Khamis, 23 April 2020

1 sen melekat magnet atau tidak

Ramai juga pembaca yang bertanyakan kepada saya tentang duit 1 sen mereka yang melekat dan tidak melekat magnet, terutamanya untuk duit syiling 1 sen parlimen. Bagi pengumpul duit lama, anda tahu bahawa para kolektor mencari duit 1 sen tahun 1973 serta 1976 sahaja untuk ujian magnet ini serta yang terbaru 1 sen 1970. Namun, bagi mereka yang bukan kolektor, mereka beranggapan semua syiling 1 sen lama perlu diperiksa dengan magnet. Ada diantara yang membuat tanggapan, duit syiling yang tidak melekat magnet adalah lebih tinggi nilainya daripada duit syiling yang melekat magnet. 1 sen melekat magnet atau tidak, syiling yang mana satukah menjadi buruan pengumpul duit lama?

1 sen parlimen 1970
Syiling 1 sen terbaru yang perlu anda periksa dengan magnet sepertimana yang saya ceritakan didalam post; Rahsia 1 sen 1970. Menurut Sifu Dickson Niew, setakat ini hanya ada 4 keping sahaja duit syiling tersebut yang ditemui disalah cetak menggunakan copper clad steel. Dua keping di Malaysia (sekeping UNC, sekeping GVF), sekeping di Singapura dengan gred MS63RB (NGC) Pattern Steel Clad dan sekeping lagi ditemui diluar negara yang tidak dinyatakan negaranya. Jika duit syiling itu melekat magnet, maknanya itu duit syiling yang dicari.

1 sen magnet


1 sen parlimen 1973
Syiling 1 sen parlimen daripada tahun 1967 sehingga tahun 1973 sepatutnya tidak melekat pada magnet kerana diperbuat daripada tembaga (copper). Namun, ada syiling 1 sen Parlimen tahun 1973 yang diperbuat daripada tembaga berkeluli (Copper clad steel). Namun, syiling ini tidaklah mempunyai harga yang terlalu mahal sehingga beribu ringgit seperti 1 sen 1976. Adalah lebih baik jika anda cuba untuk mendapatkan sepasang syiling 1 sen 1973; variasi tembaga dan tembaga berkeluli, untuk dijadikan koleksi dan juga sebelum anda menjualnya. Harganya akan menjadi lebih menarik jika ianya dijual secara berpasangan.

1 sen 1973


1 sen parlimen 1976
Pada ketika ini, syiling 1 sen parlimen 1976 variasi tembaga yang hanya ditemui pada lebih kurang 100 pcs duit syiling pada tahun tersebut adalah "Raja syiling Malaysia" pada ketika ini. Syiling ini menjadi popular apabila pada 16 Julai 2011, Mavin International Auction di Singapore telah berjaya membuat lelongan untuk syiling ini pada harga SGD1400 (tidak termasuk komisen dan lain-lain caj). Pada 25 September 2011, Persatuan Numismatik Malaysia (MNS) telah berjaya menjual syiling 1 sen 1976 tembaga berkondisi Brilliant Uncirculated dengan harga RM3600. Sejak itu, syiling ini menjadi buruan peminat duit syiling di Malaysia. Populariti syiling tembaga tersebut meningkat kerana ianya memang sukar dicari oleh pengumpul syiling lama, terutamanya untuk duit syiling yang berkualiti tinggi. 
1 sen 1976


Kenapa ada syiling 1 sen Parlimen yang melekat magnet?
Syiling 1 sen siri kedua-bunga raya semuanya melekat magnet kerana diperbuat daripada Gangsa bersalut keluli (Bronze-Clad Steel). Syiling 1 sen siri parlimen yang diperbuat daripada copper dari tahun 1973 ke bawah tidak melekat magnet tetapi syiling 1 sen parlimen 1973 dari tahun 1973 melekat magnet. Syiling-syiling tersebut melekat pada magnet kerana mengandungi sedikit kandungan besi di dalamnya. Walaubagaimanapun, kandungan besi itu tidak akan mempengaruhi syiling itu untuk menjadi magnet sepenuhnya sebagai yang di dakwa oleh sesetengah pihak.