Selasa, 12 Mac 2013

Jangan jadikan Mudah.my sebagai panduan harga

Kebanyakan newbies dan juga bukan collector di Malaysia ni, kalau nak buat rujukan harga duit lama yang mereka ada akan merujuk ke laman mudah.my. Setiap minggu ada sahaja yang bertanya kepada saya, harga dekat mudah.my tu boleh jual sampai RM10,000 kenapa pulak awak kata harga item saya baru RM10.

mudah.my logo

Kewujudan mudah.my ada kebaikan dan keburukannya kepada pengumpul duit lama Malaysia. Ada ramai pembeli yang ditipu oleh penjual yang tidak beretika, penipu, scammer dan juga conman didalam mudah.my yang tidak memerlukan identiti seseorang penjual itu disahkan sebelum mereka dibenarkan untuk menjual. Namun, ada juga penjual yang betul-betul serius didalam jual beli mereka. Saya akan menulis dengan lebih lanjut mengenai perkara yang saya sebutkan tadi kemudian.

Untuk hari ini saya berkongsi 5 sebab kenapa laman Mudah.my bukan tempat panduan harga duit lama:

1. Harga duit lama di mudah.my ikut suka hati "penjual"
Duit $1 1971 London Mint jual dengan harga RM2000 sekeping. Itu belum termasuk duit copper-nickel 1 ringgit yang ditawarkan pada harga ratusan dan ribuan ringgit sekeping. Mereka yang jual ni mungkin berfikir Jual Duit Syiling Lama Boleh Jadi Kaya. Jadi harga perlulah letak tinggi-tinggi supaya cepat sikit jadi kaya tu. Harga yang mereka letak tu biasanya tidak mengikut harga pasaran duit lama. Ikut suka hati masing-masing nak letak berapa.

2. Tawar harga tinggi ada orang beli ke?
Janganlah jadi angan-angan mat jenin nak menawarkan harga duit lama pada harga yang tidak munasabah kerana harga tinggi yang melampau tu biasanya pembeli duit lama gelakan saja. Anda boleh tawarkan seberapa tinggi harga yang anda rasa anda nak sebab di Mudah.my tu tiada siapa yang menghalang anda untuk meletakkan sebarang harga. Akan tetapi anda perlu ingat, nak jual mahal-mahal macam tu, adakah pembeli duit lama yang akan beli. Nak harapkan orang main nombor ekor dan puja duit lama? Kebanyakan yang kata nak beli dengan harga mahal macam tu pun orang tengah jer, sembang jer lebih nak beli harga mahal sebab dia kata ada Datuk, Tan Sri yang cari.

3. "Penjual" di Mudah.my bukan semua tahu pasal duit lama
Bukan semua penjual duit lama di Mudah.my itu adalah penjual duit lama sebenar atau pun seorang collector. Kebanyakannya adalah orang-orang yang sama seperti anda semua, mereka ada duit lama yang baru mereka jumpa dan cuba nak dapatkan duit lebih dengan menjualnya di Mudah.my.

4. Harga duit lama bergantung kepada gred
Sepertimana yang saya pernah cakap sebelum ini, harga duit lama turut bergantung kepada gred duit lama tersebut. Kebanyakan penjual duit lama di Mudah.my itu tidak memberikan gred atau deskripsi duit lama mereka dengan tepat. Ramai pembeli yang rugi sebab bila dapat duit lama kat tangan mereka, duit lama yang dah dicuci pun dijual sebagai Brilliant Uncirculated. Ini tak betul. Jika anda nak jual duit lama, perlu beritahu pembeli dengan terperinci butiran duit lama yang anda ada. Misalannya duit itu ada kotoran atau calar, pernah dicuci atau tidak dan sebagainya. Janganlah letak "What you see is What you get" sebab gambar sahaja tidak cukup untuk memberikan gambaran tentang gred duit lama tersebut.

5. Mudah.my hanya tempat iklan online percuma
Anda semua kena ingat, Mudah.my hanyalah tempat iklan online percuma bukannya tempat rujukan harga duit lama. Jika nak cari buku rujukan duit lama boleh baca didalam artikel saya sebelum ini dan beli salah satu buku yang ada didalam tu; Buku rujukan duit Malaysia. Janganlah salah faham pulak tentang Mudah.my, ramai orang guna bermakna anda boleh jadikan ianya sebagai tempat untuk merujuk harga pasaran duit lama? Padahal orang guna sebab ianya percuma sahaja dan lebih mudah menjual disana daripada menjual di blog sendiri.

Walau bagaimanapun, ada ramai juga penjual duit lama di Mudah.my yang jujur dan tidak pernah menipu pelanggan mereka. Saya ada kongsikannya sebelum ini didalam blog saya yang satu lagi, ada ramai lagi penjual yang saya tidak masukkan didalam list tersebut. Belilah dengan mereka sebab anda pasti akan terima barang yang anda beli dengan mereka. 

Namun, seperti yang saya cakap sebelum ini membeli duit lama di Mudah.my itu ada kebaikan dan keburukannya. Mungkin selepas ini saya nak berkongsi pula 10 sebab kenapa newbies tidak sepatutnya membeli di Mudah.my.