Rabu, 7 November 2012

Top 7 Pasar karat popular di Malaysia

Entri ini adalah mengenai "Top 7 Pasar karat popular di Malaysia". Ada yang bertanyakan kepada saya, diamanakah Pasar Karat (flea market) popular di Malaysia ini yang ada menjual duit syiling dan juga wang lama? Sebelum saya menjawab soalan tersebut, adalah lebih baik jika kita terlebih dahulu bercerita mengenai pasar karat. Pasar karat adalah suatu pasar yang pada kebiasaannya menjadi tempat untuk mencari barang-barang lama (antik) dan juga terpakai. Namun, ada sesetengah tempat yang mengubah nama mereka kepada pasar karat walaupun kebanyakan penjual disitu tidak menjual barang-barang lama. Di dalam entri ini, kita akan membincangkan mengenai pasar-pasar karat yang popular di Malaysia yang menjual wang lama dan serba sedikit berkenaan sejarahnya. Oleh kerana sibuk dengan tugas, saya sudah agak kurang memburu duit syiling lama di pasar karat. Oleh yang demikian, ada kemungkinan informasi yang saya berikan di dalam entri ini adalah kurang tepat. Mohon tuan-puan, tolong perbetulkan dengan memberi komen di dalam post ini atau Facebook.

Pasar karat

Saya tidak pasti Pasar Karat Pertama di Malaysia yang mana satu tetapi saya mula menjadi peminat pasar karat apabila saya mula bekerja di Pulau Pinang pada tahun 2000. Saya dimaklumkan oleh beberapa orang sifu, pasar karat di Pulau Pinang adalah Pasar Karat pertama di Malaysia. Kewujudannya yang menarik kehadiran warga tempatan dan juga pelancong asing serta kelihtan boleh menjana ekonomi setempat telah membantu secara tidak langsung kewujudan banyak pasar karat lain di seluruh semenanjung. Selain lorong kulit, pasar karat juga mempunyai nama-nama lain mengikut tempatnya. Antara nama lain pasar karat ialah; Flea market, pasar lambak, boot sale, rope walk, roadwalk, pasar loken, memory lane, thieves market dan pasar warisan.

Top 7 Pasar karat popular di Malaysia:

1. Lorong Kulit Pulau Pinang.
Pasar Karat pertama di Pulau Pinang ini mula beroperasi pada penghujung tahun 1992. Lorong kulit pada asalnya hanyalah satu nama jalan untuk lorong sempit di Pulau Pinang. Ianya dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 1 petang untuk hari biasa, dari jam 8 pagi sehingga 2 petang untuk Sabtu/Ahad. Lokasinya bersebelahan dengan Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Balai Polis Dato Keramat dan juga Workshop TNB. Ada banyak tempat letak kereta berbayar di sekitar kawasan tersebut dengan kadar bayaran RM1 untuk hari bekerja dan RM2 untuk Sabtu/Ahad. Ada lebih daripada 10 orang penjual yang mengusahakan gerai duit lama di sini. Sesetengah dari mereka turut menjual barang-barang antik. Oleh yang demikian, anda perlu memerhatikan betul-betul setiap meja penjual kerana ada yang menjual dalam jumlah wang lama yang sedikit. Masa terbaik yang saya syorkan untuk datang ke Pasar karat ini adalah pada jam 7 pagi (Ahad). Ini kerana pada jam 8 pagi, orang sudah mula ramai datang ke sini. Pada hari biasa, ada penjual yang tidak datang menjual di sini. Menurut En. Muhammad Arif (pembaca blog ini yang memberi komen diFacebook), Lorong Kulit juga dikenali sebagai "Ropewalk" kerana suatu masa dahulu ianya beroperasi berdekatan dengan KOMTAR di Jalan pintal tali.

