Hari ini berlangsungnya jualan Syiling Peringatan 100 tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM). Di Sasana Kijang, satu keluarga seramai 4 orang adalah antara mereka yang beratur awal sekali, bermula dari jam 12 tengahari pada 5 Jun (semalam).
Pada jam 9 malam, sudah ada lebih daripada 120 "nombor" di Sasana Kijang. Jam 5 pagi, sudah ada lebih daripada 180 "nombor". Lebih separuh daripada mereka yang berbaris adalah "orang upahan" yang dibawakan khas untuk mengejar Syiling single silver dan juga coincard.
Kenapa kami kata nombor dan bukannya orang yang berbaris? Ini kerana anda hanya dapat menjangka nombor anda kerana ramai daripada "orang" yang berbaris tidak ada di tempat mereka. Ada yang tidur didalam kereta, di taman-taman berdekatan Sasana Kijang dan tidak kurang juga yang balik rumah dengan alasan hendak bersahur dan sebagainya.
Oh ya.., hari ini hari pertama berpuasa untuk mereka yang beragama Islam tetapi ini tidak menghalang rakan-rakan yang beragama Islam untuk berbaris bersama membeli syiling peringatan.
Dealer yang membawa orang upahan ini sangat menjaga periuk nasi mereka, ada orang upahan yang dibayar sehingga RM120 untuk kerja lebih kurang 18 jam.
Cuti sekolah juga menyaksikan ramai ibubapa yang membawa anak-anak mereka turut sama beratur di Sasana Kijang.
Di Sasana Kijang hanya boleh membeli 1 set 2 dalam 1, 1 set single peruf dan juga 3 keping coincard setiap seorang. Tidak pasti di tempat lain adakah keadaannya sama seperti di Sasana Kijang. Nombor giliran hari ini bermula dengan 480.
Berikut adalah anggaran jumlah syiling peringatan yang dijual kepada orang ramai hari ini:
Jumlah Set 2 dalam 1 peruf:
- Sasana Kijang (tiada info)
- Kuala Terengganu (tiada info).
- Pulau Pinang (tiada info).
- Kuching 80 set.
- Kota Kinabalu (tiada info).
- Johor Bahru (hari ini cuti 1 Ramadhan).
Jumlah Set Single Peruf:
- Sasana Kijang 93 set (habis jam 10.19am)
- Kuala Terengganu (tiada info).
- Pulau Pinang 17 set.
- Kuching 15 set.
- Kota Kinabalu (tiada info).
- Johor Bahru (hari ini cuti 1 Ramadhan).
Jumlah Coincard:
- Sasana Kijang 1000 kpg?
- Kuala Terengganu (tiada info).
- Pulau Pinang (tiada info).
- Kuching 400 kpg.
- Kota Kinabalu (tiada info).
- Johor Bahru (hari ini cuti 1 Ramadhan).
Maklumat jumlah jualan ini mungkin tidak kelihatan penting hari ini tetapi suatu masa nanti, apabila masa berlalu, ramai daripada kita akan terlupa berkenaan maklumat ini. Maklumat jumlah jualan ini akan membantu kita mengenalpasti berapa banyakkah jumlah syiling yang ada didalam simpanan collector dimasa hadapan dan kenapa ianya kurang dipasaran.
Ini cadangan dan pendapat daripada rakan-rakan collector di Facebook:
Aaron Paul Ang:
"Kecewa hanya boleh beli 3 coin card sahaja..."
Hans Hanis:
"1) Sewaktu menunggu di bilik menunggu...mungkin pihak BNM boleh mainkan filem pendek atau apa-apa saja sebagai hiburan seketika buat pembeli-pembeli yang bertafakur kebosanan semasa menunggu selama lebih kurang 2 jam.
2) Memandangkan di Sasana Kijang, setiap nombor giliran hanya boleh membeli 3 keping sahaja coincard....jadi untuk nak beli lagi kenalah beratur. Selalunya untuk beratur kali kedua tidak ambil masa yang lama. Dalam pukul 12.00 - 1.00 tengahari dah boleh selesai. Tetapi, tadi ramai yang terpaksa menunggu sehingga pukul 3.00 petang - 4.00 petang (mungkin lebih dari itu...saya kurang pasti) disebabkan kaunter yang beroperasi hanya satu. Fuh!
3) Di Sasana Kijang ada 3 kaunter yang beroperasi pada awalnya. Ada 2 buah kaunter yang mesra pengguna/pembeli tetapi ada satu lagi kaunter dimana pekerjanya ialah lelaki yang perlu lebih banyak belajar etika bagaimana berurusan dengan pelanggan dan cara menjaga duit-duit yang dibeli pelanggan. Bukannya dengan mencampak suka-suka hati jer.
4) Dan saya mengharapkan agar pihak BNM menyediakan tempat beratur yang efisyen di luar BNM apabila tiba hari jualan dan letakkan pengawal / polis bersenjata untuk menjaga supaya tidak ada kekecohan dan prasangka buruk daripada pembeli yang datang awal dan pembeli yang datang lewat. Saya pernah datang awal dan saya pernah datang lambat. Masa saya datang awal...saya melihat bagaimana yang datang lambat cuba memotong barisan tanpa ada rasa bersalah dan sikap pentingkan diri. Bila saya datang lambat..saya melihat ramai yang seangkatan lambat dengan saya banyak berfikiran buruk tentang orang yang datang awal dari segi merasakan ada unsur penipuan, unsur bantu kawan dan sebagainya walaupun saya merasakan tak wujud pun benda tu. Jadi, adalah lebih baik pihak BNM menyediakan tempat beratur seperti nak beli tiket wayang di pawagam supaya sesiapa yang datang awal boleh duduk terus dekat situ."
Ada banyak lagi perkara yang kami rasa kan perlu di perbincangkan untuk hari jualan Syiling Peringatan 100 tahun Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM). Namun, nanti tiada bukti dan fakta orang kecam kita kerana bercakap kosong sahaja. Jika anda ada mata dan telinga, kami rasa anda juga perasan apa yang kami ingin perkatakan. Buat masa ini kami simpan sahaja maklumat untuk rujukan dimasa hadapan.
Tahniah juga sebenarnya kepada pihak Bank Negara yang sudi mendengar luahan hati serta melayan kerenah rakan-rakan collector hari ini. Mungkin secara kebetulan atau pun memang sudah suratan, kakitangan BNM yang pernah ditegur didalam blog ini (oleh collector bukan pihak kami) tidak hadir semasa jualan Syiling Peringatan Pandu Puteri. Ada rakan-rakan yang berkata mungkin beliau balik kampung bercuti 1 Ramadhan. Namun, hampir kesemua kakitangan yang bertugas hari ini mesra pelanggan dan banyak bersabar dengan kerenah pelanggan yang pelbagai macam ragam.
Terima kasih juga kepada semua rakan-rakan collector yang membantu memberikan maklumat kepada kami.