Rabu, 30 Januari 2013

Kalau takut dilambung ombak, Jangan....

Kalau takut dilambung ombak, Jangan berumah di tepi pantai, baik dicari tanah yang landai.

Hari ini kita berperibahasa lagi.

Jika ada diantara anda yang tidak tahu maksud peribahasa diatas, ianya bermaksud, Sekiranya takut kepada risiko, jangan dekati bahaya, lebih kuranglah. Saya bukannya ahli bahasa tetapi saya sukakan bahasa yang indah.

Apa kaitan pulak peribahasa ni dengan Numismatik? Pada Ahad baru-baru ini, saya bertemu dengan kawan-kawan numismatik dan antara isu yang diceritakan ada kaitannya dengan peribahasa ini.

Kebelakangan ini, dunia numismatik Malaysia melihat kemunculan ramai "penjual duit lama segera" yang memeriahkan suasana numismatik Malaysia. Kebanyakan daripada mereka ini bukannya pengumpul duit lama tetapi mempunyai koleksi duit lama untuk dijual.

peribahasa

Ada diantara mereka ini yang tidak mempunyai koleksi untuk dijual tetapi mengambil gambar di Kedai Penjual Duit Lama dan kemudian menjualnya di laman-laman blog dan juga di Facebook. Jika nasib bagus, dapatlah untung daripada "jualan" mereka. Jika sebaliknya, sudah tentu akan dapat cacian percuma daripada pembeli kerana koleksi yang dibayar tidak kunjung tiba. Koleksi tersebut mungkin sudah dijual oleh pemilik sebenarnya. Jika duit yang diterima itu tidak digunakan lagi, bolehlah di bank-in kan semula ke akaun pembeli. Jika sebaliknya, maka mereka akan menerima cacian dan dilabel sebagai scammer kerana menipu. Ada ramai penjual yang sudah terkenal dengan cara begini, terutamanya yang menjual di Facebook pages dan juga Facebook group.
(PS: Saya bukannya pakar agama tetapi daripada apa yang saya baca, cara sebegini ada unsur riba. Jika anda juga ingin berniaga sebegini, pastikan dahulu jika cara berniaga sebegini dibolehkan didalam Islam).

Saya lihat, para penjual yang aktif di Facebook juga suka sangat menggunakan nama dan gambar perempuan untuk melariskan jualan mereka. Mungkin perempuan itu adalah isteri, tunang atau kekasih mereka. Jika orang tak tahu, tak apalah. Mungkin bagi mereka itu satu cara Marketing Strategy yang baik. Orang lelaki ni mudah percaya kepada orang perempuan dan mudah memaafkan jika gred itu tidak sama dengan apa yang diwar-warkan. Namun, apabila tembelang dah pecah, pembeli yang rasa tertipu tidak akan teragak-agak untuk berkongsi cerita penjual lelaki yang menyamar menjadi perempuan didalam Facebook tadi. Akhirnya, satu Malaysia akan ragu-ragu untuk membeli duit lama dengan penjual tersebut.

Seringkali juga saya lihat, "penjual duit lama segera" ini yang tidak ada ilmu langsung didalam mengred duit syiling. Maka apabila mereka menerbitkan gambar untuk jualan di Facebook, keluarlah ayat-ayat seperti; What you see is what u get (WYSIWYG), Gred seperti digambar, kondisi anda lihat sendiri dan sebagainya. Gilalah.., macamana nak lihat kondisi duit syiling dengan hanya melihat gambar yang tak jelas? Bagaimana dengan duit kertas yang berlipat dan berlubang, bolehkah dilihat dengan hanya melihat gambar? Kepada penjual-penjual baru, saya ada kumpulkan nasihat untuk anda disini; 10 Panduan terbaik untuk pengumpul baru.

Dah lah tak tahu macamana nak gred duit lama, UNC, VF tak tahu, nak letak harga duit lama pun tak tahu juga. Harga pasaran duit lama berubah dengan cepat, terutamanya untuk duit lama yang menjadi buruan peminatnya. Sebagai penjual duit lama yang serius, anda perlu belajar untuk turun ke padang dan belajar sendiri tentang harga pasaran duit lama. Jika anda kerap-kali bertanya dengan orang lain ketika ingin menetapkan harga duit lama anda, orang yang ditanya itu pastinya akan bosan dengan perbuatan sedemikian. Jika takut rugi sebab beli terlalu mahal atau menjual terlalu murah, lebih baik anda jangan menjadi penjual duit lama.

Ada pulak yang sanggup membuat pinjaman peribadi, pinjam duit dengan kawan-kawan, keluarkan semua simpanan ASB semata-mata ingin melabur didalam duit lama. Jika ada ilmu yang cukup, bolehlah melihat pulangan tahunan yang lebih tinggi daripada dividen ASB setiap tahun. Jika buat sebab dengar cakap orang, tidak tahu menjaga duit lama dan juga tersalah beli (duit palsu, gred rendah harga mahal dsb). Maka rugi besar akan menanti anda dimasa hadapan.

Ada juga yang silap percaturan, orang sibuk beli duit syiling peringatan yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk dijadikan koleksi, dia sibuk beli untuk dijadikan pelaburan. Berharap akan dapat menjualnya keesokan hari dengan harga yang berlipat kali ganda. Dia tak kaji pun syiling peringatan yang dijual oleh BNM itu ada berapa keping dan berapa ramai kolektor yang mahu membelinya. Akhirnya, rugi duit upah orang beratur, duit peringatan terpaksa dijual pada harga beli kerana perlukan duit segera. Adakah anda ingat semua duit yang dikeluarkan oleh BNM itu boleh membawa pulangan segera?

Itulah antara asam garam didalam dunia numismatik. Jikalau anda takut untuk dilambung ombak, jangan cuba untuk melabur didalam numismatik.

Jika tidak, anda akan akhiri hidup anda dengan kecewa, sedih dan mungkin hutang.

Nak selamat dan mudah, melabur sahaja didalam pelaburan emas dan perak.