Jumaat, 23 Ogos 2013

Buat duit mudah tanpa modal

Tahu tak macam mana caranya untuk buat duit mudah tanpa modal? Tapi nak buat duit kenalah rajin dan tidak kenal erti putus asa. Sanggup belajar daripada orang dan juga pengalaman diri sendiri. Tak perlu susah-susah, anda hanya perlu tengok duit dalam poket sendiri atau poket orang lain?

Biar betul, tengok duit dalam poket orang pun boleh buat duit?

Tak pernah dibuat orang!

Siapa kata tak pernah? Mungkin anda yang tak tahu sebenarnya. Ramai orang dah lakukannya dan berjaya. Cuma nak buat duit cara ini jangan malas dan kena tebalkan muka. Buat jer muka tak malu bukan kita curi duit orang.

Buat duit

Saya dulu pun buat macam ni jugak. Sebulan tu bolehlah dapat dalam RM1000 untung bersih. Walau seribu ringgit tu tak banyak buat kebanyakan orang tapi duit itu sudah cukup untuk bantu saya menambah koleksi duit lama saya daripada duit yang saya dapat itu. Siapa nak bagi korang RM1000 sebulan secara percuma kan?

Macam MLM atau skim cepat kaya jer ni? Mungkin itu yang bermain di fikiran anda bukan?

Dari dulu pun saya dah berkongsi cara nak buat duit ni, ada yang dah sedar dan ada juga yang masih tak tahu. Ada juga penjual yang tidak suka saya sebab saya kongsikan rahsia mereka. Dah makin ramai yang jadi penjual, jadi jualan mereka kononnya merosot disebabkan makin ramai yang jadi penjual.

Tadi kata bukan MLM tapi nak jual barang dan nak tengok poket orang tu buat apa?

Sebelum saya kongsikan apa yang saya maksudkan sebagai "Cara mudah buat duit tanpa modal' ini saya ingin memberitahu, tujuan saya nak berkongsi bukan nak tutup periuk nasi orang. Sebenarnya periuk nasi penjual yang dah lama tu tak tertutup pun jika dia itu memang seorang penjual yang baik.

Biasalah didalam perniagaan mesti ada persaingan, kalau tak nak persaingan jangan jadi peniaga. Kamu modal kecil tapi nak untung besar terus, mana boleh kalau dah ramai yang jual lagi murah. Kena tukar strategilah kalau nak terus hidup. Orang zaman sekarang nak "extra servis" bukannya "bad services".

Minta maaf kalau ada yang terasa, tapi macam yang saya cakap sebelum ni, siapa makan cili dialah terasa pedasnya.... Hahahaha.... Dari dulu nak jual barang mahal nak mampus, sekarang bila pelanggan dah lari, baru nak bising.

OK. Sebelum saya kongsikan cara-cara nak buat duit mudah tu, saya ceritakan dahulu pengalaman saya bagaimana saya mula menjual duit lama.

Dulu saya nak mula menjual duit lama online kat lelong.com.my memang modal tiada langsung. Gaji saya dulu memang cukup-cukup makan sahaja, nak beli kereta pun tak mampu. Saya letakkan kesemua duit lama yang ada didalam koleksi saya pada harga yang tinggi sedikit daripada harga pasaran pada waktu itu. Kenapa? Sebab saya sayang nak jual koleksi tersebut. Kebanyakan koleksi yang ada itu adalah pemberian orang tua dan beberapa koleksi yang sudah lama saya simpan. Didalam post saya tu memang saya ada sebut, saya nak jual koleksi sebab saya nak buat modal berniaga duit lama.

Setelah sebulan menunggu, satu dari koleksi saya terjual dengan harga RM300. Duit dari jualan tersebut saya jadikan modal untuk berjual beli duit lama. Sampai sekarang saya masih menyimpan maklumat pembeli yang membantu saya memulakan perniagaan saya.

Dah ada modal, saya mula cari duit lama yang boleh dijual. Untuk pengetahuan anda, pada ketika itu saya bekerja di Butterworth, Pulau Pinang. Masa itu, tak ramai yang berniaga duit lama online seperti sekarang. Apabila saya dah dapatkan duit lama untuk dijual, saya dengan segera masukkan untuk iklan di Internet. Harga yang saya tawarkan sangat murah dari harga pasaran pada waktu itu sebab tak banyak kos kepada saya, hanya kos tambang feri 60 sen. Setiap barang ambik untung 10-15% pun dah cukup. Kerja saya hampir setiap hari cari duit dan jual duit. Walaupun penat tetapi saya seronok sebab saya boleh mendapat duit lebih untuk membeli koleksi yang saya hajatkan. Namun, ada juga koleksi yang saya nak simpan terpaksa dijual untuk membeli koleksi yang dihajatkan.

Macamana nak buat duit, jual duit tanpa modal?

1. Jangan malas!
Nak buat duit tanpa modal, kenalah rajin. Kena rajin belajar, kena rajin membaca. Sila baca dengan teliti apa yang saya kongsikan didalam Artikel ini seterusnya.

Jika anda ada masa hujung minggu, tak bolehlah melepak saja kat rumah dengan kawan-kawan. Kena buat kerja pusing kat kawasan anda yang ada menjadi lubuk duit lama tu, cari duit lama yang boleh menjadi "Hot Item' atau boleh dijual dengan mudah.

2. Buat muka tak malu. Tengok Poket kawan atau syiling yang kawan simpan
Anda perlu rajin bertanya dengan kawan-kawan atau saudara-mara jika mereka ada duit syiling yang menjadi buruan pengumpul duit lama. Jika mereka kata ada banyak syiling yang dah lama simpan, apa lagi, tanyalah jika anda boleh cari duit koleksi. Janganlah tanya dengan saya pulak lepas ni, duit apa yang menjadi buruan pengumpul duit lama, semuanya saya dah kongsikan didalam blog malaysiancoin.com ni. Baca post saya satu-satu dan fahami betul-betul.

