Selasa, 13 November 2012

Kenapa tidak boleh mencuci duit lama

Bagaimanakah cara untuk mencuci duit syiling lama? Ada seorang pembaca yang menghantar pesanan kepada saya melalui Facebook yang dia berminat untuk belajar mencuci duit syiling, bila duit syiling nampak berkilat baginya ia kelihatan cantik untuk diletakkan didalam album. Saya menasihatinya untuk tidak mencuci duit syiling yang dia ada, biarkan sahaja pada keadaan asal. Kenapa? Kerana mencuci duit syiling akan menyebabkan harganya jatuh dan kondisi duit syiling tersebut ada kemungkinan akan rosak. Ini kerana ada banyak syiling yang menjadi rosak kerana dicuci daripada yang menjadi lebih elok. Bagi pengumpul duit syiling yang baru belajar, duit "bling-bling" atau berkilat itu mungkin amat cantik tetapi bagi pengumpul duit lama sebenar, syiling bling-bling yang dicuci itu tidak ada nilainya kerana kilatan yang ada pada syiling tersebut tidak semulajadi. Ada yang menggunakan ubat gigi, air coke, limau, air panas dan juga sos tomato untuk menjadikan duit lama berkilat. Ada pelbagai cara mencuci duit lama diluar sana yang anda boleh pelajari tetapi adakah berbaloi untuk anda melakukannya?

Straits settlements coin

Kenapa tidak boleh mencuci duit lama?

1. Harganya akan jatuh dengan teruk apabila dicuci.
Ada yang mengatakan, penjual duit lama tidak membenarkan anda untuk mencuci duit lama sebagai alasan untuk membeli duit lama anda pada harga murah. Ini cakap orang yang tidak ada ilmu dan tidak mahu belajar. Harga duit lama itu jatuh kerana rupanya sudah rosak kerana telah dicuci. Mungkin kerana rupanya tidak semulajadi dan ada calar kesan dicuci. Jika anda mempunyai duit syiling 1 sen 1970 yang dicuci, harganya mungkin hanya RM30 sahaja pada saya berbanding harga asalnya RM80 (nilai duit 1 sen mengikut tahun). Ini kerana warna asalnya sudah bertukar, copper apabila dicuci, warnanya akan berubah kepada lebih terang sedikit dan tidak nampak warna semulajadinya. Syiling tersebut juga ada kemungkinan telah tercalar (perlu lihat dengan kanta pembesar) dengan teruk. Harganya jatuh kerana kebiasaannya mencuci duit syiling akan menyebabkan duit itu rosak dan tidak nampak keadaan semulajadinya.

2. Duit lama mempunyai patina & toning yang akan hilang bila dicuci.
Toning yang ada pada duit syiling memakan masa bertahun-tahun untuk terbentuk. Toning atau warna yang berubah secara semulajadi kepada duit syiling adalah sesuatu yang sukar untuk diperolehi terutamanya untuk toning yang cantik berwarna biru, hijau atau violet. Toning yang cantik sebegini mendapat tempat dikalangan pengumpul duit lama dan harganya agak tinggi daripada biasa. Patina seperti juga toning mengambil masa lama untuk terbentuk di permukaan syiling. Patina yang biasanya berwarna hijau dan terjadi pada syiling copper & bronze melindungi syiling tersebut daripada rosak. Kewujudan patina ini biasanya menarik minat pengumpul duit lama dan ianya sudah cukup sebagai bukti yang duit lama itu asli. Apabila anda mencucinya, toning & patina ini akan turut hilang.

3. Mengosok syiling biasanya akan merosakkannya.
Kebanyakan daripada pengumpul duit baru akan menggunakan cara mengosok duit syiling tersebut untuk membersihkannya. Ada yang menggunakan ubat gigi dan berus gigi, ada juga yang menggunakan pencuci barangan perak yang boleh dibeli di kedai-kedai hardware dan syiling akan digilap dengan kain. Mengosok duit syiling sebegini akan mencalarkannya dan sekaligus akan merosakkan duit syiling tersebut. Duit syiling itu mungkin akan nampak berkilat tetapi warna kilatannya tidak semulajadi dan ada kesan calar pada permukaannya.

4. Syiling circulated akan nampak buruk bila dicuci.
Duit syiling Parlimen "bling-bling" yang circulated sebegini biasa saya lihat di jual di Facebook. Apabila duit syiling circulated ini dicuci ianya nampak buruk dimata pengumpul duit lama. Mungkin bagi penjual dan juga pengumpul baru, duit itu cantik kerana nampak berkilat dan bersinar tetapi jika dilihat dengan teliti, permukaan syiling yang sudah bercalar sewaktu berada di edaran itu tidak mungkin berkilat begitu. Saya tahu ramai yang terbeli syiling begini daripada penjual yang sama dan tidak akan membeli dari penjual tersebut lagi.

1/2 cent 1932

5. Mencuci duit syiling tidak akan memperbaiki kondisinya.
Ramai pengumpul baru yang salah faham, jika duit syiling itu berkilat, gred dan kondisi duit syiling itu akan turut meningkat naik. Apa yang berlaku sebenarnya adalah sebaliknya. Syiling yang dicuci sudah tidak kelihatan natural dan tidak nampak menarik dimata pengumpul duit lama. Saya banyak mendapat duit syiling Straits Settlements yang jika tidak dicuci memang akan mendapat harga yang tinggi kerana keadaannya yang masih cantik. Tetapi akibat telah dicuci, syiling yang sepatutnya mempunyai gred extremely fine itu hanya ada pada kondisi Very Fine sahaja. 

6. PGCS NGC tidak akan gred duit syiling yang dicuci.
Numismatic Guaranty Corporation (NGC) dan Professional Coin Grading Service (PGCS) dua syarikat antarabangsa yang melakukan servis mengred duit syiling mungkin tidak akan mengred duit syiling anda jika ianya teruk dicuci. Jika anda mempunyai syiling yang ada kemungkinan berharga tinggi seperti "half cent Queen Victoria Straits Settlements tahun 1883" tetapi telah dicuci. Anda tidak akan mendapat extra value kerana PGCS & NGC tidak mahu mengred duit syiling anda. Dengan adanya gred dari dua syarikat ini, biasanya lebih mudah untuk menjual duit syiling tersebut dan mendapat harga yang lebih kerana grednya sudah dilakukan oleh syarikat terbabit.


Nasihat saya, biarkan duit syiling pada keadaan semulajadinya, jangan mencuci duit syiling jika anda tidak ada kepakaran. Jika anda hendak cuba mencuci sekalipun, gunakan duit syiling yang berharga murah. Ada pengumpul duit lama yang mengatakan terpulang kepada masing-masing untuk mencuci duit lama di dalam simpanan mereka atau tidak tetapi bagi saya mencuci duit lama bukan pilihan. Anda tidak sepatutnya mencuci duit lama. Ini kerana suatu hari nanti anda mungkin akan menjual duit lama itu, pada ketika itulah anda akan mula menyesal. Mengumpul duit lama ini anda perlu fikir ke hadapan jangan fikir masa sekarang sahaja. Artikel ini ditulis bukan untuk duit syiling yang dijumpai oleh Metal Detector yang pada kebiasaannya perlu dicuci kerana kesan tanah dan lumpur yang ada padanya.

Jangan cuci duit lama anda, buruk, kotor, hitam pada duit lama itu suatu hari nanti mungkin akan membantu anda menaikkan harganya.