Selasa, 5 November 2013

Harga lelong online bukan harga pasaran

Kenapa Harga lelong online bukan harga pasaran duit syiling Malaysia? Bolehkah harga kemenangan duit lama yang dilelong melalui eBay.com.my atau lelong.com.my mahupun Facebook dijadikan sebagai landasan kepada harga pasaran duit syiling Malaysia? Rasanya isu ini timbul apabila makin ramai yang mula melihat duit syiling lama Malaysia yang dijual secara online kerana duit syiling 50 sen 1969 Milled edge dijual RM10K tempohari.

Harga lelong

Ada yang tidak percaya yang duit lama Malaysia boleh dijual pada harga yang amat menarik sekali. Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa berita yang saya kongsikan mengenainya adalah tipu dan tidak benar.

Tidak kurang juga yang mengatakan acara lelongan itu dirancang sejak dari awal dan pembeli ada niat jahat untuk menaikkan harga duit syiling 50 sen 1969.

Untuk pengetahuan anda, duit syiling tersebut sudah pun sampai kepada pemiliknya.

Tidak ramai yang tahu mengenai harga pasaran duit syiling Malaysia pada gred Uncirculated sebab apa yang direkodkan didalam buku-buku katalog adalah jauh lebih murah daripada harga pasaran sekarang. Buku katalog yang saya maksudkan bukanlah buku katalog baru yang harganya jauh lebih mahal dan harga perbezaan di antara Very Fine, Extremely Fine dan Uncirculated terlalu hampir diantara satu sama lain.

Kenapa tidak ramai yang ingin berkongsi? Sebab masing-masing tidak mahu harga tersebut akan terus naik lagi.

Berbalik kepada isu kenapa harga di Ebay atau mana-mana website lelong tidak boleh di ambil kira sebagai harga pasaran?

Sebelum ini saya ada menulis mengenai kenapa Mudah.my tidak boleh dijadikan panduan harga.

Hari ini, saya ingin berkongsi kenapa harga lelongan online tidak boleh dijadikan sebagai panduan harga pasaran duit lama Malaysia:

Pertama kerana sesiapa sahaja boleh menyertai acara lelongan tersebut sebagai pembida termasuklah si penjual duit lama tersebut. Taktik ini telah digunakan sejak dahulu lagi dan digunakan oleh kebanyakan penjual yang memulakan acara lelongan mereka pada harga RM1. Jika harga yang mereka hajati tidak dapat dicapai, maka mereka akan mula membida duit lama tersebut sendiri. Perbuatan tidak beretika ini berlaku sebab mereka tidak mahu rugi dan tidak mendapat untung yang munasabah dari jualan tersebut.

Kedua, tidak siapa yang tahu jika jualan tersebut telah dilaksanakan atau tidak; duit telah dibayar atau barang telah diterima pembeli. Ada kemungkinan pemenang bidaan jualan yang mendapat harga yang tinggi itu tidak mebayarnya atau juga dimenangi oleh akaun palsu penjual. Kita hanya akan tahu serba sedikit apabila penjual dan pembeli telah bertukar-tukar rating yang baik, itupun jika kita tahu ID pemenang tersebut. Jika jualan sebelum ini dimenangi oleh akaun penjual, mereka boleh mengatakan yang pemenang sebelum ini adalah Joybidder atau tidak membayar harga kemenangannya.

Ketiga, Harga yang direalisasikan tersebut adalah harga lelongan bukannya harga pasaran. Sepertimana harga lelongan duit syiling 50 sen 1969 Security Edge sebelum ini, ianya adalah harga yang dicapai apabila ada dua atau lebih orang membida barang tersebut untuk dibeli. Pemenang adalah mereka yang membuat bidaan tertinggi. Harga pasaran adalah harga yang biasanya direalisasikan didalam transkaksi jual beli diantara penjual dan pembeli. Harga pasaran juga bukan harga yang ditawarkan oleh penjual kepada pembeli.

Ramai yang mungkin tidak sedar bahawa harga yang dicapai melalui lelongan bukanlah harga pasaran sebenar.

Ianya mungkin boleh dijadikan sebagai harga pasaran jikalau setiap kali ada cara lelongan duit lama tersebut, harganya kekal atau hampir pada harga tersebut.

Ramai juga yang mengambil kesempatan daripada harga yang direkodkan melalui eBay sebagai cara untuk melariskan jualan mereka.

Saya cuma berkongsi pendapat saya sendiri, terpulang kepada anda untuk menerimanya atau tidak. Saya juga bukanlah seorang yang pakar didalam bidang numismatik. Saya menulis hanya kerana minat untuk berkongsi ilmu dan cintakan hobi numismatik ini sejak dari dulu.

Ingatlah, Harga lelong online bukan harga pasaran.