Rabu, 3 September 2014

Aktiviti Numismatik Malaysia September 2014

Nampaknya untuk hujung bulan September 2014, suasana numismatik di Malaysia akan sibuk dengan acara lelongan koleksi numismatik. Saya lihat, ramai kawan-kawan yang sedang bersedia membuat persiapan dari segi mental dan kewangan. Ada yang sibuk menjual koleksi untuk mengumpul modal, tidak kurang juga yang mengadakan perbincangan mengenai koleksi yang akan dilelong nanti.

Numismatik

Cerita yang pertama adalah khabar angin mengenai duit syiling peringatan yang memaparkan potrait Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Najib Razak. Ada yang mengatakan syiling ini telah pun siap, hanya menunggu masa untuk dilancarkan sahaja. Tidak ada dinyatakan syiling itu dibuat untuk acara apa atau peristiwa apa. Saya juga tidak ada mendapat info daripada sumber-sumber yang sahih setakat hari ini. Namun, jika ianya dilancarkan pada bulan September ini, maka ramailah yang akan sakit kepala, pening dan sebagainya. Rakan blogger Syiling Peringatan memberitahu, mungkin ada dua lagi syiling yang akan keluar; 50 thn Zoo Negara, KLIA2 atau 40 tahun Sultan Pahang. Sambutan Zoo Negara ke 50 tahun dan KLIA2 juga sudah dirasmikan (24 Jun 2014)? Apa-apa hal pun ini cuma "rumours" tanpa berita sahih dari BNM.

Semalam, cerita mengenai Acara lelongan pertama untuk Siri Prefix nombor cantik wang kertas Malaysia telah saya laporkan didalam blog lunaticg.blogspot. Acara lelongan yang dilakukan oleh MNP Auctioneers Sdn Bhd untuk Bank Negara Malaysia ini akan diadakan pada 27 September 2014 di Auditorium, Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), Kuala Lumpur. Sebanyak 231 lots wang kertas bernombor cantik (Low Number, Solid and Ladder) akan dilelong pada acara itu. Harga lelongan bermula daripada RM20 sehingga RM2000. Ramai daripada rakan-rakan saya yang berpendapat, acara lelongan ini adalah "medan ujian" untuk BNM mengetahui harga pasaran dan juga keupayaan MNP Auctioneers Sdn Bhd. Mereka berpendapat, ada banyak lagi wang kertas dan duit syiling yang masih didalam simpanan BNM akan dilelong dimasa hadapan, jika ianya mendapat sambutan.

Keesokan harinya (28 September 2014), acara lelongan Malaysia Numismatic Society MNS ke 161 akan berlangsung di perkarangan Jabatan Muzium Malaysia di Muzium Negara, Kuala Lumpur. Setakat artikel ini ditulis, tidak ada lagi senarai koleksi yang akan dilelong oleh persatuan numismatik Malaysia tersebut. Acara lelongan ini adalah terbuka kepada semua orang tetapi jika anda ingin menyertai acara lelongan, anda perlu mendaftar sebagai ahli MNS terlebih dahulu. Anda boleh melawat blog setiausaha MNS, Sifu Dickson Niew untuk sebarang maklumat terkini mengenai acara lelongan tersebut.

Selain daripada itu, acara Pameran Matawang Warisan Numismatik Malaysia anjuran Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan serta Kelab Warisan Numismatik Malaysia akan berlangsung sehingga 18 September 2014. Pameran ini telah dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Record sebagai Pameran Solo Matawang terbesar pernah di adakan dinegara ini. Lebih daripada 2000 koleksi matawang akan dipamerkan dimana sebahagian besar daripada koleksi itu adalah milik Dato' Sharuddin Yusof, Presiden Kelab Warisan Numismatik Malaysia.

Bank Negara Malaysia juga sedang mengadakan pameran "Knowing Nusantara: Money That Made The Region" yang diadakan di Aras 2, Sasana Kijang daripada 26 Ogos sehingga 26 Disember 2014. Pameran itu cuba untuk menceritakan bagaimana wang yang digunakan di Nusantara membentuk negara ini selama lebih 2000 tahun. Selain mempamerkan matawang yang pernah digunakan di Nusantara suatu waktu dahulu, ianya juga berkongsi cerita sejarah setiap matawang itu.