"Kalau tak pandai, BELAJAR. Tak tahu, CARI. Tak faham, TANYA. Dah tahu, SEBARKAN. Kongsikan ilmu yang kita ada bersama orang lain".
Hari ini saya terbaca kata-kata hikmat ini yang dikongsi oleh seorang rakan di Facebook. Bagi saya, kata-kata ini amat sesuai di dalam kehidupan numismatik kita secara amnya dan kehidupan saya sebagai blogger numismatik secara khususnya. Di dalam lebih 4 tahun saya menjadi blogger numismatik, saya boleh simpulkan ada ramai pengumpul duit lama yang kedekut ilmu tetapi ada juga yang tidak lokek dan mudah berkongsi ilmu yang dia ada. Ada yang berpura-pura tidak tahu, semata-mata dia nak dapat untung lebih. Ada yang berkongsi ilmu, semata-mata dia mahu untung lebih juga. Orang kata, jangan kedekut ilmu tetapi saya terpaksa tapis apa yang saya dapat kerana adakalanya cerita tersebut bukan cerita benar dan ada juga cerita yang berunsur spekulasi sahaja untuk mencari untung. Ramai juga diluar sana yang tidak sukakan saya kerana berkongsi ilmu numismatik di alam maya. Bagi mereka, saya penyebab mereka susah cari makan dan saya juga penyebab ramainya penjual duit lama secara online sekarang ini.
"Kalau tak pandai, BELAJAR"
Ingat lagi tak cerita akhbar sinarharian duit syiling 16 juta? Kalau anda lupa boleh baca disini; Betulkah syiling lama bernilai tinggi? Kalau dibaca ceritanya, orang yang mengarang cerita (pemberita) dan juga orang yang memiliki duit syiling 16 juta itu jelas tidak ada ilmu mengumpul duit syiling tetapi dua-dua mahu bercerita. Sepatutnya kalau tak tahu, belajar terlebih dahulu sebelum bercerita dengan satu Malaysia yang anda ada duit 16 juta. Apa yang saya lihat sekarang dah jadi seperti satu trend di Malaysia ini, ada duit lama berusia lebih 100 tahun, harganya berjuta-juta. Semua nak jadi seperti mat jenin, berangan-angan sahaja tetapi bodoh tak tahu apa. Saya dengar pemilik duit 16 juta itu sudah mula belajar serba sedikit ilmu numismatik, harap beliau terus belajar dari kesilapan lalu.
"Tak tahu, CARI"
Adakalanya, kita mahu belajar tetapi tak tahu dengan siapa kita boleh belajar. Kita kena berusaha untuk mencari dengan siapa kita boleh belajar. Sebagai contoh, jika kita nak tahu berkenaan duit syiling Malaysia, kita kena cari mereka yang mengumpul duit syiling tersebut, berkawan dengan mereka. Tanya dengan mereka apa yang kita tidak tahu. Sekarang ini, jika tak tahu, boleh buat carian di Google. Cuma kena pastikan ilmu yang kita dapat dari Google itu betul atau tidak. Cari sehingga kita puashati. Jika mengenai duit syiling dunia pulak, ada banyak buku mengenainya. Beli buku untuk kita cari ilmu.
"Tak faham, TANYA"
Ramai yang kata jangan lawatlah blog lunaticg tu, blog dia banyak iklan. Tujuan dia buat blog tu nak dapat untung daripada iklan jer tu. Hahahahaha.... Kalau korang melawat blog ni bukan saya dapat duit pun. Iklan tu saya dapat duit bila korang berminat dengan apa yang di iklankan dan pergi klik iklan tersebut. Ingat visitor dari Malaysia ni iklan dia dapat harga mahal ke? Satu klik dapat lebih kurang RM0.10 jer. Satu hari dapat dalam 10 klik jer, kiralah sendiri. Saya letak iklan dalam blog kerana ada bahan-bahan numismatik seperti Duit Syiling yang saya tak berminat saya terpaksa beli untuk dimasukkan didalam blog. Sebagai contoh, Duit peringatan PATA 86 yang rosak teruk di dalam post, I am not a collector ini saya beli dengan harga RM140. Adakah yang nak beli pada harga RM150 termasuk poslaju? Itu belum termasuk kos kerugian terbeli duit palsu melalui online. Kos saya untuk minyak kenderaan, tol, bil telefon untuk bergerak mencari informasi duit syiling juga perlu di ambil kira. Jadi saya dah beritahu tu, tolong jangan salah faham lagi.
Namun, ada juga yang bila tak tahu mengenai duit syiling yang mereka ada terus nak bertanya, walhal saya telah kongsikan apa yang saya tahu di dalam blog. Buat carian dulu, nak belajar janganlah malas nak tunggu kena suap ilmu ke mulut sahaja. Bila dah CARI tak jumpa barulah TANYA.
"Dah tahu, SEBARKAN"
Dah dapat ilmu yang anda cari tu, jangan lupa sebarkan kepada kawan-kawan lain. Mungkin ada yang mencari jawapan kepada persoalan yang sama, jangan kedekut ilmu, kongsi ilmu. Di blog saya, banyak butang share ke social media seperti Facebook dan Twitter. Cuma blog ini saya lock dari di copy paste kerana ramai yang kongsikan cerita didalam blog ini tanpa menyertakan link dari blog ini. Kongsi ilmu yang kita dapat dengan orang lain, ilmu itu walau sedikit mungkin manafaatnya besar kepada orang lain. Namun, saya bukanlah pakar numismatik, saya cuma suka berkongsi ilmu.
Terima kasih kepada kawan-kawan Numismatik dan juga sifu-sifu yang tidak pernah kedekut untuk berkongsi ilmu selama ini. Untuk pengetahuan semua juga, saya juga bukan peminat duit syiling Malaysia tetapi saya belajar dari rakan-rakan dan juga sifu-sifu semua. Di dalam kehidupan saya selama lebih 4 tahun sebagai blogger numismatik, ada diantara mereka yang saya lihat kedekut ilmu kerana mereka tahu saya ini blogger, mereka takut tembelang mereka pecah kerana saya tahu ada diantara mereka yang suka berkongsi cerita pelik duit syiling Malaysia. Ada pula yang tidak mahu berkongsi ilmu atas dasar perkauman. Itu belum termasuk lagi mereka yang sebelum nak bercerita, pandang kita atas bawah, nak tengok dulu kita ni miskin atau kaya. Mereka yang mengumpul duit lama di Malaysia ini tidaklah ramai sangat, apa salahnya berkongsi ilmu. Lihat sahaja Dickson Niew sebagai contoh, beliau tidak pernah lokek berkongsi ilmu. Dulu sewaktu kedainya mula-mula dibuka, saya, isteri dan anak boleh lepak di kedainya bercerita sehingga malam. Sekarang ini, nak lepak bersembang sejam dikedainya pun dah amat sukar, murah rezekinya kerana dia tak lokek ilmu. Semua kerana saya lihat dia mengamalkan "Kalau tak pandai, BELAJAR. Tak tahu, CARI. Tak faham, TANYA. Dah tahu, SEBARKAN".