Sabtu, 23 Mei 2015

10 Kesilapan Pelabur Syiling Peringatan

Sedar atau tidak, ramai daripada bukan colector membeli syiling peringatan sebaik sahaja ianya dijual oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Kebanyakkan daripada mereka membeli duit itu dengan harapan apabila mereka memerlukan wang dimasa hadapan, ianya akan memberikan pulangan sekurang-kurangnya sekali ganda dari nilai jualan BNM.

Syiling Peringatan

Tidak hairanlah jika ada daripada mereka ini yang berpandangan, syiling peringatan lebih rare dari duit edaran.

Ramai daripada mereka hanya akan sedar yang mereka telah melakukan satu kesilapan untuk membeli syiling peringatan sebaik sahaja mereka cuba untuk menjualnya. Ketika itu, barulah mereka sedar cerita yang mengatakan membeli syiling peringatan yang baru dikeluarkan oleh Bank Negara adalah satu pelaburan yang menguntungkan kerana pembeli duit lama sanggup membelinya pada harga tinggi hanyalah khabar angin yang tidak tepat. Rasa menyesal tidak berguna  kerana perlu duit segera, syiling peringatan terpaksa dijual dengan harga yang murah.

10 KESILAPAN PELABUR SYILING PERINGATAN

1. Tidak mengetahui teknik dan rahsia keuntungan Syiling Peringatan baru BNM
Menjual syiling peringatan yang baru dikeluarkan oleh BNM perlu dilakukan dengan teknik, taktik dan juga ilmu yang khusus. Jika tidak mengetahui teknik, taktik dan juga ilmu ini, pelaburan yang dilakukan untuk syiling peringatan tersebut lambat membuahkan hasil yang diharapkan oleh pelaburnya.

2. Tidak membuat kajian pasaran
Nak menjual sesuatu itu, kita jangan harap letakkan sahaja barang jualan dan kemudian berharap akan ada orang yang membeli barangan yang kita jual. Sebelum kita membeli bekalan barang jualan tersebut, kajian pasaran perlu dilakukan untuk menilai adakah produk yang kita ingin jual itu ada pembelinya? Berapa ramai orang yang nak beli?

3. Menganggap beli syiling sama seperti beli emas
Mereka yang membeli syiling peringatan emas, tidak sedar atau tidak tahu bahawa syiling peringatan itu didatangkan sekali dengan premium yang agak tinggi berbanding dengan nilai pasaran emas semasa. Anggapan mereka harga emas akan sentiasa naik juga turut menyumbang kepada kesilapan ini. Single Set syiling peringatan emas terutamanya di anggap sebagai pelaburan yang bernilai kerana ianya diperbuat daripada emas.

4. Tidak tahu cara menyimpan syiling dengan betul
Ramai daripada pembeli baru tidak tahu, menyimpan syiling perlu dilakukan dengan cara yang betul. Jika tidak, ianya akan rosak dan nilainya akan jatuh dengan teruk kerana gred duit syiling itu juga akan jatuh. Syiling peruf perlu dijaga dan disimpan dengan baik didalam masa yang lama untuk memastikan ianya boleh memberi pulangan yang diharapkan.

5. Tidak membina reputasi sebagai penjual lebih awal
Jika anda masih baru didalam jual beli duit syiling secara tiba-tiba anda memasuki pasaran dengan jumlah syiling peringatan yang banyak. Orang akan takut untuk membeli dengan anda kerana anda tidak mempunyai reputasi sebagai penjual. Di zaman sekarang ini, banyak penjual yang menipu (Scammer), ramai orang yang cuba mengelakkan untuk ditipu akan cuba menjauhi mereka yang tidak dikenali didalam jual beli online.

6. Tidak belajar ilmu numismatik
Berbanding dengan aktiviti jual beli yang lain, penjual numismatik juga perlu mempunyai ilmu serba sedikit mengenai numismatik. Ada banyak ilmu numismatik yang berkaitan dengan Syiling Peringatan yang perlu anda belajar. Contoh paling mudah, nak tengok syiling tu, jangan lupa untuk mencuci tangan dan mengeringkan tangan anda. Ianya kedengaran mudah tetapi ramai dari bukan collector yang tidak melakukannya. Selain itu, jangan sesekali menjatuhkan syiling peringatan anda kerana ianya mungkin boleh tercalar dan menyebabkan harganya jatuh.

7. Anggapan "beli, simpan dan untung"
Ramai yang beranggapan, bangun pagi-pagi pergi beratur di Sasana Kijang, beli hari ini, simpan sekejap dan kemudian akan sibuk mengira untung apabila ianya dijual. Di dalam pelaburan syiling peringatan konsep "beli, simpan dan untung" itu kadang-kala mengambil masa yang agak lama. Adakalanya syiling dah turun kepada cucu baru dapat untung.

8. Mintage syiling peringatan rendah, harganya pasti tinggi
Syiling peringatan dibuat khas untuk pengumpulnya, walaupun ia mempunyai mintage yang rendah, perlu juga diketahui berapa ramai yang mengumpul syiling peringatan? Tidak semua pengumpul wang lama berminat untuk mengumpul syiling peringatan. Walaupun mintagenya rendah tetapi jika ianya mudah diperolehi dipasaran, harganya tidak akan naik tinggi.

9. Jangan membeli syiling dengan wang yang perlu digunakan dalam masa terdekat
Oleh kerana beranggapan membeli syiling peringatan itu akan memberi keuntungan segera, ada bukan collector yang membeli syiling menggunakan wang yang perlu digunakan didalam masa terdekat sebagai contoh wang untuk kenduri kahwin atau wang hantaran. Oleh kerana tidak mempunyai ilmu yang betul, harapan untuk mendapat keuntungan segera tidak dapat dicapai. Malah syiling terpaksa dijual pada harga yang lebih murah dari harga jualan BNM.

10. Tidak tahu jual beli numismatik juga ada risikonya
Seperti yang saya tulis sebelum ini didalam artikel risiko-risiko bisnes numismatik online, ramai bukan collector yang tidak sedar, bisnes numismatik juga ada risikonya. Nak hantar syiling melalui pos, jika tidak tahu cara yang betul, kotak serta syiling mungkin rosak, barang mungkin dicuri atau anda tidak mendapat wang hasil dari jualan tersebut kerana ditipu pelanggan.


Nasihat saya, didalam apa-apa pelaburan sekalipun, nak buat atau turut serta didalam pelaburan itu, ilmu perlu ada. Jika tidak ada ilmu, besar kemungkinan pelaburan yang dirancang oleh anda itu akan membawa anda kepada gerbang kerugian yang besar.

Pendapat anda, bagaimana pula?