Selasa, 21 Oktober 2014

Misteri Harta Karun Pulau Nangka

Misteri Harta Karun Pulau Nangka masih belum dapat dirungkai sehinggalah artikel ini ditulis. Semalam (20 Oktober 2014), Majalah 3 terbitan Sistem Televisyen Malaysia Berhad atau TV3 yang dikendalikan oleh Media Prima Bhd. Didalam rancangan dokumentari tersebut, wartawan Majalah 3 berkongsi pengalaman mereka ketika usaha mencari harta karun yang dikatakan bernilai berbilion Ringgit tersebut sehinggalah kepada apa yang berlaku di Pulau itu selepas usaha mencari harta karun dijalankan.

Pulau Nangka

Namun, apa yang dikesalkan adalah apa yang berlaku kepada Pulau Nangka setelah usaha mencari harta karun itu tidak menampakkan sebarang hasil. Kawasan berbatu yang dipecahkan itu merosakkan pemandangan dan satu lubang besar yang digali sebagai usaha untuk memasuki ke gua harta karun ditakungi air. Itu yang kita dapat lihat dikaca TV, tidak ada dimaklumkan jika ada lagi syarikat yang sedang dan akan mencari harta karun di Pulau tersebut.


Didalam laporan "Misteri Harta Pulau Nangka" tersebut, ada dilaporkan berkenaan dengan penunggu Pulau tersebut yang kononnya boleh bercakap dengan salah seorang pekerja syarikat yang sedang menjalankan usaha mencari harta karun. Selain itu, seorang wartawan juga mengatakan yang syiling itu betul-betul ditemui di Pulau Nangka. Jika dah sampai tahap boleh bercakap dengan penunggu pulau, kenapa mereka tidak memohon pertolongan penunggu tersebut untuk membawa mereka ke tempat harta karun itu atau meminta penunggu itu membantu mereka mengeluarkan harta karun tersebut? Sampai bila orang Malaysia asyik dimomokkan dengan cerita-cerita mistik sebegini yang langsung tidak memberi faedah kepada masyarakat?

Cerita harta karun Pulau Nangka yang dulunya hebat kedengaran kembali sepi setelah lebih 30 tahun usaha "mencari" dijalankan. Selepas ini saya tidak akan hairan jika ada lagi "syarikat harta karun" yang akan berusaha untuk mendapatkan kontrak mencari harta karun di Pulau tersebut. Antara barangan yang dikatakan berada didalam gua itu adalah 80 peti yang mengandungi bar emas, syiling lama, gold ingot, geran tanah, pinggan emas, mahkota dan pakaian diraja. Pulau Nangka telah digazetkan sebagai hak milik Perbadanan Muzium Melaka sejak tahun 1997 lagi setelah dibeli daripada seorang individu pada harga RM2 juta. Anda boleh membaca laporan mengenai Pulau Nangka yang saya kumpulkan sebelum ini di sini; Cerita harta karun Pulau Nangka.

Syiling yang pada mulanya dikatakan sebagai syiling emas Kerajaan Majapahit rupanya hanyalah koin semar, duit tangkal azimat yang diangkat sebagai artifak harta karun oleh pencari harta karun. Medallion yang berasal dari Indonesia itu tidak mempunyai kandungan emas, malah ianya bukan berharga mahal, boleh didapati di Internet pada harga beberapa ringgit sahaja. Anda boleh membacanya didalam artikel; Persoalan 2 syiling Pulau Nangka terjawab.

Harta Karun yang dikatakan bernilai berbilion Ringgit di Pulau Nangka akan terus menjadi misteri dan kisah dongeng rakyat. Cerita Syiling Emas Pulau Nangka adalah cerita lawak buat peminat-peminat numismatik tanahair. Kita tunggu pula cerita mengenai Kapal Flor de La Mar yang akan cuba untuk diapungkan dimasa hadapan, mana tahu ada sepeti koin semar ini dijumpai didalam kapal tersebut kan?

Jangan biarkan Pulau Nangka diselubungi dengan Misteri....