Setelah bermula dengan agak agresif bermula pada tahun 2016, tahun ini menyaksikan tiada lagi syiling peringatan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). 5 Syiling peringatan dikeluarkan pada tahun 2016 dan 4 syiling peringatan dikeluarkan pada tahun 2017.
Pelbagai khabar angin didengar oleh para collector mengenai syiling peringatan yang mungkin dikeluarkan oleh BNM. Terbaru adalah syiling peringatan 100 tahun Tun Ismail Mohd Ali, Gabenor BNM Malaysia yang kedua. Pameran memperingati beliau sedang di adakan di Sasana Kijang tetapi tidak ada lagi ternampak sebarang kelibat rekabentuk syiling tersebut.
Jika ada syiling peringatan yang dikeluarkan dalam masa terdekat ini, ianya sudah pasti menjadi syiling peringatan pertama yang dikeluarkan semasa Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus menjadi Gabenor BNM ke-9.
Sebelum ini, Datuk Muhammad Ibrahim mengambil pendekatan mesra numismatik dan juga mencipta sejarah dengan mengeluarkan wang kertas peringatan terbesar dunia.
Selain menjadi wang kertas yang memegang rekod Buku Guinness, wang kertas peringatan tersebut juga membawa Datuk Muhammad Ibrahim berjumpa dengan Sultan dan Raja Melayu, apabila beliau sendiri mempersembahkan wang kertas tersebut kepada mereka.
Tidak dapat dipastikan kenapa BNM berhenti seketika daripada pengeluaran syiling peringatan untuk tahun 2018. Namun, khabar angin mengatakan, jabatan didalam BNM yang mengendalikan syiling peringatan mengalami satu rombakan besar.
Ada lebih kurang sebulan sahaja lagi sebelum tahun 2018 berakhir, adakah kita masih berpeluang untuk memegang syiling peringatan 2018 BNM?