Semalam, saya ada kongsikan mengenai syiling 1 sen keris 1962 Malaya yang kebanyakkan daripada kita pernah melihatnya. Ada dikalangan bukan collector yang beranggapan duit syiling ini adalah rare kerana ianya tidak pernah dilihat lagi digunakan. Realitinya, ada 45juta syiling ini ditempa oleh Royal Mint London. Ianya ditempa dengan banyak pada waktu itu kerana Tanah Melayu kekurangan syiling pada tahun sebelumnya, akibat daripada kepesatan pembangunan Tanah Melayu yang baru sahaja merdeka.
Pada muka depan syiling ini memaparkan dua bilah keris bersilang tanpa sarungnya. Di sebelah hadapan ia memaparkan tulisan MALAYA AND BRITISH BORNEO, nilai 1 cent dan juga tahun ianya dikeluarkan iaitu tahun 1962. Anda boleh membaca dengan lebih lanjut mengenai syiling ini didalam artikel 1962 1 cent Malaya Keris coin.
Kenapa hari ini saya bercerita mengenai duit syiling ini?
Perkara utama yang saya ingin sampaikan ialah, ramai bukan collector yang tidak faham apa yang dicari oleh collector. Sepertimana duit syiling ini, ramai orang yang masih menyimpannya dan jumlah tempaannya pun mencecah 45juta keping. Apabila ramai orang yang memilikinya tidak ramai yang ingin mencarinya. Bermakna harganya tidaklah terlalu mahal sehingga beribu ringgit sekeping.
Kebanyakkan bukan collector tidak boleh berfikir secara rasional apabila meletakkan harga duit lama mereka. Sepertimana yang saya tulis sebelum ini, tak semua wang lama boleh dijual. Anda jarang melihatnya tidak bermakna ianya adalah syiling rare dan sukar didapati.
Sepertimana juga dengan duit syiling 50 sen berparit tahun 1967, 1968 dan 1969. Cakap-cakap orang yang mengatakan duit syiling itu adalah rare menyebabkan ramai yang simpan angan-angan mat jenin. Anda sendiri boleh lihat di Facebook Malaysia Coin bila saya membuat status mengenainya, berapa ramai yang komen mengatakan mereka ada syiling 50 sen berparit. Itu tak termasuk yang komen kata dia nak jual satu set dengan harga RM4,000 sahaja.
1 sen keris 1962 Malaya tidak akan jadi duit syiling rare kerana ada 45juta keping ditempa, suatu jumlah yang agak besar. Tidak ada masalah untuk menemui syiling ini dimana-mana kedai penjual duit lama. Syiling ini juga tidak ada sejarah di pulangkan semula untuk dileburkan atau edarannya ditarik balik. Oleh itu, kemungkinan untuknya menjadi rare dan berharga mahal adalah agak tipis.
Namun, ini tidak bermakna anda tidak boleh mendapat keuntungan daripadanya. Mana-mana syiling 1 sen pada ketika ini bukan lagi berharga 1 sen seperti dulu kerana kebanyakkan 1 sen sudah tidak digunakan lagi.
Saya harap anda faham apa yang saya cuba sampaikan. Terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca artikel ini.