Isnin, 7 Julai 2014

Logo & Tema Merdeka Malaysia 2014

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 pada tahun ini menampilkan satu keunikan apabila salah satu baris lirik lagu Warisan, 'Malaysia.... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' yang dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad dipilih menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57. Logo Hari Kemerdekaan untuk tahun ini dipilih daripada 1,586 hasil ciptaan peserta Pertandingan Mereka Cipta Logo Hari Kemerdekaan ke-57.
Merdeka 57

Ketika mengumumkan "Logo & Tema Merdeka Malaysia 2014" semasa majlis prapelancaran Hari Kemerdekaan pada 25 Jun 2014, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pemilihan tema daripada lagu yang dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad itu dapat menyemai dan menyemarakkan semangat cintakan negara ke dalam jiwa rakyat.

"Saya percaya tema itu sangat signifikan bagi memberikan kesan mendalam dan melahirkan semangat kecintaan terhadap negara di dalam hati semua rakyat,"

"Secara tidak langsung dapat mewujudkan masyarakat yang cintakan negara dan sanggup berkorban dan bekerja keras demi menjamin keamanan, kemajuan, kesejahteraan dan kemakmuran negara pada jangka masa panjang," katanya.

Logo Hari Kemerdekaan ke-57 direka oleh Abdul Mutalib Abd. Rahman, seorang pereka grafik disebuah syarikat swasta. Beliau membawa pulang RM7,000 beserta dengan sijil penghargaan.

LOGO HARI KEBANGSAAN KE-57 2014
Merdeka 2014

RASIONAL LOGO
Jalur Gemilang yang sedang berkibar megah menjadi inspirasi kepada logo ini. Ia merupakan satu perlambangan kepada negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

Angka 57 membawa maksud ulangtahun ke-57 kemerdekaan Malaysia. Sekaligus menjadi lambang kematangan negara dibawah kepimpinan yang mantap, berinovasi serta berwawasan yang boleh disaksikan menerusi pembangunan, kecermerlangan dan kemakmuran yang dikecapi secara berterusan.

Angka 57 yang diberikan sentuhan retro, menjadi refleksi kepada tarikh keramat kemerdekaan negara pada tahun 1957, mencerminkan impian dan harapan serta semangat cintakan negara yang tidak berbelah bagi rakyat terdahulu, semoga menjadi pedoman dan panduan kepada generasi Malaysia hari ini terutama golongan muda.

Kibaran Jalur Gemilang menyelimuti angka 57 turut mencerminkan kemakmuran dan keamanan negara yang telah wujud sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, berupaya dikekalkan sehingga ke saat ini dengan sokongan dan dukungan kuat oleh rakyat berbilang etnik dan kepercayaan yang bergabung menjadi satu masyarakat Malaysia yang unik dan bertoleransi.

Bulan sabit dan bintang berbucu 14 melambangkan kedaulatan negara, menjadi kewajipan setiap pemimpin dan rakyat untuk terus memelihara dan mengekalkannya.

Tema 'Malaysia.... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' diletakkan pada sudut bersesuaian dengan rekabentuk logo bagi menyokong kekuatannya dari segi imbangan, maksud dan nilai estetika.

MAKSUD WARNA LOGO

Warna Merah-Lambang keberanian dan kesetiaan pada negara yang tercinta.

Warna Biru-Lambang penyatuan dan keharmonian antara kaum.

Warna kuning- Lambang kedaulatan negara dibawah naungan Raja Berpelembagaan dan diterajui kepimpinan yang prihatin dengan pencapaian negara serta keperluan rakyat.

Warna putih-Menjadi perlambangan kepada kejujuran, ketelusan dan komitmen serta kerjasama yang erat di antara pemimpin dan rakyat.


Acara-acara sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57

Doa untuk Malaysia
Tarikh: 15 Ogos 2014
Tempat: Masjid Putra, Putrajaya
Acara: Bacaan yassin, solat hajat dan doa kemerdekaan serta persembahan kesenian Islam.

Kempen Kibar Jalur Gemilang
Tarikh: 15 Ogos 2014 (Kuala Lumpur), 16 Ogos 2014 (Putrajaya)
Tempat: Kuala Lumpur & Putrajaya
Acara: Pocket Show dan Majlis Pelancaran oleh Perdana Menteri.

Konsert Harmoni dan Uniti
Tarikh: 23-24 Ogos 2014
Tempat: Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
Acara: Konsert gabungan artis Malaysia dan Indonesia simbolik bagi semangat kesatuan serantau yang berkongsi bulan kemerdekaan.

Minggu Merdeka
Tarikh: 28 Ogos-1 September 2014
Tempat: Jalan Raja Laut/Jalan Tunku Abdul Rahman/Stadium Merdeka/sekitar Kuala Lumpur
Acara: Karnival pameran, seminar, jualan, pertunjukkan dan aktiviti berkaitan.

Chow Kit Road 2.0
Tarikh: 29-31 Ogos 2014
Tempat: Jalan Tunku Abdul Rahman (depan Sogo)
Acara: Mengimbau kenangan Konsert Chow Kit Road bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat menerusi lagu-lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad.

Amanat Merdeka
Tarikh: 30 Ogos 2014
Tempat: Matic, Jalan Ampang
Acara: Amanat kemerdekaan oleh Perdana Menteri dihadapan khalayak ramai.

Sambutan Ambang Merdeka
Tarikh: 30 Ogos 2014
Tempat: Jalan Tunku Abdul Rahman (depan Sogo)
Acara: Perdana Menteri melakukan countdown untuk sambutan kemerdekaan.

Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kemerdekaan
Tarikh: 31 Ogos 2014
Tempat: Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
Acara: Perbarisan dan Perarakan dengan pengisian pertunjukan tattoo Angkatan tentera Malaysia (ATM), perarakan aset, formasi pedang dan lain-lain.

Sambutan Hari Malaysia
Tarikh: 16 September 2014
Tempat: Sarawak
Acara: Perarakan sambutan Hari Malaysia

Video Logo & Tema Merdeka Malaysia

Untuk senarai penuh logo dan tema merdeka daripada tahun 1970 sehingga yang terkini, anda boleh melayari artikel saya; Koleksi Lengkap Logo & Tema Merdeka.