Selasa, 29 April 2014

Kerugian penipuan online melibatkan berjuta ringgit

Ada yang bertanya kepada saya kenapa kerajaan mewajibkan peniaga online perlu mendaftarkan perniagaan mereka? Umum rasanya sudah tahu, ada peniaga online yang tidak jujur didalam perniagaan serta ada juga peniaga "scammer" yang memang bertujuan untuk menipu duit pelanggan. Akibat daripada perbuatan mereka ini, kerajaan berusaha mencari cara terbaik untuk membendung msalah ini.

penipuan online

Mengikut kenyataan akhbar Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek pada 6 April 2014, pada tahun 2013, sebanyak 1,891 kes dilaporkan membabitkan kerugian RM6.2 juta, bertambah 140 kes berbanding 1,751 kes pada 2012 dengan kerugian RM17 juta.

Peniaga online perlu berdaftar dengan SSM untuk memudahkan pembeli menyemak peniaga yang tulen sebelum melakukan pembayaran. Jika tiada rekod peniaga tersebut berdaftar dengan SSM, disyorkan supaya anda tidak berurusan dengan mereka sebab risiko untuk ditipu adalah sangat tinggi.

Anda juga dinasihatkan untuk menyemak status syarikat yang menjalankan perniagaan online itu di website Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bukan hanya setakat bertanya jika peniaga tersebut telah mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM.

Sekali lagi diingatkan, ada kemungkinan untuk peniaga menipu pelanggan dengan mengatakan mereka sudah mendaftar dengan SSM, sedangkan mereka tiada lesen perniagaan.

Ada kemungkinan juga peniaga tersebut menggunakan daftar perniagaan milik orang lain.

Oleh itu, jika anda masih tidak mengenali peniaga online tersebut, pastikan anda menyemak butiran peribadi mereka secara teliti.

Ramai daripada rakan-rakan yang pernah ditipu ketika membeli secara online di Mudah.my terutamanya untuk produk eletronik, telefon dan juga duit lama. Jika anda ditipu, anda perlu membuat aduan dengan segera dan anda boleh mengemukakan bukti melalui e-aduan KPDNKK

Kepada rakan-rakan peniaga online, tidak mendaftarkan perniagaan anda adalah satu kesalahan dan anda boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 12 (1)(a) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Pindaan 2001) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Anda boleh membaca bagaimana untuk menyemak peniaga yang telah berdaftar dengan SSM didalam artikel ini; Cara menyemak peniaga berdaftar SSM.