Syiling pattern Malaysia 1966 yang dilelong hari ini oleh Collectibles Auction Asia (CAA) di Singapura berjaya terjual pada harga SG$210,000. Jumlah keseluruhan termasuk premium pembeli sebanyak 15% adalah SGD241,500 atau RM743,731. Rekod baru untuk set duit syiling Malaysia termahal dan juga duit syiling pattern Malaysia termahal yang pernah dijual melalui lelongan awam.
Untuk pengetahuan anda, duit syiling pattern adalah duit syiling yang tidak diluluskan untuk edaran, dihasilkan untuk tujuan menilai reka bentuk duit syiling yang dicadangkan. Ia juga sering dihasilkan pada peringkat akhir proses rekabentuk, digunakan untuk membentangkan reka bentuk yang baru kepada orang ramai.
Set 10 keping duit syiling yang dilelong sebagai lot 247 didalam acara lelongan ke-6 Collectibles Auction Asia ini adalah sebahagian daripada rekabentuk yang dihasilkan oleh peserta Pertandingan Mereka Syiling Kebangsaan yang di anjurkan oleh Arts Council of Malaysia bagi Pihak Bank Negara Malaysia pada awal tahun 1966.
44 orang artis tempatan menyertai pertandingan tersebut dan 3 orang dipilih sebagai pemenang pertandingan. 8 duit syiling memaparkan rekabentuk haiwan sebagai motif utama dengan mint mark dari Royal Mint London dan dua keping lagi memaparkan nilai denominasi 10 sen tahun 1967 dengan rekabentuk bunga raya yang berbeza serta mint mark dari Royal Mint London. Anda boleh melihat gambar lengkap duit syiling ini di dalam artikel; Gambar Syiling Pattern Malaysia 1966.
Pada 23 Jun 2014, Astro ada menyiarkan dokumentari mengenai duit syiling pattern Malaysia ini yang memaparkan sedikit sedutan Perasmian Pameran Rekabentuk Syiling Baru Malaysia 1966 (sila lihat pada minit ke 1:08 video dibawah) yang dibuat oleh Menteri Kewangan pada ketika itu, Tun Tan Siew Sin. Tun Tan Siew Sin turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut. Tempat pertama dimenangi oleh En. Chong Yum Fatt, tempat kedua dimenangi oleh En. Mohamed Abu Bakar dan tempat ketiga dimenangi oleh En. Tushar K. Paul.
Kenapa rekabentuk syiling ini tidak digunakan?
Di dalam satu artikel yang ditulis oleh Allahyarham Datuk Mohd Kassim Haji Ali di majalah "Coin Digest" isu ke-4, 1989 yang diterbitkan oleh Taisei Stamps and Coins, Singapura. Allahyarham Datuk Kassim ada menceritakan mengenai nasib Syiling Malaysia 1966 ini apabila wakil daripada Bank Negara bertemu Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman untuk menunjukkan syiling pattern tersebut.
"Tidak, ini tidak boleh", kata Perdana Menteri setelah melihat rekabentuk syiling tersebut.
"Orang akan ingat kita makan semua binatang ini. Kerana kita adalah negara demokrasi berparlimen, kenapa kita tidak ambil sahaja gambar bangunan parlimen untuk digunakan sebagai rekabentuk semua syiling baru. Lihat, ada gambar Parlimen yang baik pada peket rokok 'Parliament' ini."
Sejarah mengenai syiling pattern Malaysia 1966 ini boleh anda baca didalam artikel ini; Sejarah Syiling Malaysia 1966 yang tidak dikeluarkan.
Siapakah yang berjaya memiliki set duit syiling ini?
Khabar angin mengatakan ianya dibida oleh seorang rakyat Malaysia yang datang sendiri ke acara lelongan CAA di Singapura hari ini. Jika khabar angin ini betul, tahniah dan terima kasih kepada rakyat Malaysia tersebut yang berjaya membawa balik sejarah numismatik Malaysia pulang ke negara ini.
Semoga suatu hari nanti kita dapat peluang untuk melihat sendiri syiling-syiling ini.