Khamis, 1 Mei 2014

Tiada Harta Karun di Pulau Nangka

Rasanya ramai juga yang tertunggu-tunggu mengenai pengumuman daripada Ketua Menteri Melaka mengenai Harta Karun Pulau Nangka. Harta karun yang dikatakan bernilai berbillion Ringgit itu sudah hampir pasti ditemui sebaik pintu gua dapat ditembusi. Dikatakan juga, projek pencarian Harta karun di Pulau Nangka, Melaka sudah dijalankan selama 30 tahun.

Pulau Nangka

Semalam, 30hb April 2014, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, Smart Partnership International (M) Sdn. Bhd. syarikat, yang menjalankan kerja mencari harta peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka dianggarkan bernilai berbilion ringgit di Pulau Nangka, gagal menemui harta itu setakat ini.

Kontrak pencarian selama empat bulan bermula Januari lepas yang diperoleh syarikat itu, akan tamat pada 12 tengah malam semalam. Oleh yang demikian, mulai esok, katanya, kerja pencarian itu akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat lain, yang akan menumpukan pencarian di kawasan lain di pulau itu.

Bermakna, tiada harta karun ditemui di Pulau Nangka setakat semalam.

medal pulau nangka


Semalam juga, Sinar Harian ada melaporkan, dua keping 'medal' tembaga dipercayai daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka ditemui dalam pencarian harta zaman kesultanan itu oleh syarikat Smart Partnership International (M) Sdn Bhd di Pulau Nangka dekat sini, malam tadi. Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata 'medal' itu ditemui pada pukul 11.30 malam tadi, bagaimanapun kesahihan artifak itu masih belum dapat dipastikan buat masa ini.

Saya mengikuti perkembangan cerita harta karun Pulau Nangka ini sebab saya lihat banyak "perkara pelik" dilaporkan oleh media arus perdana mengenai Pulau ini. Apa yang saya maksudkan bukannya cerita pelik mengenai harta karun yang dikatakan dijaga oleh jin atau cerita mengenai harta karun yang tidak boleh dibawa keluar dari pulau tersebut.

Saya pelik kerana "usaha" telah dilakukan lebih daripada 25 tahun untuk mencari harta karun di Pulau itu tetapi sehingga setakat ini tidak ada seketul pun artifak yang ditemui di Pulau tersebut.

Pelik kerana sebelum ini dikatakan kerja membuka pintu itu telah 90% siap tetapi tidak ada sesiapa dapat masuk ke dalam gua tersebut?

Pelik kerana kisah mengenai kapal Flor De La Mar belum selesai, kini timbul pula cerita Pulau Nangka.

Pelik kerana kerajaan negeri tidak pernah melaporkan didalam sidang media mereka mengenai siapakah yang membayar kos untuk mencari harta karun yang telah dijalankan selama lebih 25 tahun itu?

Pelik kerana pihak muzium atau pakar arkeologi tidak menjalankan kerja-kerja mengali dan mencari harta karun tersebut.

Pelik kerana di Melaka ini, muziumnya pun ada mempamerkan duit lama tiruan, ini nak bercerita mengenai harta karun pula. Anda boleh membaca mengenainya didalam artikel saya sebelum ini; fake coins in Melaka Museum. Pelancong luar yang datang ke Malaysia pun tahu itu adalah duit tiruan, peliknya pegawai muzium tak tahu?

Pelik kerana berita sebelum ini memberitahu, harta karun di Pulau Nangka itu bukan lagi satu mitos tetapi sehingga sekarang pulau nangka itu tidak dikawal oleh polis, tentera atau pasukan keselamatan. Jika harta karun itu bernilai berbillion ringgit, tidakkah Kerajaan Negeri takut ianya akan dicuri? Jika ada harta berbillion ringgit, kenapa tidak ada kawalan ketat dibuat di Pulau tersebut?

Pelik kerana sebelum ini dikatakan memang ada harta didalam gua tersebut tetapi sekarang ini mereka hendak menumpukan kerja-kerja mencari ditempat lain didalam pulau tersebut?

Pelik kerana medal hanya ditemui tengah malam sebelum kontrak syarikat tamat setelah usaha pencarian selama setahun.

Bagi saya, cerita mengenai Pulau Nangka ini sengaja hendak disensasikan kerana tidak ada berita lain nak dijadikan cerita. Sebaiknya, jika telah menemui harta karun tersebut, barulah membuat sidang media dan sebagainya. Pada pendapat saya, jika betul tempat itu mempunyai harta karun, sudah pastilah pakar arkeologi akan dipanggil untuk sekurang-kurangnya memberi khidmat nasihat mengenai pencarian harta karun itu.

Cerita pencarian harta karun sebegini hanya akan membuatkan rakyat membuat spekulasi yang saya tak perlu kongsikan disini.

Itu belum lagi cerita untuk mengapungkan kapal Flor De La Mar.

Saya bukanlah seorang yang pakar, saya menulis untuk menyuarakan pendapat rakyat biasa seperti saya yang hanya dapat melihat perkara-perkara pelik sebegini dilaporkan didalam suratkahabar arus perdana.