"Saya bercadang untuk menjual syiling saya tetapi saya tidak biasa menjual secara online selain syiling yang saya ada tidaklah banyak sangat. Ada satu kedai yang ada didalam senarai kedai duit lama yang tuan tulis, berdekatan dengan tempat kerja saya. Saya ingin menjual syiling saya disitu tetapi saya risau takut-takut saya ditipu oleh penjual tersebut dengan membeli syiling saya pada harga yang murah. Adakah perkara yang perlu saya tahu sebelum pergi ke kedai duit syiling?"
Soalan itu datangnya dari seorang pembaca blog ini melalui email kepada saya beberapa minggu yang lepas. Pada pendapat saya, kebanyakkan daripada mereka yang bukan collector mungkin turut mempunyai dilemma yang sama dengan rakan ini. Selain email ini, terdapat juga mereka yang memberikan alasan nak menjual duit syiling turun-temurun sebab nak kahwin, nak jual syiling sebab tidak bekerja dan nak sara anak dan bermacam-macam alasan lagi yang saya tidak dapat sahkan kesahihan cerita mereka.
Pada pendapat saya, sebelum anda pergi ke kedai duit lama untuk menjual syiling anda, adalah lebih baik anda buat kajian dahulu mengenai harga syiling anda. Namun, janganlah membuang masa anda merujuk harga syiling di Mudah.my. Harga yang dipamerkan disana semuanya main ikut sedap rasa sahaja.
Jika syiling yang anda ada itu adalah mengenai syiling Malaysia, sila baca dan fahami apa yang saya sudah kongsikan mengenai harga duit syiling lama di blog ini. Jangan kerana nak harga tinggi, anda beranggapan duit syiling 1 Ringgit 1971 anda itu adalah peruf.
Jika anda ada syiling 50 sen 1967, 1968 dan 1969, harganya adalah sejuta Ringgit sekeping, tahun depan naik RM4 juta sekeping. Hahahaha.... Penat nak terang pasal ini, baca sendiri kalau tak tahu, belajar jangan jadi mat jenin sahaja.
Jika syiling anda itu adalah syiling luar negara, kebiasaannya kedai duit lama tidak akan menerima syiling tersebut. Jika anda rasa ianya berharga mahal, sila taip perkataan yang ada pada syiling tersebut di google dan tambahlah perkataan "price" atau "value".
Sebelum anda terfikir untuk takut ditipu oleh penjual, sila fikir dahulu adakah dengan anda pergi ke kedai syiling tersebut membawa syiling yang tidak bernilai seperti sekeping syiling 50 sen 1967 anda itu tidak membuang masa penjual tersebut menerangkan kepada anda mengenai betapa tidak bernilainya syiling anda?
Angan-angan anda nak jadi kaya tetapi nak cari info dan nak baca maklumat pun dah malas, sampai bila pun anda tak akan ke mana.
Anggapan, kesemua "duit syiling lama" adalah berharga kepada collector perlu diubah. Janganlah salah anggap kami coin collector sebagai orang kaya yang bodoh, anda bagi sahaja duit syiling kami akan beli dengan harga berpuluh ribu ringgit.
Jika anda bercadang untuk menjual duit syiling kepada coin dealer, itulah nasihat saya.
Namun, pada pendapat saya adalah lebih baik anda "belajar" untuk menjual duit syiling anda sendiri kepada collector.
Kepada anda yang dihubungi oleh pembeli duit lama dari luar negara melalui aplikasi whatsapp, sila baca artikel ini, scam beli duit lama dari luar negara.