Kepada bukan collector yang membaca cerita mengenai syiling 1 sen 1976 berharga RM7000 yang saya kongsikan didalam Facebook semalam mungkin ada yang berkata, indah khabar dari rupa. Bagi anda mungkin cerita itu lebih hebat daripada apa yang sebenarnya berlaku atau perkhabaran selalu dilebih-lebihkan daripada realiti yang sebenar.
Apabila anda sendiri menjual duit syiling 1 sen 1976 tersebut dengan harga seribu sekeping pun tidak ada yang mahu membelinya. Apatah lagi dengan harga RM7,000 sekeping. Begitu juga dengan duit syiling 50 sen berparit yang pernah dilaporkan berharga RM2800 sekeping. Syiling 50 sen anda nak jual cuma seribu sekeping pun takde siapa yang nak tanya kan?
Inilah penyakit yang sedang menular dikalangan ramai rakyat Malaysia, penyakit malas tapi nak kaya cepat. Apabila nak buat pelaburan, kalau boleh nak untung bulan-bulan dengan duduk goyang kaki sahaja. Kalau boleh nak main Facebook sahaja tapi duit masuk tiap jam tanpa perlu buat apa-apa.
Akibat daripada malas membaca, tidak mahu membaca dengan teliti maklumat yang telah dikongsikan didalam blog ini, dengan mudahnya cerita tersebut dikatakan sebagai cerita palsu atau cerita kedai kopi. Tolonglah baca sehingga habis, kalau tak faham, sila baca berulang-ulang kali. Kalau tak, sampai bila pun anda akan ingat mana-mana duit syiling 1 sen 1976 dan juga 50 sen 1967, 1968 dan 1969 berharga tinggi. Tengok sahaja berapa banyak komen yang bercakap mereka ada syiling yang sama didalam status yang saya kongsikan mengenai 1 sen 1976 dan 50 sen berparit tersebut. Siapa yang dah baca artikel yang saya kongsikan itu dan melihat komen-komen mereka itu mesti rasa geram macam saya jugak kan?
Saya tidak dapat membantu selagi mereka-mereka yang malas membaca ini tidak mahu mengubah sikap sendiri. Lebih baik saya bantu anda yang mahu mebaca mencari ilmu. Jadi jangan hairan jika saya tak jawab sebarang komen dan soalan mereka didalam Facebook. Saya kongsi ilmu percuma bukannya dibayar untuk mengajar anda, jadi kenapa saya perlu jawab soalan berulang-ulang yang jawapannya telah saya kongsikan didalam blog-blog saya?
Harga tinggi untuk syiling 1 sen 1976 dan juga 50 sen berparit benar-benar berlaku di kalangan warga numismatik Malaysia sekarang ini. Namun, setiap duit syiling adalah berbeza. Ada pelbagai faktor yang menjadi penyumbang kepada peningkatan harga tersebut. Untuk faham mengenai hal tersebut, anda perlu membaca artikel yang saya tulis khusus mengenainya di sini; syiling 1 sen 1976 dan juga 50 sen berparit.
Cerita numismatik yang saya kongsikan bukannya indah khabar dari rupa. Jika anda sanggup belajar dan rajin membaca, numismatik boleh dijadikan sebagai pelaburan yang boleh memberi keuntungan yang lumayan.