Selasa, 17 November 2015

Bilakah syiling RM1 ditarik dari edaran?

Ada yang bertanya kepada kami, bilakah syiling RM1 ditarik dari edaran? Adakah betul khabar angin bahawa syiling tersebut ditarik balik kerana terdapat banyak duit syiling palsu didalam edaran pada waktu itu?

syiling RM1

Syiling emas 1 Ringgit tidak lagi sah diperlakukan sehingga 6 Disember 2005, ianya ditarik balik oleh Bank Negara Malaysia didalam masa 3 bulan bermula daripada 7 September sehingga 6 Disember 2005.

Mengenai isu "syiling palsu", jika mengikut siaran akhbar BNM pada bulan September 2005, mereka menyatakan "terdapat beberapa kes terpencil mengenai pemalsuan duit syiling RM1, namun ianya tidak melibatkan jumlah yang besar."

Namun, jika anda membuat carian mengenai duit syiling palsu 1 Ringgit, untuk tahun 2005 sahaja, ada banyak kes yang melibatkan sindiket membuat duit syiling palsu tersebut yang berjaya di lumpuhkan oleh pihak polis:
  • 22 Januari 2005: Polis Klang menahan tiga orang yang disyaki anggota sindiket menghasilkan syiling palsu RM1 yang telah dijual dengan harga antara RM60 dan RM70 untuk 100 keping.
  • Polis turut menemui 4,500 syiling RM1 palsu dalam besen di dalam tandas sebuah rumah yang disewa oleh suspek dan 5,000 syiling lain dalam kereta mereka. Sebuah mesin timbang dan RM5,250 turut dirampas.
  • 24 Mac 2005: Polis menumpaskan sindiket penempaan syiling RM1 dan menjual syiling itu pada harga 70 sen setiap satu. Dalam serbuan di Taman Permai Puchong, polis menahan seorang dari Sarawak berusia 20 tahun dan merampas 1,000 syiling RM1 yang baru dicetak, pada ketika itu suspek sedang 'memasak' syiling itu dalam minyak panas untuk membuatkan ianya kelihatan seperti pernah digunakan. Polis turut merampas 10,000 kepingan besi yang telah dipotong menyerupai syiling RM1. Mesin tekanan hidraulik, mesin kimpalan dan beberapa acuan duit syiling turut dirampas.
  • 23 Julai 2005: Kaki judi berusia 40 tahun dari Rawang ditahan di Genting Highlands kerana memiliki sejumlah 204 keping syiling RM1 palsu apabila dia hendak memasuki kasino tersebut. Jabatan Jenayah Komersial Negeri, Deputi Superintendan Yahya Othman berkata penjudi telah menimbulkan syak wasangka pengawal kasino dengan membawa sejumlah besar syiling. Siasatan awal mendapati lelaki itu telah membeli syiling palsu daripada sindiket dengan harga RM70 untuk 100 syiling.
  • 19 Oktober 2005: Seorang lelaki telah ditahan di Pulau Pinang kerana cuba untuk menukar sejumlah RM5,000 duit syiling palsu di cawangan Bank Negara Malaysia Pulau Pinang. Berikutan itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan rakannya yang menunggu di kereta bersama 4,000 keping syiling palsu. Kesemua mereka kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah di Teluk Bahang, dimana lebih 20 guni syiling dirampas. Sejumlah RM29,000 duit syiling palsu RM1 dirampas dan empat orang lelaki ditahan di empat kawasan berasingan.
  • 8 November 2005: "Kilang Wang" haram yang menghasilkan beribu duit syiling RM1 palsu disita di Klang oleh Polis dengan empat orang lelaki berusia 20 sehingga 40 tahun ditahan bersama-sama dengan lebih dari 50,000 keping duit syiling RM1. Polis juga memberitahu, kes tersebut ada kaitan dengan kaki judi yang ditahan di Genting Highlands.
Sumber: The Star, Malay Mail


Berikut adalah Siaran Akhbar BNM, September 2005

"Penjelasan mengenai duit syiling RM1 Laporan akhbar baru-baru ini yang mendakwa terdapat banyak duit syiling RM1 palsu dalam edaran adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Bank Negara Malaysia sangat memandang serius maklumat yang tidak tepat ini dan menasihati orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan laporan atau dakwaan tersebut dan merujuk kepada Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan maklumat. Keterangan lanjut mengenai penarikan balik duit syiling RM1 boleh didapati melalui laman web Bank Negara Malaysia (http://www.bnm.gov.my) atau dengan menghubungi Jabatan Pengurusan dan Operasi Matawang Bank Negara Malaysia di talian 03-2698 8044 sambungan 7442 / 7417.

Terdapat beberapa kes terpencil mengenai pemalsuan duit syiling RM1, namun ianya tidak melibatkan jumlah yang besar. Bank Negara Malaysia sentiasa bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia bagi kes-kes sedemikian dan tindakan segera telah pun diambil.

Penarikan balik duit syiling RM1 adalah disebabkan oleh permintaan yang rendah dan penggunaan duit tersebut yang semakin kurang popular untuk tujuan pembelian barangan dan perkhidmatan di Malaysia. Jumlah semasa duit syiling RM1 mencakupi kurang daripada 1% daripada jumlah nilai mata wang dalam edaran di Malaysia. Sejak tahun 2000, Bank Negara Malaysia telah meningkatkan edaran wang kertas RM1 dan duit syiling denominasi lain bagi menggantikan duit syiling RM1 untuk memenuhi permintaan orang ramai.

Bank Negara Malaysia ingin menegaskan bahawa duit syiling RM1 masih sah diperlakukan sehingga 6 Disember 2005. Semua perniagaan hendaklah terus menerima duit syiling RM1 dan orang ramai boleh menukar duit syiling RM1 mereka sepanjang tempoh tiga bulan mulai 7 September sehingga 6 Disember 2005."


Oleh kerana yang bertanya itu adalah collector duit lama, jawapan ringkas dari kami memang betul di dalam pasaran duit lama memang ada penjual duit lama yang menjual syiling palsu. Kami berpendapat, mungkin mereka tidak tahu syiling itu palsu. 

Oleh itu, berhati-hati ketika membeli duit syiling RM1 emas untuk koleksi anda.