Minggu ini banyak aktiviti-aktiviti penting didalam kalendar numismatik Malaysia. Besar kemungkinan hari Ahad ini juga kita akan mula berpuasa, selamat berpuasa kepada rakan-rakan beragama Islam dan selamat menikmati juadah berbuka yang hanya boleh ditemui sebulan sekali kepada rakan-rakan lain. Ramadhan adalah bulannya dimana kita dapat melihat semua rakyat Malaysia bersatu-padu membeli juadah berbuka. Hihihihi....
Berbalik kepada aktiviti numismatik tadi, esok Bank Negara Malaysia (BNM) akan mula menjual duit syiling peringatan 40 tahun hubungan dua hala Malaysia China. Apabila saya membuka Facebook sebentar tadi, status pertama yang saya baca ialah mengenai khabar angin sudah ada orang ramai yang beratur di BNM Pulau Pinang sejak jam 9 pagi tadi. Dengar khabar ada rakan-rakan di Kuala Lumpur yang sudah merancang untuk beratur pada jam 11 malam ini di Sasana Kijang.
Saya tidak pasti jika kejadian di Pulau Pinang itu berlaku tetapi daripada segi sejarah sebelum ini, ianya pernah berlaku. Pulau Pinang adalah diantara negeri yang paling banyak pengumpul syiling proof selain Lembah Klang dan juga Johor Bahru. Sebelum ini, Pulau Pinang dikatakan diagihkan jumlah set yang agak kurang jika hendak dibandingkan dengan tempat lain. Selain itu, ianya juga didorong oleh faktor "Runner" yang mengambil upah untuk membeli syiling peringatan BNM. Jika seorang mengupah 10 runner mereka, bayangkan berapa ramai yang akan beratur. Itu jika 10 tapi di Sasana Kijang, ada yang mengambil sehingga 50 orang runner.
Di Sasana Kijang, rasanya Polis Bantuan di Sasana Kijang tidak akan membenarkan collector beratur kerana dikhuatiri berlaku rompakan dan sebagainya. Datang untuk membeli duit syiling peringatan, mestilah banyak membawa duit tunai kan? Paling awal pun orang ramai dibenarkan beratur mungkin pada jam 3 pagi. Mereka yang datang dari jauh biasanya akan terus bermalam di Sasana Kijang.
Jika anda pernah mengikuti aktiviti jualan syiling peringatan BNM, tidak semua syiling itu berbaloi untuk pelaburan jangka pendek. Biasanya harga syiling tersebut akan menjadi hangat sebaik sahaja ianya dijual oleh BNM dan mula menjadi suam-suam kuku 2 hari selepas itu. Jangkaan saya dan rakan-rakan, penjualan syiling kali ini adalah lebih kepada pelabur yang ingin mendapat untung segera. Ada yang telah siap ada pembeli dan ada juga yang akan menjual syiling itu secara online sebaik sahaja mereka mendapatkannya. Bulan Ramadhan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang semakin dekat menyebabkan ramai yang berusaha untuk mencari duit lebih.
Cuma saya kesian kepada mereka yang baru berjinak-jinak didalam pelaburan duit syiling peringatan ini. Ada yang tidak membuat kajian terlebih dahulu dan terus sahaja membeli. Apabila dah seminggu dan syiling peringatan yang ingin dijual tidak ada sesiapa yang ingin membeli, terpaksa jual pada harga kos sahaja. Saya syorkan pada mereka yang tidak faham bagaimana nak dapat untung segera tu, belajar dulu.
Hari Ahad ini juga ada acara lelongan MNS ke 160, yang akan diadakan di Jabatan Muzium Negara, Kuala Lumpur. Semua dijemput hadir untuk melihat sendiri bagaimana acara lelongan duit lama di adakan. Mana tau anda berkenan untuk turut serta. Ada juga disediakan meja jualan kepada sesiapa yang ingin membeli duit lama. Mungkin suatu hari nanti untuk menarik lebih ramai orang ke acara lelongan MNS (Malaysia Numismatic Society), saya cadangkan MNS untuk membuka kaunter membantu bukan collector mengred duit syiling dan juga memeriksa jika syiling mereka itu jika ianya adalah tulen atau tidak.
Saya tidak dapat untuk pergi ke Sasana Kijang esok, mohon jika ada rakan-rakan yang berada di Sasana Kijang untuk berkongsi gambar suasana di sana di Facebook Malaysia Coin. Mohon juga kepada rakan-rakan yang berada ditempat lain membantu melaporkan keadaan di tempat masing-masing. Maklumat ini berguna kepada rakan-rakan yang hendak pergi tetapi tidak dapat berbaris awal.
Selamat menjalani aktiviti numismatik kepada semua dan selamat menjalani ibadah puasa kepada rakan-rakan beragama Islam.