Duit syiling yang kita gunakan hari-hari tu pun ada yang bernilai dan ramai yang masih tak tahu.

Kalau nak lebih ekstrim, jualkan barang milik Dealer yang tak buat jualan melalui internet, ambik gambar dan postkan kat Mudah.my atau Lelong.com.my. Tapi kenalah beriitahu seller tu dan bincang elok-elok. Orang Islam buat ni rasanya tak boleh, untung atas angin, makan hasil riba sebab barang itu bukan milik kita tapi terpulanglah kepada masing-masing.

3. Mata kena sentiasa berwaspada
Bukan berwaspada takut ada orang tembak kepala kita, nak bunuh kita sahaja, kena tengok juga kat sekeliling ada tak orang yang simpan duit lama. Sebagai contoh baru-baru ni, makcik tempat saya jual nasi lemak kat tempat dia simpan duit tu ada beberapa keping duit RM2. Saya tukar duit tu dengan nilai muka, kalau tak terjual, tak rugi pun.

4. Perlu jadi peramah
Nak jadi penjual yang tak mesra pelanggan, kalau pelanggan tiada alternatif lain takpelah. Kalau dah ada alternatif lain, penjual duit lama kat Malaysia ni sudah semakin ramai, takde siapa yang nak beli dengan anda nanti.

Dulu-dulu saya nak tahu rahsia penjual duit lama kat Roadwalk tu, sambil membeli saya jadikan mereka kawan. Pergi minum teh tarik dengan mereka sambil makan goreng pisang disebelah petang. Sambil sembang tu, cubalah belajar apa rahsia mereka. Modal tak sampai pun RM10.

5. Jangan fikir untung saja
Saya lihat, ramai penjual duit lama yang baru ni asyik-asyik nak fikir untung. Memanglah berniaga nak untung tapi anda nak berniaga lama atau tidak? kalau terfikir nak berniaga lama tu, kalau dapat return customer tu, apa salahnya bagi mereka free bayaran poslaju sekali-sekala.

Anda juga perlu membuat keputusan, sama ada anda nak dapatkan untung pada margin yang tinggi tapi barang terjual lambat atau untung margin yang kecil tapi barang terjual cepat.


Macamana nak buat duit dengan jual duit?

1. Perlu banyak belajar
Jika anda adalah seorang newbies (orang baru) didalam hobi ini dan bukannya seorang collector, sila baca dan fahami apa yang saya kongsi didalam artikel; 10 Panduan terbaik untuk pengumpul baru. Baca, fahami dan pelajari kesemua perkara yang saya kongsikan didalam artikel tersebut.

2. Anda perlu belajar harga pasaran duit lama
Didalam blog ni saya dah bagi senarai Harga pasaran duit syiling Malaysia. Anda juga perlu beli buku sama ada dari Steven Tan atau KN Boon untuk duit-duit syiling yang lain. Anda juga perlu rajin membaca internet, Facebook, blog dsbnya untuk tahu berkenaan harga pasaran duit lama. Kalau anda tak tahu harga pasaran, macamana anda nak jual duit lama?

3. Jual lebih murah dari harga pasaran
Keputusan anda sama ada duit tersebut boleh terjual atau tidak, terletak kepada permintaan pada waktu itu dan harga yang anda tawarkan. Sebelum anda nak beli duit tu, fikir dulu berapa harga yang anda "boleh jual".

Nak barang anda laku, jangan fikir nak jual barang ikut harga pasaran duit lama. Jual lebih murah dari orang lain tapi pada gred yang sama atau jual pada harga yang sama dengan orang lain tapi pada gred yang lebih tinggi.

4. Beri ekstra service kepada pelanggan anda
Anda perlu berfikir bagaimana anda boleh berbeza dengan penjual lain di Internet yang ada beratus-ratus orang sekarang ni. Macamana anda nak yakinkan kepada pelanggan anda yang anda ini penjual online yang tidak menipu (scam) duit mereka.

Mungkin anda boleh datang ke tempat mereka (COD) apabila pelanggan telah bersetuju untuk membeli duit tersebut. Mungkin anda boleh memberikan bayaran Poslaju secara percumake seluruh Malaysia kepada pelanggan yang membeli pada harga lebih RM100.

Apa yang penting adalah anda membina keyakinan orang kepada anda. Apabila ada yang telah berjaya membeli dari anda, servis anda bagus, buah mulut orang akan cepat tersebar.

5. Perlu tahu duit lama yang boleh dijual.
Anda juga perlu belajar sendiri duit Malaysia bagaimanakah yang boleh dijual kepada pelanggan anda. Gred duit lama dan juga harga yang anda tawarkan biasanya menjadi penentu sama ada anda boleh menjual duit itu kepada pelanggan atau tidak.


Rasanya cukup setakat itu apa yang saya ingin kongsikan mengenai "Buat duit tanpa modal". Namun, jika anda nak buat semua ini, pastikan anda bersedia untuk:
  • Pelanggan telefon/sms anda jam 2-4pagi
  • Bukan pelanggan sms/telefon anda bertanya harga pasaran duit lama/koleksi mereka.
  • Penjual berlakon sebagai pelanggan, beli barang anda pada gred yang mereka boleh pertikaikan dan nama/reputasi anda akan buruk dikerjakan mereka.
  • Pencuri/perompak menipu menjadi pelanggan. Pastikan anda hanya membawa barang yang mereka nak beli sahaja dan gunalah logik akal ketika bertemu pelanggan.
  • Barang yang anda beli mungkin lambat untuk dijual sebab keputusan salah yang anda lakukan.