Hari ini saya rasa bertuah kerana dapat bertemu dengan sifu-sifu numismatik didalam satu perjumpaan yang telah dirancang tetapi asyik tertunda. Pagi ini, saya telah pergi ke kedai Steven Tan di Pertama Kompleks untuk bertemu dengan beliau dan juga Mr. Wong Hom Sum dan Dickson Niew. Walaupun diwaktu yang singkat, saya sempat bertanya beberapa perkara berkenaan dengan syiling Malaysia dengan mereka.
Soalan pertama yang saya tanya kepada Master Sifu Steven Tan adalah mengenai syiling 1 sen 1979 nickel. Saya bertanya jika syiling itu masih ada lagi didalam simpanannya dan bolehkah jika saya melihat syiling tersebut dan jika tidak ada, gambar sahaja pun sudah cukup untuk simpanan dan tatapan pembaca Blog Malaysia Coin. Beliau tidak dapat mengingati dimanakah syiling itu disimpan. Saya akan cuba bertanya semula kepada beliau apabila saya berpeluang bertemu semula dengannya. Buat masa ini, syiling itu masih menjadi misteri kerana tidak ramai yang melihatnya.
Soalan kedua adalah kepada Master Sifu Wong Hom Sum mengenai duit syiling Jepun bertulis MALAYSIA 2602. Saya bertanya adakah set syiling tersebut, satu-satunya set yang dikeluarkan oleh Osaka Mint kerana saya tidak pernah melihat syiling itu dilelong oleh mana-mana syarikat lelongan luar negara. Tidak seperti syiling aluminium Jepun yang dikeluarkan untuk kegunaan Indonesia. Beliau menjawab syiling itu adalah syiling percubaan (trial coin) dan hanya dibuat didalam kuantiti yang sedikit berbanding dengan syiling Indonesia tersebut yang telah pun ditempa. 2 keping syiling aluminium Malaysia 20 cents 2602 itu telah dilelong didalam Acara Lelongan Syiling Spink-Taisei pada tahun 1986 dan terjual pada harga US$4,400 termasuk 10% premium pembeli. Syiling itu dapat dilihat di Muzium Bank Negara di Sasana Kijang.
Saya juga berpeluang untuk melihat mesin kanta pembesar antik milik Steven Tan yang amat sukar dapat dilihat pada masa kini. Kanta ini menggunakan bateri dan mempunyai lampu untuk memudahkan duit syiling dapat dilihat dibawah sinaran lampu. Ianya diperbuat di Jerman dan boleh dibawa kemana-mana. Saya tak sempat bertanya jika Master Sifu Steven Tan masih lagi memakai kanta ini tetapi apabila kami mencubanya, ia masih lagi berfungsi dengan sempurna. Cermin untuk kanta yang kecil itu sedikit berhabuk kerana usinya yang lama tetapi masih lagi boleh digunakan.
Saya juga berpeluang untuk melihat duit syiling Malaysia yang telah disadur dengan "perak" atau logam yang berwarna seakan perak. Saya tahu ada beberapa orang pembaca yang bertanya kepada saya mengenai duit syiling Malaysia yang disadur dengan perak dan emas. Duit syiling yang disadur tidak mempunyai nilai yang tinggi dari segi numismatik. Anda boleh membaca mengenainya disini; Syiling 1 sen nickel palsu.
Pertemuan selama lebih kurang 2 jam dengan sifu-sifu numismatik ini walaupun terlalu singkat bagi saya tetapi memberi banyak manfaat yang boleh dikongsi dengan rakan-rakan pembaca sekalian.