Khamis, 15 Januari 2015

Saya simpan syiling ini lebih 50 tahun

"Saya sudah simpan syiling ini lebih daripada 50 tahun, ianya adalah warisan daripada datuk saya yang baru-baru ini telah meninggal dunia. Sekarang ini saya betul-betul memerlukan wang untuk digunakan, sebab itu saya ingin menjual syiling ini."

Begitulah lebih kurang mesej daripada ramai rakan-rakan bukan collector yang menghubungi saya melalui Facebook.

syiling lama

Pelbagai jenis syiling yang ditunjukkan kepada saya dengan pelbagai macam kondisi/gred syiling tersebut.

Bukan setakat syiling sahaja, wang kertas, barang-barang kemas, malah barang antik pun ditunjukkan kepada saya.

Malangnya, ramai daripada mereka ini yang tidak tahu membaca, malas membaca.

Kenapa?

Pertama, blog dan juga Facebook page saya adalah mengenai duit syiling Malaysia sahaja. Di Facebook page juga saya sudah nyatakan bahawa saya tidak akan menjawab soalan mengenai harga duit syiling Malaysia kerana saya sudah kongsikannya didalam blog; Senarai harga duit syiling Malaysia.

Kedua, walaupun saya sudah menjawab untuk mereka membaca sendiri didalam artikel yang ditulis didalam blog, kebanyakkannya akan bertanya semula dengan saya.

Ketiga, kebanyakkan daripada pembaca daripada Facebook, mahu saya menjawab soalan mereka di Facebook juga. Mereka tidak akan klik pautan artikel yang saya kongsikan di Facebook.

Keempat, ada juga yang menipu "saya sudah baca kesemua artikel tuan tapi saya tak jumpa maklumat harga syiling saya". Pelik, kalau dah cari tak jumpa, sebab apa yang mereka tanya itu memang ada dalam blog saya.

Sepertimana yang saya sampaikan sebelum ini, saya tidak dapat membantu anda jika anda malas membaca. Mohon juga kepada pembaca semua untuk memahami, saya bukannya duduk depan komputer 24/7 hanya untuk menjawab soalan anda. Jawapan semua biasanya sudah saya kongsikan didalam blog-blog saya, cuba cari betul-betul dulu. Jika anda berniat untuk bertanya, berapa harga duit anda, ia biasanya sudah dikongsikan didalam blog. Mohon juga faham, blog saya sekarang tumpukan kepada syiling Malaysia sahaja, saya tak akan jawab apa-apa soalan mengenai wang kertas.

Berbalik, kepada persoalan mengenai sudah simpan syiling lebih daripada 50 tahun.

Jika anda rajin membaca, saya rasa anda akan terjumpa artikel mengenai 7 Sebab kenapa duit lama berharga tinggi.

Usia duit syiling tersebut, berapa lama anda simpan dan juga tahun yang ada pada duit syiling tersebut bukanlah antara perkara yang menjadikan ianya berharga kepada collector.

Jika syiling tersebut berusia 1,000 tahun sekalipun tetapi ianya mudah dijumpai, harganya tidak akan pergi tinggi.

Anda simpan syiling itu sehingga 1,000 tahun sekalipun, jika syiling itu palsu atau kondisi/grednya agak teruk, ianya juga sukar untuk mendapat harga tinggi.

Jika tahun pada syiling itu 1000 sekalipun, jika ianya hanyalah medallion, duit fantasi dan juga duit palsu, ianya tidak mungkin berharga kepada collector.

Jika syiling anda itu berwarna emas sekalipun tetapi ianya hanya gold plated/disadur emas, ianya adalah duit palsu yang menggunakan logam yang bukan emas, ianya tidak mempunyai harga.

Jika anda bukan Collector mungkin anda tidak faham apa yang saya cuba sampaikan.

Sebab itu saya mohon kepada anda supaya rajin membaca, supaya anda faham.

Dalam keadaan sekarang ini, di mana syiling lama hanya boleh dibeli pada harga yang agak tinggi berbanding 10 tahun lalu, nasihat saya beli ilmu dulu sebelum anda beli duit lama. Beli buku untuk belajar mengenai duit lama jika anda betul-betul serius didalam hobi ini. Apabila anda membeli duit lama tanpa ilmu, ada kemungkinan anda rugi dari segi wang ringgit dan masa untuk mengumpul duit lama anda.