2. Pasar Karat Kuala Lumpur (Petaling Street)
Di dalam kesibukan kotaraya Kuala Lumpur juga terdapat satu pasar karat yang dikatakan telah wujud sejak lebih 10 tahun yang lalu. Pasar Karat Kuala Lumpur terletak berdekatan dengan pasar malam petaling street yang rasanya semua orang di Malaysia pernah melawatnya. Ia juga tidak jauh daripada Jalan Sultan yang terkenal apabila kerajaan bercadang untuk membuat laluan MRT di sana. Waktu beroperasi pasar karat ini adalah dari jam 6 pagi sehingga 10 pagi setiap hari. Namun, saya syorkan untuk anda pergi ke sana pada hari Ahad kerana lebih ramai peniaga ada di sana pada hari Ahad. Namun, pastikan anda datang awal sebelum jam 9 pagi kerana kebanyakan peniaga sudah mula beransur pulang pada waktu itu. Pasar ini dulunya dikenali sebagai "thieves market" kerana disini ada ramai yang menjual barang-barang curi (barang panas) dan mula menjual sejak jam 5 pagi. Pada waktu itu, anda perlu membawa lampu suluh untuk melihat barang yang dijual mereka. Pada ketika ini, ada lebih kurang 5 orang peniaga yang menjual duit dan wang lama di sini. Penjual lain kebanyakannya menjual barangan terpakai dan juga barang-barang lama. Anda boleh membaca cerita lanjut di blog saya; Pasar Karat Petaling Street.

3. Amcorp Mall Flea Market, Kuala Lumpur
Jika anda pengumpul duit lama datang melawat Kuala Lumpur, lawatan anda tidak akan lengkap jika tidak singgah ke Amcorp Mall Flea Market. Ini kerana, pada hari Ahad, hampir semua peniaga duit lama di Kuala Lumpur akan berkumpul dan membuka gerai mereka di flea market ini. Untuk senarai peniaga duit lama, anda boleh membaca post ini; Kedai Penjual Wang Lama Malaysia. Amcorp Mall Flea Market dibuka pada hari Sabtu dan Ahad dari jam 9 pagi sehingga 6 petang. Namun, saya syorkan untuk anda pergi pada hari Ahad kerana lebih ramai peniaga duit lama berniaga pada hari Ahad. Cuma jika anda datang selepas tengahari, keadaan agak sesak kerana ramai orang. Jika anda membawa kereta, bayaran letak kereta di sekitar kawasan letak kereta di Amcorp itu adalah agak mahal. Jika anda datang awal, anda boleh cuba meletak kenderaan di bangunan Amcorp Mall (bawah), harganya lebih murah dari yang diluar. Disini adalah syurga barang-barang antik dan barang lama. Syiling, wang kertas, Setem, sampul surat hari pertama, poskad lama, dokumen antik, Buku, tembikar lama, sterika tembaga, meja, almari, kerusi, vinyl, permainan kanak-kanak, barang-barang Coca-Cola & jam lama adalah sebahagian daripada barang-barang yang dijual disini. Pemilik Flea market (AMG event management) ini memberitahu, ada lebih 300 gerai dibuka pada hari Ahad dan flea market ini telah bermula sejak tahun 1997. Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh membaca post saya; Amcorp Mall Flea Market.

4. Pasar Loken, Ipoh
Saya diberitahu, lokasi Pasar loken ini telah diubah ke kawasan baru dan dinamakan sebagai "Memory lane". Namun, ramai orang yang masih lagi memanggilnya sebagai Pasar Loken. Apakah maksud loken? Mengikut cerita orang Ipoh, nama asal pasar karat ini adalah "Pasar Lam looking" kerana ianya beroperasi berdekatan dengan bangunan Bazaar Lam looking@Perak emporium di Jalan Laxamana, tidak jauh daripada lokasi yang baru ini. Saya tidak pasti jika Pasar Karat yang dulunya dibuat di People's Park (sekarang Taman Persisiran Ipoh Riverfront) adalah Pasar Karat yang sama atau berlainan, sila maklumkan kepada saya jika anda ada informasi. Lam Look Ing adalah taukeh Lombong biji timah di Kampar dan Kinta, Perak. Beliau juga memiliki banyak hartanah di kawasan Bandaraya Ipoh ini. Saya sendiri tidak pernah lagi pergi ke Pasar Loken yang baru di sepanjang Jalan Horley & Jalan Lim Bo Seng ini tetapi rakan-rakan menyatakan ada lebih daripada 400 gerai yang menjual barang-barang lama dan terpakai disini. Pasar loken beroperasi pada hari Ahad dari jam 7.00 pagi sehingga jam 1 petang. Ada yang mendakwa Pasar Loken ini telah wujud sejak tahun 1970an lagi tetapi saya tidak pasti jika ianya benar atau tidak.

