Kepada pembaca blog saya yang bertanyakan mengenai acara lelongan duit lama, pada 23 Mac 2014, Malaysia Numismatic Society (MNS) akan mengadakan acara lelongan mereka yang ke 159. Ianya akan diadakan di Jabatan Muzium Malaysia, Muzium Negara, Jalan Petalawati, 50480, Kuala Lumpur.
Orang ramai dijemput untuk menghadiri acara lelongan tersebut. Walau bagaimanapun, untuk menyertai acara lelongan, anda perlu menjadi ahli Malaysia Numismatic Society (MNS). Anda boleh mendaftar pada hari yang sama untuk menjadi ahli MNS.
Acara lelongan akan bermula lebih kurang dalam jam 10.00 pagi tetapi anda boleh datang awal untuk melihat gerai jualan yang menjual duit lama pada sebelah pagi. Pada kebiasaannya ada banyak gerai jualan dibuka pada hari tersebut dengan kebanyakkan penjual duit lama dari seluruh Malaysia datang untuk membuka gerai jualan mereka disitu.
Jika anda tidak pasti dimana Jabatan Muzium Malaysia, anda boleh saja bertanya dengan pekerja di muzium mengenai acara lelongan duit lama atau pergi terus ke bangunan yang berdekatan dengan keretapi yang dapat dilihat di tempat letak kereta.
Jika anda ingin menjual duit lama anda untuk dimasukkan didalam acara lelongan MNS, anda boleh bertanya kepada Ahli Jawatankuasa MNS sendiri jika mereka menerima duit lama untuk lelongan. Namun, jika anda berharap untuk melelong duit syiling 50 sen 1967 terbelah anda, lebih baik anda jangan pergi, jual kat US boleh dapat sejuta dollar tu sekeping.
Ada 150 lot duit lama akan dilelong didalam Auction MNS No.159. Di antara duit lama yang menjadi tumpuan pada acara lelongan tersebut adalah sebahagian koleksi Allahyarham Sifu Ishar Latiff, Wang Timah berbentuk haiwan; Ayam, Burung, Buaya dan Kura-kura. Adalah amat sukar untuk menemui duit timah haiwan (Animal Tin money) yang tulen pada ketika ini kerana kebanyakkan darinya telah disimpan collector.
Selain itu, duit syiling 50 sen 1967, 1968 dan 1969 Security Edge yang telah digred oleh NGC dijangka akan menjadi tumpuan didalam acara lelongan tersebut. Duit syiling 50 sen 1967 Security Edge (berparit), di gred oleh NGC MS63 dengan harga rizab bermula dari RM250, Duit syiling 50 sen 1968 Security Edge (berparit), di gred oleh NGC MS62 dengan harga rizab bermula dari RM250 dan Duit syiling 50 sen 1969 Security Edge (berparit), di gred oleh NGC MS62 dengan harga rizab bermula dari RM1,000.
Terdapat juga duit syiling Malaysia, Malaya, Straits Settlements, British North Borneo serta wang kertas dijual didalam acara lelongan tersebut. Untuk senarai penuh dan juga gambar duit lama yang akan dilelong, anda boleh melayari blog Sifu Dickson Niew di Auction MNS No. 159.
Kepada anda yang berminat untuk melihat sendiri bagaimana acara lelongan duit lama di adakan oleh Malaysia Numismatic Society (MNS) jangan lupa untuk datang sendiri ke Jabatan Muzium Malaysia, Muzium Negara, Jalan Petalawati, 50480, Kuala Lumpur pada 23 Mac 2014 jam 10 pagi.