Anda dah dapat syiling edaran 2015? Tahun ni dah masuk bulan Jun, 2015 dah pun masuk 6 bulan. Namun, ada rakan-rakan yang melaporkan mereka baru sahaja mendapat syiling tahun 2015. Adakah syiling tahun 2015 akan menjadi antara syiling yang rare untuk siri ke tiga syiling Malaysia?
Ada yang kata kad syiling siri ke-3 yang dikeluarkan dalam bentuk kad sebanyak 500,000 set itu sangat rare sebab jumlahnya yang sedikit.
Untuk makluman, edaran syiling siri baru hanya dibuat bermula pada 16 Januari 2012 secara rasminya oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Oleh itu, secara rasminya, syiling siri ke-3 tahun 2011 bukanlah syiling edaran. Walaupun ianya dijumpai didalam edaran semasa anda membeli barang.
Bagaimana dengan syiling tahun 2015, betulkah masih ramai yang belum mendapatnya?
Adakah syiling edaran Malaysia tahun 2015 dikeluarkan dalam jumlah yang seidkit dan akan menjadi suatu yang rare?
Saya tidak pasti dengan anda tetapi sebagai pengguna biasa (bukan hasil dari tukaran duit syiling), saya hanya dapat syiling 20 sen tahun 2015 pada awal bulan Mei. Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, paling lewat saya mendapat syiling tahun terbaru adalah pada bulan Mac atau awal April.
Sehingga ke hari ini pun, syiling-syiling tahun 2015 yang ada di tangan saya hanya beberapa keping. Saya hanya mendapat syiling 50 sen sekeping, itupun keadaannya agak buruk dan comot. Mungkin kerana saya mendapat syiling itu dipasar basah, jadi keadaannya tidak terjaga.
Semua syiling yang saya dapat pada kebiasaannya tidak akan saya gunakan lagi. Di simpan terlebih dahulu untuk diperiksa dan kemudiannya mana-mana syiling yang tidak bernilai bagi saya ditukar semula ke Mesin Deposit Syiling yang berdekatan.
Nak tahu jumlah "mintage" syiling yang dikeluarkan pada tahun 2015, kita terpaksa bersabar menunggu ehsan dari BNM yang biasanya akan memaklumkan mengenainya kepada Master Sifu Steven Tan. Master Sifu Steven Tan kemudiannya akan menulisnya didalam buku katalog terbaru Steven Tan.
Namun, untuk makluman anda, sejak tahun 2010 lagi, jumlah "mintage" duit syiling Malaysia didalam buku tersebut hanya ditulis "unknown".
Kenapa perkara itu terjadi?
Biarlah ia menjadi suatu rahsia.
BNM ni kuat sangat merajuknya, kata nak tolong collector tapi nak publish jumlah mintage syiling kat website pun payah. Mintage tahunan syiling itu penting bagi collector, Adalah lebih baik jika BNM sendiri yang mengumumkannya secara rasmi di website mereka.
Kawan Blogger saya dulu ada berkata, "BNM nak dengar cakap blogger seperti kita ke?"
Jawapan saya hanya rakan blogger itu yang tahu.