ini berada disekitar harga RM150 segram tetapi harga syiling emas BNM melebihi RM225 segram.
3. Rekabentuk kotak yang lebih kurang sama sahaja
Rakan di Facebook Mohd Sukririeyie menyuarakan pendapat rekabentuk kotak syiling peringatan BNM hampir sama sahaja. Tidak ada lagi kotak kayu atau seramik seperti yang pernah dibuat suatu ketika dahulu.
4. Rekabentuk syiling peringatan yang kurang menarik
Rakan Facebook Mohd Sukririeyie juga menyuarakan sudah sampai masanya BNM mengeluarkan syiling peringatan yang bukan bulat sahaja.
Kami juga sependapat dengan Mohd Sukririeyie. BNM sudah menempa syiling sejak tahun 1971 lagi, sudah lebih kurang 40 tahun pengalaman mengeluarkan syiling sendiri. Namun, syiling peringatan yang dikeluarkan sejak akhir-akhir ini rekabentuknya tidak begitu menarik.
Seperti syiling 40 tahun Hubungan Malaysia China, ada rekabentuknya yang hampir sama dengan syiling 50 tahun Bank Negara Malaysia.
Kualiti rekabentuk syiling peringatan Malaysia sejak akhir-akhir ini agak mengecewakan pengumpul syiling peringatan. Rekabentuk syiling jauh berbeza berbanding semasa zaman Royal Mint Malaysia. Kelihatan mereka yang membuat rekabentuk syiling tidak mempunyai kesungguhan didalam rekabentuk yang dihasilkan.
Sebagai contoh lagi, syiling peringatan 75 Tahun Taman Negara yang baru ini, Motif Harimau, Gunung Tahan, pokok palma dan juga pokok keruing diletakkan sebagai motif utama. Namun, akibat daripada terlalu banyak motif utama, rekabentuk syiling itu seperti "over crowded". Pada syiling perak yang diwarnakan, pokok keruing kelihatan seperti belukar sahaja.
Gambar peta Semenanjung Malaysia yang menunjukkan Taman Negara pula seperti nampak kosong.
Itu belum menyentuh tentang rekabentuk kad duit syiling nordic lagi.
5. Memberi maklumat pembuat rekabentuk syiling peringatan.
Sudah sampai juga masanya BNM mengubah sikap untuk menyembunyikan maklumat pembuat rekabentuk syiling Malaysia. BNM seharusnya memberi pengiktirafan kepada mereka dengan berkongsi nama mereka didalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh BNM.
6. Pemilihan tema syiling peringatan
Ramai juga rakan-rakan yang menyuarakan kepada saya, BNM sewajarnya memilih tema yang lebih dikenali oleh dunia luar. Ramai yang kecewa kerana BNM tidak mengeluarkan syiling peringatan ketibaan Panda ke Malaysia. Terdapat juga beberapa ulangtahun personaliti serta peristiwa-peristiwa yang sepatutnya dijadikan sebagai syiling peringatan tidak dikeluarkan BNM.
7. Mengadakan semula pertandingan reka cipta bentuk syiling peringatan
Rakan Facebook Si Mistri memberi cadangan supaya BNM mengadakan pertandingan reka cipta bentuk syiling peringatan yang baru. Pemenang utama dapat set 3 in 1 sebagai hadiah. Malaysia ada ribuan pereka bentuk yg kreatif.
Kami faham, BNM bukanlah sebuah "syarikat yang mengejar keuntungan" dan kakitangan BNM menjalankan tugas mengikut apa yang di arahkan oleh ketua mereka. Namun, kami juga berpendapat sebagai pelanggan kami berhak untuk menyuarakan apa yang kami mahu. Terpulanglah kepada BNM untuk menerima pandangan dan cadangan kami atau sebaliknya.