Ada beberapa orang yang bertanyakan kepada saya berkenaan Persatuan pengumpul wang lama yang ada di Malaysia ini dan bagaimanakah mereka boleh turut serta di dalam persatuan tersebut. Persatuan, Kelab atau Society yang ada berkaitan dengan mengumpul duit lama ini tak banyak dan agak kurang aktif berbanding dengan persatuan-persatuan lain. Agak sukar untuk mereka yang baru menceburi hobi ini mencari persatuan-persatuan ini kerana tidak tahu nama persatuan dan dimana nak mendaftar sebagai ahli. Selain mewujudkan website untuk persatuan tersebut, bagi saya lebih bagus jika persatuan-persatuan ini dapat juga mendaftar di laman-laman sosial seperti Facebook dan juga Twitter. Lebih mudah untuk pengumpul-pengumpul baru bertanyakan soalan kepada mereka.
Malaysia Numismatik Society
Di Malaysia ini, hanya ada satu Persatuan pengumpul wang lama yang aktif menjalankan lelongan kepada ahli-ahlinya, 4 kali setahun dan akan menjalankan lagi lelongan awam pada 30 September 2012 ini. Malaysia Numismatic Society (MNS) adalah persatuan numismatik pertama di Malaysia dan telah ditubuhkan sejak tahun 2hb Oktober 1968. Anda boleh membaca segala informasi mengenai persatuan ini di website mereka www.money.org.my yang telah diwujudkan sejak 7hb Ogos 2005. Lelongan biasanya mereka jalankan pada hujung bulan Mac, Jun, September dan Disember setiap tahun di jabatan Muzium, Muzium Negara, Kuala Lumpur. Jika anda berminat menjadi ahli,anda boleh mendapatkan borang melalui website mereka. Bayaran RM20 dikenakan sebagai yuran kemasukan ahli dan juga RM40 untuk yuran tahunan.
Kelab Warisan Numismatik
Selain itu, ada juga Kelab Warisan Numismatik (KWN) yang ditubuhkan sejak 1 April 2012. Presidennya, Dato' Sharuddin Yusof juga adalah seorang blogger di sharuddin58.blogspot.com. Anda boleh membaca dengan lebih lanjut mengenai objektif dan tujuan kelab ini di blog Dato' Sharuddin. Yuran keahliannya adalah sebanyak RM60 yang merangkumi yuran keahlian, yuran tahunan dan juga sijil serta kad keahlian. Mereka bercadang untuk membuat satu pameran mengenai numismatik pada tahun ini. Pada mulanya mereka bercadang untuk membuat lawatan ke Kilang Wang dan juga Kilang Duit Kertas tetapi bagi saya ianya tidak akan terjadi selagi Bank Negara tidak menukar polisi mereka. Jika anda berminat menjadi ahli, anda boleh menghubungi mereka di:
Kelab Warisan Numismatik:
No. 3A Kedai 20 Unit Nadikota,
26400 Bandar Jengka,
Pahang Darul Makmur.
Tel : 609-4664270
Fax : 609-4664270
Sarawak Philatelic and Numismatic Society
Satu lagi Persatuan yang agak aktif ialah Sarawak Philatelic and Numismatic Society (SPNS). Persatuan ini, melalui presidennya, John Goh Cheong Huat selalu keluar di dada akhbar di Borneo Post dan juga di The Star mempromosikan Numismatik dan juga Philately. Cuma saya tidak ada informasi berkenaan dengan persatuan ini. Jika ada rakan-rakan yang mempunyai sebarang informasi, boleh emailkan kepada saya atau komen di Facebook.