Ramai yang salah faham mengenai gambar-gambar syiling peringatan yang dikongsi didalam blog ini. Hari ini kita belajar mengenai duit syiling peringatan dan apakah yang membezakannya dengan duit syiling edaran.
Ada yang bertanya kerana mereka berminat untuk memiliki syiling tersebut tetapi hanya membaca tajuk dan ringkasan cerita di Facebook page Malaysia Coin sahaja tanpa membaca artikel sebenar yang saya kongsikan didalam blog ini.
Ada juga yang beranggapan, syiling-syiling itu boleh didapati di dalam edaran seperti duit syiling biasa. Ada yang beranggapan sedemikian mungkin kerana pernah mendapat syiling peringatan di dalam edaran.
Saya tidak pasti jika tahun 80an dulu Bank Negara Malaysia ada mengedarkan syiling peringatan untuk kegunaan harian. Di negara-negara lain seperti contoh Britain, syiling yang dikeluarkan oleh Royal Mint memang ada yang di edarkan untuk edaran kegunaan harian.
Di Malaysia, pada masa ini tidak ada syiling peringatan yang di lancarkan untuk edaran umum. Namun, ada juga kes dimana syiling peringatan RM1 yang dibuka daripada kadnya, digunakan untuk membeli barang.
Kesemua syiling peringatan Malaysia mempunyai nilai yang di akui sah di negara ini. Oleh itu, tidak salah untuk menggunakan duit syiling yang diakui sah ini (legal tender coin) untuk kegunaan harian tetapi anda pasti akan rugi besar jika anda membeli barang menurut nilai muka syiling tersebut kerana harga untuk membeli syiling peringatan pada kebiasaannya lebih mahal dari nilai mukanya.
Duit syiling peringatan adalah syiling yang dikeluarkan untuk memperingati sesuatu peristiwa, ulangtahun atau isu tertentu. Muka depan syiling itu biasanya memaparkan rekabentuk mengenai peristiwa tersebut dan pada muka belakangnya ada dinyatakan nilai muka untuk syiling tersebut.
Untuk makluman bukan collector, ada juga Medallion (bukan collector pada kebiasaannya turut memanggilnya sebagai syiling) yang dikeluarkan untuk memperingati sesuatu peristiwa atau isu tertentu. Apa yang membezakannya dengan syiling peringatan, ianya dikeluarkan tidak mempunyai nilai muka.
Apa yang dimaksudkan sebagai nilai muka atau "face value" ada ditulis pada syiling peringatan tersebut, pada kebiasaannya 1 Ringgit, 10 Ringgit dan 100 Ringgit.
Duit syiling peringatan pada kebiasaannya dikeluarkan didalam bentuk kemasan syiling peruf. Namun, ada juga syiling peringatan yang ditempa dalam bentuk kilatan istimewa sahaja. Duit syiling peruf pada kebiasaannya mempunyai harga yang lebih tinggi daripada syiling kilatan istimewa.
Syiling yang mempunyai lambang parlimen, syiling bunga raya dan syiling siri ketiga yang mula diedarkan pada tahun 2012 adalah syiling edaran.
Syiling peringatan Malaysia juga pada kebiasaannya dijual bersama kad maklumat syiling atau kotak untuk syiling peruf dan juga sijil pengesahan. Untuk syiling peringatan tahun 80an, ada syiling perak dan emasnya diletakkan didalam kertas tebal berwarna biru.
Di Malaysia, hanya Bank Negara Malaysia sahaja yang diberi kuasa untuk mengeluarkan syiling yang diperakui sah dibawah Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Pagi tadi, rakan blogger saya syilingperingatan.blogspot.com memberikan pendapatnya sendiri mengenai Apa itu duit syiling peringatan?
Bila kita di luar bidang, ada kalanya kita kena faham dan belajar untuk membezakan sesuatu. Untuk membezakan antara syiling peringatan dengan syiling edaran adalah mudah, lebih mudah jika mahu membezakan antara “ciken cop” dengan “ciken meriland”.
Di Malaysia, setakat hari ini cuma ada 3 jenis syiling edaran – syiling gambar parlimen, syiling gambar bunga raya, dan syiling yang kita guna sekarang. Design lain selain dari itu jika ada nilai muka, boleh dipanggil sebagai syiling peringatan.
Syiling peringatan di Malaysia sejak tahun 1967 sampai sekarang, temanya lebih kurang sama sahaja ... sukan sea, agong, rmk, memperingati ulang tahun itu dan ini. Kita belum sampai ke tahap seperti penempa antarabangsa yg mengeluarkan syiling berkaitan sesuatu yg unik tentang negara. Kalau ada pun coin card education tu.
Jujurnya, saya sama sekali tidak setuju dengan panggilan “PERINGATAN”, mungkin ditafsirkan secara harfiah adjektif sahaja iaitu “COMMEMORATIVE” maksudnya “PERINGATAN”.
Sedangkan, dalam Bahasa Melayu, “PERINGATAN” lebih kepada unsur “AMARAN” dan “LARANGAN”. Contohnya mengingatkan seseorang agar jangan melakukan sesuatu yang negatif. Saya lebih suka jika dipanggil sebagai SYILING KENANG-KENANGAN atau SYILING EDISI TERHAD atau apa juga nama panggilan yang kelihatan lebih lembut.
Medallion ini seperti yang ditulis dalam artikel ini dikeluarkan sama sahaja seperti syiling peringatan. Membezakannya cuma KETIADAAN NILAI MUKA. Medallion ini dikeluarkan disebabkan tiada kebenaran daripada BNM, jadi dikeluarkan laa medallion ini. Medallion ini sesiapa pun ... mana-mana syarikat sekalipun jika ada kemampuan untuk menempa logam menjadi kepingan syiling, boleh mengeluarkan medallion sesuka hati mereka.
Sama ada syiling peringatan digunakan dalam urusan urus niaga seharian atau tidak ... Kisahnya pada tahun 1980-an, saya menggunakan duit syiling peringatan dengan nilai muka RM1 untuk membeli ais krim dan jajan dari kedai runcit di kawasan perumahan saya. Ada empat lima kedai runcit masa itu yang kesemuanya menerima syiling peringatan sebagai bayaran.
Saya berasa hal ini disebabkan dua faktor iaitu syiling edaran nilai muka RM1 tahun 71, 80, 81, 82, 84 85 dan 86 dari segi saiz sama besar dengan syiling peringatan RM1 pada zaman itu. Faktor kedua disebabkan bilangan tempaan yang banyak, tidak menjadi hal jika syiling peringatan itu digunakan macam syiling edaran biasa.
Setakat ini belum dapat lagi maklumat daripada orang tua-tua, adakah ketika itu syiling peringatan bernilai muka RM1 dijual pada harga berapa ringgit??? Ini persoalan yang belum terungkai jawapannya.
Sumber: Syilingperingatan.blogspot.com