Ahad, 6 Oktober 2013

Perlukah bayar zakat untuk duit lama

Ada rakan-rakan yang bertanya kepada saya perlukah bayar zakat untuk duit lama? Saya bukanlah seorang yang pakar didalam ilmu agama dan Zakat tetapi saya cuba bertanya kepada rakan-rakan yang boleh membantu memberi penyelesaian kepada persoalan rakan-rakan semua. Sebelum ini saya pernah bertanya mengenai hal tersebut dengan Pusat Pungutan Zakat tetapi saya terlupa kebanyakan perkara yang diterangkan kepada saya.

Zakat

Hari ini saya berpeluang bertemu dengan Pegawai di Pusat Pungutan Zakat untuk sekali lagi bertanyakan soalan berkaitan kaedah penggiraan bayaran zakat untuk koleksi numismatik. Apa yang saya sampaikan disini mungkin tak tepat, sila betulkan jika ada kesilapan. Saya tulis berdasarkan apa yang saya fahami.

1. Adakah perlu bayar zakat untuk koleksi duit lama (wang kertas, duit syiling yang bukan perak/emas, Medallion, kupon etc)?
Jika duit lama tersebut tersimpan sahaja dan bukan untuk dijual, maka ianya tidak perlulah dibayar zakat kecuali kita telah menjual duit lama tersebut dan mendapat keuntungan daripada jualan tersebut. Kita juga boleh menolak sebarang kos yang terlibat semasa kita membeli duit lama tersebut. Keuntungan daripada duit lama itu boleh ditambah pada zakat pendapatan kita.


2. Adakah perlu bayar zakat untuk koleksi duit syiling yang diperbuat dari perak?
Duit syiling perak atau barang-barang yang diperbuat daripada perak adalah jenis-jenis harta yang dikenakan zakat menurut hukum syarak. Nisab perak yang ditetapkan oleh Ulama adalah 200 dirham iaitu bersamaan 595 gram. Jika simpanan duit syiling perak anda telah melebihi nisab yang ditentukan Ulama, anda perlu membayar zakat mengikut penggiraan dibawah.

Contoh Penggiraan:

Berat barangan perak x harga semasa x 2.5%

Katakan Ahmad menyimpan 1,000 gram perak (telah melebihi nisab)

Kadar zakat = 2.5%
harga semasa perak (contoh) = RM 0.62
Zakat = 1,000 gm x 0.62 x 2.5% = RM15.50


3. Adakah perlu bayar zakat untuk koleksi duit syiling yang diperbuat dari emas?
Duit Syiling emas adalah antara barang-barang yang wajid dikenakan zakat menurut Hukum Syarak. Kewajipan zakat ke atas logam ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. bermaksud:

“Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu”.
At- Taubah; ayat 34-35

Duit syiling emas adalah termasuk didalam kategori emas yang tidak dipakai (disimpan). Emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas tersebut menyamai atau melebihi 85gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%.

Contoh Penggiraan:

2.5% x nilai emas yang disimpan (jika melebihi nisab)
Jumlah zakat : RM6,000 x 2.5%= RM 150


Syarat Wajib Zakat
-Islam
Zakat hanya dikenakan ke atas orang Islam. Bagi perniagaan perkongsian orang Islam dengan bukan Islam hanya peratusan ekuiti orang Islam sahaja diambilkira untuk zakat.

-Merdeka
Hamba abdi tidak wajib berzakat kecuali zakat fitrah. Walau bagaimanapun tidak timbul persoalan hamba abdi masa kini, tetapi syarat merdeka masih lagi dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib berzakat.

-Milik Sempurna
Harta yang dimiliki mestilah sempurna dalam kekuasaan seseorang dan tidak bersangkutan dengan orang lain. Pemilik juga dapat memperlakukan dan memperolehi manfaat daripadanya.

-Cukup Nisab
Nisab adalah paras nilai minima yang menentukan samada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan. Nisab adalah bersamaan dengan 85 gram emas nilai semasa. Nilainya lebih kurang RM 10,300 (bergantung kepada harga semasa emas)

-Cukup Haul
Cukup haul bermaksud genap setahun harta disimpan.

-Niat Untuk Berniaga
Syarat ini hanya bagi zakat perniagaan sahaja.

Sumber: Zakat.com.my

Sebarang pertanyaan, kemusykilan atau jika anda perlukan bantuan untuk nasihat penggiraan zakat duit lama anda, anda boleh pergi sendiri ke Kaunter Pusat Pengurusan Zakat yang terdekat dengan anda atau menghubungi talian bebas tol mereka 1-300-88-5757.

Untuk hukum didalam Islam mengenai mengumpul Koleksi duit lama serta jual beli duit lama, anda boleh membaca post saya sebelum ini; Hukum Jual Beli Duit Lama.