Pengendalian duit syiling untuk pengumpul duit lama juga perlukan teknik yang betul yang perlu dipelajari oleh setiap pengumpul duit lama. Jika syiling yang anda pegang itu mempunyai harga pasaran yang lebih tinggi dari nilai muka (nilai denominasi), berhati-hatilah ketika memegangnya.
Jika anda tersilap, syiling itu tergelincir dan jatuh, satu calar saja sudah cukup untuk mengurangkan nilai pasarannya.
Tangan yang tidak dicuci dengan bersih mungkin akan menyebabkan cap jari anda akan melekat pada permukaan syiling dan akan mencacatkannya sampai bila-bila seperti syiling didalam gambar di atas.
Mencuci duit syiling jika tidak tahu teknik yang betul akan menjadikan warna syiling anda itu pudar (walaupun nampak berkilat), kelihatan bukan seperti warna aslinya dan harganya juga sudah pasti akan turun.
Tempat anda mengendalikan syiling juga perlulah bersih/ jauh daripada sebarang bahan-bahan yang boleh merosakkan syiling.
Syiling peruf pula, sebaik-baiknya diminimakan pengendaliannya kecuali apabila anda ingin untuk menukar plastic coin holder syiling peruf anda. Namun, ianya juga perlu dilakukan dengan teliti dan cara yang betul untuk mengelakkan syiling peruf itu terdapat kesan calar atau bekas cap jari anda.
Ingat! Jangan sesekali pegang duit syiling anda yang berharga jika anda tidak ada sebab untuk memegangnya.
Bagaimanakah cara yang betul untuk mengendalikan syiling?
1. Pastikan anda membersihkan tangan anda.
Cuci tangan anda dengan menggunakan sabun dan pastikan tangan anda betul-betul kering sebelum anda mula memegang duit syiling. Ingat, air yang masih ada dijari kita mungkin akan tertinggal pada syiling yang dijangka masa panjang akan menyebabkan tanda hitam seperti yang anda lihat digambar di atas.
2. Pegang tepi syiling (coin edge) sahaja.
Elakkan kulit jari anda daripada menyentuh permukaan syiling untuk meminimakan sentuhan dan mengurangkan risiko syiling anda rosak.
3. Jangan bercakap atau bersin didepan syiling anda.
Semasa mengendalikan duit syiling, pastikan anda tidak bersin ataupun bercakap. Air liur yang keluar dari mulut kita mungkin akan terkena duit syiling itu. Ini sekaligus akan menyebabkan air itu melekat pada syiling dan kelembapan akan terkumpul. Ini akan merosakkan syiling pada jangka masa panjang.
4. Sebaik-baiknya, guna sarung tangan, pemegang khas.
Sebaik-baiknya, gunalah sarung tangan khas untuk mengendalikan syiling anda yang berharga. Sarung tangan, tweezer syiling atau putik kapas adalah beberapa peralatan yang boleh anda gunakan untuk memegang syiling anda untuk dimasukkan didalam coin holder.
5. Berhati-hati ketika membuka coin holder anda
Sentiasalah berhati-hati ketika membuka syiling anda daripada coin holder. Elakkan daripada syiling anda jatuh ke lantai. Sebaik-baiknya, letakkanlah tuala cotton di hadapan anda ketika anda sedang mengendalikan syiling untuk meminimakan syiling anda dari jatuh bergolek. Jika anda membuka coin holder daripada kertas yang distapler, pastikan kesemua stapler itu dibuka terlebih dahulu sebelum anda mengeluarkan syiling anda untuk mengelakkan daripada stapler yang ada mencalarkan syiling anda.