"Usaha untuk mempromosi numismatik di Malaysia adalah usaha berterusan, tidak dibayar gaji dan tidak ada pencen juga...."
Hahahaha....
Itu adalah antara gurauan yang biasanya saya dan rakan-rakan ungkapkan apabila kami mengadakan pertemuan. Sebelum saya teruskan penulisan artikel ini, saya ingin memohon maaf dengan rakan-rakan semua sekiranya ada sms, mms, Facebook message mahu pun telefon yang saya tak jawab. Sudah lebih dari 5 bulan saya sibuk dengan tugasan kerja. Nak buat pertemuan dengan rakan-rakan pun rasanya dah jarang-jarang sangat. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang tidak jemu membantu memberikan maklumat mengenai isu-isu terkini numismatik Malaysia.
Saya kagum dengan usaha-usaha promosi numismatik yang dijalankan oleh beberapa orang tokoh numismatik yang bagi saya wajar dipuji kerana mereka ini sanggup menjalankan tugas membuat promosi secara percuma. Kalau usaha nak promosi numismatik ini bergaji, saya pasti ramai dah yang berebut nak buat promosi juga.
Ini hanya pendapat peribadi saya sahaja, jika anda mempunyai pendapat sendiri, jangan lupa untuk berkongsinya di ruangan komen.
Di antara tokoh numismatik tersebut ialah Dato Sharuddin Yusof Dimp Amp. Pelbagai usaha telah beliau jalankan untuk memastikan numismatik mendapat tempat dikalangan rakyat Malaysia. Dengan mula menubuhkan Kelab Warisan Numismatik (KWN) yang ditubuhkan sejak 1 April 2012, usahanya tidak berhenti disitu sahaja.
Kelab Warisan Numismatik adalah di antara kelab Numismatik yang agak aktif pada ketika ini. Mereka kerap mengadakan seminar dan pameran di negeri Pahang dan kawasan pantai timur. Pameran Matawang di Muzium Kelantan yang di adakan pada tahun lepas sempena bulan kemerdekaan dan juga sijil pengajian numismatik Malaysia adalah di antara aktiviti terbaru kelab tersebut.
Tahniah kepada Dato Sharuddin Yusof yang giat berusaha untuk mempromosi numismatik di Malaysia. Semoga Dato Shah akan terus berusaha berjuang untuk numismatik Malaysia, memelihara warisan negara dan membantu mendidik anak bangsa mengenali numismatik. Dengan usaha berterusan Dato Shah juga diharap, syiling-syiling palsu akan semakin kurang dipasaran.
Selain itu, seorang lagi selebriti numismatik yang tidak asing lagi kepada kita adalah Sifu Dickson Niew. Jika anda mengikutinya di Facebook, anda boleh melihat hampir setiap hari, ada sahaja collector baru yang datang ke kedainya. Jika anda hendak bertemu dengan beliau pada masa sekarang memang sukar untuk berbual panjang dikedainya. Ada sahaja tetamu baru dan lama yang datang ke kedainya.
Beliau juga aktif memberi kenyataan akhbar di suratkhabar-suratkhabar tempatan berkenaan dengan aktiviti numismatik. selain itu, beliau juga pernah 'membintangi' rancangan Astro History Channel “Time Capsule Malaysia” mengenai syiling Malaysia yang tidak dikeluarkan pada tahun 1966, sebaliknya digantikan dengan syiling parlimen.
Jika anda pernah pergi ke kedainya, telefon akan sentiasa berbunyi. Ramai orang yang bertanya mengenai numismatik dengannya. Beliau dengan sabar berkongsi maklumat dan pandangannya. Sifu Dickson Niew juga aktif menghadiri acara-acara numismatik di luar negara dan didalam negara.
Bagi saya, dua individu ini adalah antara yang paling aktif dan menonjol sejak akhir-akhir ini. Ada ramai lagi tokoh-tokoh numismatik yang bagi saya turut menyumbang didalam mempromosi numismatik di Malaysia.
Anda semua juga mempunyai peranan yang lebih kurang sama, mempromosi numismatik kepada rakan-rakan yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai numismatik Malaysia. Saya lihat, agak ramai juga rakan-rakan numismatik yang agak aktif memberi komen serta penerangan yang betul didalam page Facebook, blog atau website yang memberikan maklumat yang kurang tepat mengenai syiling Malaysia. Syabas kepada anda semua.
Pada 6 April 2015, genaplah sudah umur 3 tahun blog malaysiancoin.com di alam maya. Terima kasih kepada rakan-rakan dan juga anda semua yang membantu mempromosi numismatik Malaysia secara tidak langsung. Di dalam 3 tahun usianya, blog ini mempunyai pageview sebanyak 4,325,367. Dengan lebih daripada 5,000 pageview serta lebih dari 2,000 unique view sehari secara puratanya. Pencapaian itu agak kecil bagi seorang blogger tetapi bagi saya usaha rakan-rakan semua yang membantu mempromosi blog ini lebih besar dari itu. Terima kasih saya ucapkan.