Jika sebelum ini kita berbicara mengenai Ringgit Tua dan juga Ringgit Patong, hari ini kita teruskan perbincangan kita dengan Ringgit Garoda: Mexico 8 Reales & Pesos. Syiling perak ini telah dibawa masuk ke Tanah Melayu sekitar tahun 1825 selepas banyak kilang wang di Mexico menghentikan pengeluaran syiling 8 Reales Sepanyol secara berperingkat.
Ringgit ini digelar Ringgit Garuda kerana rekabentuk burung pada syiling itu yang kelihatan seperti Burung Garuda. Ia turut dikenali sebagai Ringgit burung. Ada juga yang memanggilnya sebagai Ringgit Janek kerana rekabentuk belakangnya menyerupai landak laut yang biasa ditemui dipantai Tanah Melayu pada ketika itu. Ia turut dikenali sebagai Ringgit Matahari kerana rekabentuk yang menyerupai seperti matahari.
Syiling Mexico 8 Reales & Pesos ini mempunyai berat dan ukuran yang standard; kandungan perak 0.900 fine, 39 mm diameter dan berat 27 gram.
Republic of Mexico 8 Reales
Pada muka hadapan syiling ini terpapar Jata negara Mexico yang menggambarkan Burung Helang Emas Aquila chrysaetos (Mexico Golden Eagle) berdiri di atas kaktus pir berduri sedang memakan ular. Di atasnya tertulis perkataan "REPUBLICA MEXICANA".
Pada muka belakangnya memaparkan topi Liberty yang terulis perkataan "LIBERTAD" ditengahnya yang dikelilingi dengan sinar disekelilingnya. Disebelah bawah tertera tulisan 8R (8 Reales), Mint Mark, Tahun dikeluarkan dan juga petunjuk ketulenan syiling perak.
Siri ini dikeluarkan dari tahun 1823 sehingga 1897.
Republic of Mexico 1 Peso
Pada muka hadapan syiling ini terpapar Jata negara Mexico yang menggambarkan Burung Helang Emas Aquila chrysaetos (Mexico Golden Eagle) berdiri di atas kaktus pir berduri sedang memakan ular. Di atasnya tertulis perkataan "REPUBLICA MEXICANA" dan tahun di sebelah bawah.
Muka belakangnya memaparkan topi Phrygia yang memancar dengan perkataan "LIBERTAD" (kebebasan) pada jalurnya. Dibawahnya tertera tiga perkara yang bersama-sama mewakili undang-undang: Skrol yang tertulis perkataan "LEY" ("Undang-undang"), sebilah pedang dan alat penimbang berat. Pada bahagian bawahnya adalah nilai syiling tersebut "UN PESO", tanda kilang wang (mint mark) dan juga petunjuk ketulenan syiling perak.
Duit syiling ini dihasilkan di kilang wang Bandar Mexico (Mo), San Luis Potosà (Pi), dan Oaxaca (O) 1869-1873; Culiacan (Cn), Durango (Do), Guadalajara (Ga), Guanajuato (Go), dan Zacatecas (ZS) 1870-1873 dan Chihuahua (CH) 1872-1873.
Syiling ini bukan sahaja digunakan di Tanah Melayu tetapi juga di Amerika, China dan hampir seluruh dunia.
Pada 31 Ogos 1904, dengan arahan Straits Settlements (coinage) Order 1903 yang bertarikh 25 June 1903, kesemua syiling perak Mexico (Reales & Peso) telah diwartakan sebagai tidak diperakui sah di negara-negara selat (Straits Settlements) dan dilupus nilai (demonetised).