Jika kita lihat artikel di suratkhabar, ramai yang ditemuramah wartawan mengenai koleksi duit lama mereka. Bagi mereka yang bukan seorang collector, ada yang mungkin beranggapan, usaha ini adalah bagus kerana secara tidak langsung memberikan promosi percuma kepada Hobi mengumpul duit lama.
Namun, bagi collector, kebanyakkan daripada artikel yang ditulis oleh akhbar itu adalah sesuatu yang agak mengecewakan. Akhbar seringkali sahaja memberikan maklumat yang tidak tepat mengenai hobi ini. Mungkin oleh kerana orang yang ditemuramah memberikan maklumat yang kurang tepat dan tidak betul.
Seringkali ungkapan-ungkapan seperti "ada orang yang sudah menawarkan harga tinggi tapi pemilik tidak mahu menjual" dan "Harga syiling lama ini bernilai RM10juta di acara lelongan di Amerika Syarikat" menjadi ungkapan mainan artikel-artikel sedemikian. Adakah zaman wartawan memberikan maklumat yang tepat sudah tamat? Dengan itu, mereka lebih suka menjual berita-berita sensasi yang ingin dibeli oleh pembaca sahaja.
10 Perkara mengenai koleksi duit lama yang anda perlu tahu:
1. Tidak banyak Syiling lama bernilai berjuta-juta Ringgit.
Hakikatnya, tidak semua syiling lama itu bernilai sehingga berjuta-juta Ringgit seperti yang digembar-gembur media. Didalam artikel Betulkah syiling lama bernilai tinggi, saya ada berkongsi mengenai syiling Vtraque Vnum yang dikatakan oleh wartawan bernilai 16 juta Ringgit. Sedangkan syiling itu masih boleh dimiliki dan diperolehi dengan mudah jika anda tahu dimana untuk mencarinya.
Kebanyakkan syiling lama yang berharga berjuta Ringgit didunia ini adalah syiling lama Amerika Syarikat tetapi kemungkinan untuk kita di Malaysia memperolehinya adalah sesuatu yang mustahil. Jadi janganlah berharap duit syiling Amerika Syarikat anda berharga berjuta Ringgit.
2. Bukan semua duit lama itu asli
Duit syiling palsu daripada China banyak memasuki pasaran Malaysia sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Jika anda membelinya pada harga yang sangat murah (RM20) dan tiba-tiba anda dapat melihatnya didalam senarai duit syiling termahal dunia, secara logik akal, adakah orang akan sanggup menjual kepada anda dengan harga yang cukup murah begitu?
Anda juga perlu tahu, Medallion atau pun syiling tanpa nilai sah sesuatu negara bukannya duit syiling yang sah.
Terdapat juga syiling-syiling fantasi serta syiling-syiling azimat yang digunakan untuk upacara tertentu atau untuk tujuan perubatan. Ini juga sebenarnya bukan duit syiling yang sah.
3. Adakalanya, Usia duit syiling itu bukan terletak pada tahunnya
Duit syiling Fantasi dan medallion pada kebiasaannya meletakkan tahun pada duit syiling itu hanya sebagai peringatan mengenai sesuatu peristiwa, ianya bukan tahun syiling itu dibuat. Adakalanya, syiling tersebut dikeluarkan agak lewat daripada tahun yang ada pada sesuatu duit syiling lama tersebut. Terdapat juga syiling peringatan yang meletakkan tahun-tahun tertentu sebagai memperingati sesuatu peristiwa. Selain itu, ada juga syiling yang meletakkan Tahun Hijrah contohnya pada syiling tersebut.
4. Usia syiling bukan penentu harganya
Ramai bukan collector yang beranggapan, syiling yang berusia lama itu, harganya sangat mahal. Tidak semua duit lama itu berharga mahal, ada banyak faktor yang perlu dilihat untuk memastikan sesuatu harga duit lama itu. Sila baca artikel, kenapa duit lama berharga tinggi untuk membantu anda memahami faktor-faktor yang saya maksudkan.
5. Tidak semua syiling warisan itu berharga
Kerap kali kita dengar, ramai yang memberitahu mereka baru sahaja terjumpa syiling lama yang dimiliki oleh ayah, datuk, emak atau nenek mereka yang telah meninggal dunia. Walaupun syiling itu telah disimpan lebih daripada 50 tahun, jika ianya adalah syiling palsu, ianya hanya bernilai pada harga syiling palsu sahaja. Syiling yang diwarisi adakalanya tidak bernilai kerana ianya bukanlah syiling yang asli. Selain itu, syiling yang biasa ditemui oleh collector juga tidak bernilai tinggi.
6. Koleksi duit lama luar negara biasanya tidak berharga
Koleksi yang saya maksudkan disini adalah syiling lama luar negara yang biasanya diwarisi daripada ibubapa, datuk, nenek atau moyang kita. Jika anda mempunyai koleksi duit lama luar negara, ia biasanya tidak mempunyai harga yang tinggi kepada collector Malaysia.
7. Koleksi duit lama jika tidak dijaga akan rosak
Anda juga perlu belajar penjagaan khusus untuk duit syiling lama. Pendedahan syiling lama kepada kelembapan yang tinggi seperti diletakkan berdekatan dengan tempat yang lembap akan merosakannya. Begitu juga dengan sentuhan pada kulit album duit syiling tanpa meletakkan coin holder khas akan menyebabkan ia rosak pada tempoh masa yang lama kerana kebanyakkan plastik diperbuat daripada sumber petroleum.
8. Adalah lebih baik untuk tidak mencuci duit lama anda
Ramai yang beranggapan, syiling lama yang berkilat itu adalah bernilai tinggi dan akan mendapat gred UNC. Syiling yang dicuci pada kebiasaannya akan merosakkan permukaan syiling tersebut dan sekaligus menjatuhkan harga pasarannya. Jika anda tidak tahu mencuci duit lama anda dengan betul, adalah lebih baik untuk anda membiarkannya begitu sahaja. Sila baca artikel, kenapa tidak boleh mencuci duit lama untuk membantu anda memahami apa yang saya maksudkan.
9. Tidak semua duit lama boleh dijual
Untuk makluman anda, sebelum ini saya ada menulis artikel, tidak semua duit lama boleh dijual. Sila baca artikel itu untuk faham kenapa ada syiling lama anda yang tidak mahu dibeli oleh kedai duit lama. Terutamanya kepada anda yang mempunyai syiling 50 sen 1967 dan 1968 berparit tu.
10. Cara terbaik untuk membuat koleksi duit lama
Satu-satunya cara terbaik untuk memastikan koleksi duit lama anda bukanlah koleksi yang mempunyai duit syiling palsu, supaya anda tidak ditipu oleh penjual dan supaya anda dapat berjimat untuk koleksi anda adalah untuk membeli ilmu terlebih dahulu baru kumpul koleksi. Beli buku dan buat bacaan serta kajian lanjut mengenai koleksi yang anda ingin kumpul. Harga koleksi pada masa ini bukannya seperti 10 tahun lalu.