5. Pasar Rope Walk, Butterworth
Ada yang memanggil tempat ini sebagai roadwalk tetapi kebanyakan orang Penang memanggilnya sebagai Rope Walk. Walaupun nama asal kawasan penjaja ini adalah Taman Aneka Taman Selat yang dijalankan oleh Persatuan Koperasi Taman Selat Pasar Aneka Butterworth. Ianya dibuka setiap hari dari jam 9 pagi sehingga jam 5 petang di Taman Selat, Jalan Bagan Luar, Butterworth. Jika anda tahu dimana, lokasi untuk menaiki feri di Butterworth, ianya tidak jauh dari lokasi tersebut. Lokasinya agak tersorok dari jalan utama tetapi anda boleh bertanya dengan sesiapa di kawasan itu, kebanyakan daripada mereka tahu tempat tersebut. Di Rope Walk Taman Selat ini, ada dua orang penjual duit lama yang agak popular Hj. Zulkifle (Cina Muslim berambut putih) dan juga Ah-Kit. Haji Zul sudah agak lama menjual di sini, sejak Rope Walk ini mula-mula dibuka lagi. Ada juga beberapa penjual lain yang menjual duit lama disini tetapi mereka tidak mempunyai koleksi yang banyak. Kali terakhir saya menjejakkan kaki disini adalah pada tahun 2010, mesti sudah banyak perubahan yang berlaku sekarang ini.

6. Pasar karat Jalan Hang Lekir, Melaka
Pasar karat Jalan Hang Lekir ini berdekatan dengan Jonker Street di Melaka dan dibuka pada setiap Hari Ahad dari jam 9.00 pagi sehingga 3 petang. Ianya mula beroperasi di penghujung tahun 2005 (sila betulkan saya jika silap) dan ditubuhkan oleh Jawatankuasa Jonker Walk. Ada lebih daripada 25 gerai yang menjual barang-barang antik dan juga duit lama di sini. Walaupun saya telah banyak kali melawat negeri Melaka, saya masih tidak mempunyai kesempatan untuk berkunjung ke Pasar Karat Jonker Street ini. Mungkin kerana terlalu banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan pada hari Ahad di Melaka.

7. Pasar Warisan, Seremban
Pasar Warisan Seremban ini terletak di Jalan Utam Singh berdekatan dengan Pasar Besar Seremban. Ianya dibuka setiap hari Ahada dari jam 7.00 pagi sehingga 5.00 petang. Dahulu, Pasar karat di Seremban ini dibuat di Jalan Lee Sam. Pasar Warisan Seremban di jalan Utam Singh ini sudah dibuka sejak 1 Mei 2008 lagi. Tidak ramai peniaga barang lama disini tetapi lokasinya yang tidak jauh dari Kuala Lumpur memudahkan kita untuk melawatnya. Sewaktu lawatan terakhir saya pada tahun 2010, hanya ada lebih kurang 5 orang yang menjual duit lama di sini. Harganya boleh tahan mahal tetapi sepertimana membeli di pasar karat lain, anda perlu pandai tawar-menawar harga. Anda boleh membaca mengenainya di blog saya; Pasar Warisan Seremban.


Nasihat saya, berhati-hati ketika membeli koleksi duit lama anda di sini kerana ada ramai peniaga yang tidak jujur dengan menjual duit syiling tiruan dan juga wang lama yang telah dicuci. Jika harga duit lama itu terlalu murah, sila belek syiling tersebut dengan lebih teliti dan minta pendapat kawan-kawan yang datang bersama anda. Pada waktu sekarang ini, membeli duit lama di pasar karat tidak lagi menjadi murah seperti 10 tahun yang lalu. Oleh itu, pastikan anda betul-betul tahu apa yang anda ingin beli dan pandai tawar-menawar untuk mendapatkan harga yang terbaik.